PADA pertengahan tahun lalu, filem animasi Madagascar 3: Europe’s Most Wanted mendapat sambutan yang sangat memberangsangkan apabila berhasil mengutip lebih RM2 bilion setelah ditayangkan di pawagam seluruh dunia.
Berdasarkan kepada sambutan hangat filem berkenaan, saluran HBO Asia mengambil keputusan untuk menayangkannya dengan versi yang dialih suara dalam bahasa Melayu.
Ketua Jualan Dan Pemasaran Bersama HBO Asia, Jacelyn Kek berkata, penayangan tersebut dibuat berdasarkan kesinambungan kepada langkah yang sama mereka lakukan untuk filem The Smurf pada tahun lalu.
“Sebelum ini kami telah memilih The Smurf untuk dialih suara ke dalam bahasa Melayu, khusus buat penonton di Malaysia.
“Ternyata langkah sedemikian mendapat sambutan yang cukup menggalakkan.
“Pada tahun ini pula filem Madagascar 3: Europe’s Most Wanted telah dipilih dan akan ditayangkan ketika umat Islam menyambut Hari Raya Aidilfitri nanti,” ujarnya pada majlis pelancaran yang berlangsung di Hotel Le Meridien, Kuala Lumpur baru-baru ini.
Menurut Jacelyn, untuk program alih bahasa berkenaan pihaknya telah mendapatkan kerjasama ramai artis popular yang akan menyumbangkan suara mengikut watak-watak dalam filem animasi itu.
Ujarnya, berbanding dengan filem The Smurf dahulu, kali ini mereka telah menggunakan khidmat suara artis dari tiga buah negara iaitu Malaysia, Singapura dan Brunei.
“Sebelum ini kami hanya memilih artis popular dari Malaysia untuk melakukan alih suara tetapi dengan gabungan ketiga-tiga negara, pastinya membuatkan ia menjadi lebih menarik,” ujarnya.
Antara barisan artis yang telah menjayakan alih suara filem berkenaan seperti Hafiz Suip, Lisa Surihani, Fahrin Ahmad, Hazama, Didie Alias, Zahid dan Adifashla serta Najib Ali, Taufik Batisah (Singapura) dan Jazz Hassan (Brunei).
|
Filem tersebut mengisahkan tentang empat sekawan iaitu Alex The Lion, Marty The Zebra, Melman The Girrafe dan Gloria The Hippo berusaha untuk ke New York, Amerika Syarikat.
Dalam perjalanan ke sana, keempat-empat haiwan berkenaan berhadapan dengan ugutan seorang Pegawai Kawalan Haiwan Perancis iaitu Kapten Chantel DuBois.
HBO Asia akan menyiarkan tayangan perdana Madagascar 3: Europe’s Most Wanted pada Aidilfitri pertama iaitu 8 Ogos depan di saluran HBO (Astro 411) dan HBO HD (Astro 431) pada pukul 8 malam.
Cabaran
Pelakon Lisa Surihani yang ditemui semasa majlis pelancaran berkata, dia sangat berterima kasih kerana pihak HBO Asia masih memberi kepercayaan kepadanya untuk sama-sama terlibat dengan program alih suara tersebut.
Ujarnya, sebelum ini dia pernah terlibat dengan alih suara untuk filem The Smurf dan terbabit dalam projek sedemikian memberi pengalaman yang cukup bermakna buat dirinya.
“Sebagai seorang peminat rancangan animasi, dapat terbabit dengan program-program alih suara sebegini pastinya membuatkan saya teruja, apatah lagi untuk filem yang hebat seperti Madagascar 3: Europe’s Most Wanted.
“Mungkin orang menyangka melakukan kerja alih suara ini mudah. Sebenarnya ia memberi cabaran yang agak besar apabila perlu menggunakan cara tersendiri dan tidak boleh terikut-ikut dengan suara versi asal,” ujarnya yang menyumbang suara untuk watak Gloria The Hippo.
Sementara itu, penyanyi Hafiz Suip yang menyumbang suara untuk watak Alex The Lion turut mempunyai pandangan yang sama dan menyatakan bukan mudah untuk melakukan proses alih suara berkenaan.
“Selain perlu berjaga-jaga dengan kawalan suara dan membuat gaya tersendiri, pergerakan bibir dengan watak animasi yang dibawa juga perlu selari supaya filem animasi tersebut kelihatan lebih kemas,” jelasnya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: