|
NAMA Awi Rafael tidak pernah sunyi daripada kontroversi sejak mula dikenali ramai. Terbaharu, isu putus cintanya dengan pelakon Hanez Suraya, 28, menjadi perhatian.
Bagaimanapun tidak lama selepas isu putus cinta itu terpampang di media, Awi atau nama sebenarnya Muhammad Nabawi Gunawan, 27, dikaitkan dengan beberapa artis wanita termasuk penyanyi Shila Amzah yang merupakan kenalan lamanya.
Awi yang ditemui pada majlis berbuka puasa anjuran Hotel Royal Bintang, Damansara baru-baru ini memohon maaf kepada mereka yang turut terkena tempias kerana kontroversi putus cintanya.
"Kami berdua putus cinta atas persetujuan bersama, tidak ada kena mengena dengan orang ketiga. Saya minta maaf kepada mereka yang terkena tempias gara-gara saya putus cinta," ujarnya.
Tegas Awi, dia tidak mahu kerana kisah putus cinta dan gosip dia bercinta dengan artis lain membuatkannya dilabel sebagai lelaki kasanova atau playboy.
"Biarlah orang nak kata apapun tentang saya, tetapi saya tidak mahu imej playboy itu melekat pada saya kerana hakikatnya saya bukan begitu," katanya serius.
Luah Awi lagi, dia sedar dia popular dan semakin dikenali ramai kerana kisah cintanya dengan Hanez, selain lagunya yang sering diputarkan di radio. Bagaimanapun, dia bukan sengaja mahu meraih publisiti dengan cerita cinta.
"Saya tidak salahkan sesiapa yang membesarkan isu cinta kami berdua kerana saya faham kerja media. Saya mencari rezeki dengan isu cinta tetapi saya tidak cari publisiti menggunakan cara ini, sebaliknya ia berlaku tanpa sengaja.
"Kalau boleh saya mahu dikenali kerana lagu-lagu saya, yang lain hanyalah tambahan sahaja," ujarnya.
|
Berkembang
Bercerita tentang kontroversinya yang tidak berkesudahan, Awi meluahkan rasa syukurnya kerana dia masih diminati dan kerjayanya semakin berkembang.
"Jika difikirkan balik, sejak saya jadi artis, banyak betul kontroversi. Selepas isu senikata lagu, keluar gambar saya bersama Hanez, isu tatu dan sekarang putus cinta.
"Kalau perkara yang sama terkena pada orang lain, mungkin kerjaya sebagai artis sudah berkubur tetapi saya tidak. Memang saya ada kontroversi, tetapi pada masa yang sama lagu-lagu saya diterima dengan baik.
"Saya agak bertuah kerana sentiasa disokong peminat, mungkin penerimaan pendengar terhadap lagu saya yang menyelamatkan kerjaya saya buat masa ini," luahnya jujur.
Mengakui sejak putus cinta dengan kekasihnya selama setahun itu kehidupannya bertambah sunyi. Namun, sudah tiada jodoh antara mereka, Awi pasrah kerana itu merupakan keputusan terbaik buat mereka berdua.
"Sejak kami berpisah saya belum pernah bersemuka dengannya. Memanglah rasa sunyi tetapi kehidupan harus diteruskan. Sekarang masing-masing terlalu sibuk dengan kerjaya dan sebelum putus kami jarang dapat berjumpa kerana jadual kerja yang padat," katanya.
Disoal mengapa sebelum ini Awi lebih banyak mengambil sikap mendiamkan diri berbanding Hanez yang bersuara terlebih dahulu tentang keretakan hubungan mereka, ini jawapan Awi.
"Sebagai lelaki saya rasa lebih baik mendiamkan diri daripada bercerita dan saya juga harus menghormati Hanez kerana dia wanita yang pernah hadir dalam hidup saya.
"Tidak adil untuknya jika saya bercakap terlebih dahulu tentang keretakan hubungan kami kerana keputusan itu diambil secara bersama. Saya perlukan masa yang sesuai, jadi selepas Hanez mengeluarkan kenyataan barulah saya berbuat demikian.
"Walaupun begitu, kami tidak bermasam muka kerana kami masih baik sebagai kawan dan tidak ada sebarang masalah jika terserempak dalam mana-mana majlis hiburan."
Ditebak mungkinkah hatinya telah dicuri mana-mana wanita, Awi hanya menggeleng dan memberitahu fokusnya hanya pada kerjaya muziknya sahaja.
"Memang sekarang saya tidak ada sesiapa tetapi jodoh kita tidak boleh ramal. Namun setakat hari ini, saya tidak mahu terlibat dalam sebarang hubungan cinta dengan sesiapa kerana saya tidak mahu memberi harapan kepada wanita itu.
"Fokus saya hanyalah kerjaya, itulah kehidupan saya sekarang. Jika saya bercinta, saya bimbang saya hanya akan melukai hati orang lain. Soal berkahwin juga saya belum fikir lagi kerana saya harus stabilkan diri dan ekonomi terlebih dahulu," tuturnya jujur.
Tembusi pasaran Indonesia
Jadual harian Awi semakin padat. Selain sibuk dengan persembahan pentas di Malaysia dan negara kelahirannya Singapura, Awi juga sibuk berulang-alik ke Jakarta, Indonesia.
Bukan hatinya sudah tertambat di sana, sebaliknya, Awi kini sibuk dengan persiapan untuk menembusi pasaran muzik negara seberang dengan karya muziknya.
"Memang sibuk, sebulan saya akan berada di tiga negara, Malaysia, Singapura dan Indonesia. Sekarang saya kerap terbang ke Jakarta kerana berjumpa dengan pengurusan di sana untuk melebarkan lagi kerjaya saya.
"Bagi saya, untuk masuk ke pasaran Indonesia, kita harus jadi seperti mereka. Bukan mudah, selain pertuturan, gaya lagu juga harus sesuai dengan jiwa orang Indonesia," balasnya.
Bagaimanapun, tidak sukar buat Awi kerana bapanya sendiri merupakan orang Indonesia yang kini menetap d Bali. Selain mempunyai keluarga, Awi juga mempunyai ramai rakan di republik itu.
"Jika di sini saya telah dikenali tetapi di Indonesia saya merupakan artis baharu, jadi banyak kerja dan persiapan yang harus dilakukan. Sekarang baru di peringkat perbincangan, doa-doakan semuanya berjalan lancar buat saya di sana," pintanya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: