Fear Factor bersama artis!
ASTRO Ria buka peluang orang ramai untuk berganding bahu dengan 16 selebriti tempatan dalam program

Berikutan kejayaan dan penerimaan positif program realiti, Fear Factor Selebriti Malaysia, yang ternyata berjaya mencetuskan fenomena baru dalam industri seni hiburan tanah air, pihak Astro Ria meneruskan usaha dan komitmen dalam membekalkan kandungan program hiburan yang berkualiti dengan membawakan sebuah lagi program hebat di bawah payung penjenamaan yang sama iaitu, Fear Factor Malaysia, yang akan memulakan saringan pertama sesi uji bakat secara online bermula pada 22 Julai hingga 18 Ogos 2013.

Fear Factor Malaysia ialah sebuah program realiti yang diadaptasi daripada format program popular antarabangsa yang bakal menguji ketahanan mental dan fizikal para peserta. Format antarabangsa ini telah diubahsuai dan diberi nafas baru mengikut kesesuaian budaya dan kehidupan masyarakat di Malaysia.

Buat julung kalinya untuk musim ini, kesemua peserta yang terpilih akan bergandingan dengan 16 selebriti tanah air yang mana setiap kumpulan pasangan bakal berdepan dengan pelbagai ujian yang pastinya menguji tahap ketahanan serta keberanian masing-masing. Bukan itu sahaja, mereka juga harus bersedia untuk melakukan pelbagai aksi-aksi lasak dan mencabar untuk memastikan mereka terus kekal dalam program ini.

16 selebriti yang bakal beraksi dalam Fear Factor Malaysia adalah Yana Shamsudin, Shuib Sepah, Dira Abu Zahar, Izzue Islam, Erin Malek, Norman Hakim, Thanuja, Zain Saidin, Sari Yanti, Azura Zainal, Bambang Soteto, Nas T, Ungku Ismail, Shah Iskandar, Syed Ali, dan Rizal Jaafar.

Pengurus Saluran Astro Ria, Raqim Ahmad, berkata, Astro Ria tidak pernah jemu untuk terus memperkukuhkan strategi dan formula yang ada bagi menawan hati pelanggan menerusi penawaran program-program hebat daripada genre yang berbeza.

“Melihat kepada kejayaan dan sambutan menggalakkan ke atas program Fear Factor Selebriti Malaysia yang telah pun disiarkan tidak lama dahulu, kami bawakan pula sebuah lagi program baru di bawah payung penjenamaan yang sama iaitu Fear Factor Malaysia untuk memenuhi permintaan penonton.

"Melihat kepada kekuatan dan tarikan yang ditawarkan, kami yakin Fear Factor Malaysia mampu memikat hati sekali gus mencipta fenomena tersendiri dalam industri seni tanah air," katanya.
Seiring dengan perkembangan teknologi yang semakin membangun, sesi uji bakat akan dilakukan secara online, di mana orang ramai boleh menghantarkan video penyertaan ke laman sesawang rasmi untuk penilaian.

"Berdasarkan video yang dihantar, kami akan menyenaraikan pendek calon peserta yang layak untuk memasuki peringkat saringan yang seterusnya,” ujar Raqim.

Penyertaan adalah terbuka kepada semua warganegara Malaysia ataupun mereka yang mempunyai status penduduk tetap yang berumur 18 tahun ke atas dan boleh bertutur dalam Bahasa Melayu dengan fasih. Selain harus mempunyai perwatakan yang menarik, calon peserta juga mestilah berada dalam keadaan kesihatan fizikal dan mental yang baik.

Bermula pada 22 Julai hingga 18 Ogos 2013, calon dikehendaki menghantarkan rakaman video penyertaan yang tidak melebihi tempoh masa dua minit atau melebihi saiz 30MB ke laman sesawang rasmi di www.fearfactor.com.my. Juga untuk sebarang maklumat lanjut.