|
KETIKA melangkah masuk ke Dewan Balairong Seri, Muzium Sultan Abu Bakar, Pekan, Pahang mata terpaku melihat deretan busana tradisional yang sarat dengan perincian klasik tetapi direka dengan garapan sentuhan moden.
Setiap busana kontemporari itu merupakan karya agung pereka antarabangsa, Datuk Bernard Chandran yang mempunyai pelanggan berprofil tinggi antaranya kerabat Diraja Brunei, Malaysia, selebriti tempatan dan antarabangsa.
Melalui Pameran Perkahwinan Melayu Kontemporari, pengunjung dapat melihat sendiri keindahan dan kehalusan estetika rekaan agung Bernard itu dengan lebih dekat. Istimewanya, setiap busana merupakan pilihan yang dibuat penuh teliti selama berbulan-bulan bagi memastikan nilai eksklusif setara dengan hasilnya.
Malah terdapat busana yang berharga mencecah RM619,000 yang direka dengan perincian mewah menggunakan fabrik mahal dan batu-batuan seperti kristal dan swarovski.
Tumpuan utama semestinya busana-busana pengantin diraja yang diterbangkan khas dari Brunei. Beberapa rekaan menggunakan fabrik tradisi negara tersebut iaitu Jong Sarat.
Jong Sarat merupakan kain signatur Brunei yang sering digunakan dalam majlis perkahwinan diraja. Ia menekap unsur-unsur alam dan Islamik dalam rekaannya berdasarkan kehidupan harmoni negara yang kaya dengan hasil minyak itu. Tempoh pembuatan mengambil masa hampir tiga bulan atau lebih bergantung kepada kerumitan motif selain kemahiran dan kepakaran seseorang penenun.
Ketinggian artistik Jong Sarat menjadi pilihan utama kepada pengantin Diraja Brunei untuk diterjemahkan kepada busana hari persandingan mereka.
Persandingan Diraja Brunei
Keindahan fabrik itu dapat dilihat melalui busana yang disarungkan oleh puteri kepada Sultan Hassanal Bolkiah iaitu Puteri Hajah Majeedah Nuurul Bulqiah. Pakaian pengantin rasmi itu menggunakan 80 peratus rona emas dan 20 peratus merah hati dikemaskan dengan perincian kristal, sekuin dan manik bermutu tinggi.
Persandingan Dayangku Ratna Siti Nooraishah turut menggunakan material sama dalam perkahwinannya yang dilangsungkan pada tahun 2012. Busana bermotifkan bunga-bunga tradisional dilatari rona perak sebagai warna asas.
Dalam tempoh dua dekad, Bernard diberi kepercayaan untuk mereka busana pengantin Diraja Brunei. Gabungan moden dan klasik sentuhannya menambah seri dan kejelitaan si pengantin.
Selain Puteri Majeedah, Bernard turut mempamerkan busana untuk beberapa kerabat Brunei lain antaranya Puteri Hajah Hafizah Sururul Bulqiah, Puteri Hamidah Jamalul Bulqiah dan Pengiran Yura Halimatussa’dah.
Lebih 10 pasang busana dari Brunei dipamerkan dalam muzium itu. Beberapa rekaan pada awal pembabitan Bernard dalam industri fesyen turut dibawa masuk untuk ditunjukkan kepada masyarakat tempatan.
“Salah satunya ialah baju kebaya panjang renda Lurex yang direka untuk pertunjukan fesyen Rias pada tahun 1996. Ia merupakan koleksi tertua yang dipamerkan dalam muzium ini,” ujarnya. Kebaya dengan perincian kristal itu antara percubaan awal Bernard dalam mereka busana tradisional.
“Pada waktu itu, harga kristal sangat mahal. Saya mengingatkan pekerja untuk mengira jumlah kristal agar tidak berlebihan digunakan dalam penghasilan kebaya tersebut,” imbas Bernard.
Turut dipamerkan ialah kebaya yang menggunakan enam meter kain, direka pada tahun 1994. Ketika itu, kata Bernard, orang ramai mengatakan rekaan tersebut tidak masuk akal kerana lari daripada rekaan tradisi biasa.
“Tetapi beberapa tahun selepas itu, ramai mula membuat kebaya dalam rekaan serupa.
“Saya mahu memberi inspirasi kepada pereka baharu dan tukang jahit kecil untuk mempunyai stail tersendiri melalui penerapan daripada rekaan asli saya. Jika mereka dapat melakukannya, ia memberi kesan yang baik kepada masyarakat kita,” jelasnya.
Idea mempamerkan busana itu tercetus ketika Bernard melawat Muzium Permaisuri Sirikit, Thailand. Dalam muzium itu, koleksi busana permaisuri kesayangan negara jiran tersebut dikumpulkan sejak 1950-an. Setiap persalinan merupakan ciptaan pereka dari Perancis, Pierre Balmain.
“Koleksi selama 25 tahun itu sangat menakjubkan dan ia memberi ilham kepada saya untuk melakukan perkara yang sama suatu hari nanti,” kata Bernard.
Busana untuk pameran
Bapa kepada lima orang anak itu, menambah, jiwanya yang dekat dengan muzium dipupuk sejak menuntut di Paris, Perancis 20 tahun dahulu. Banyak yang dipelajari Bernard ketika mengunjungi satu per satu muzium di negara itu.
Sekembalinya ke tanah air, dia terus ke Muzium Negara untuk melihat sejarah susur galur busana tradisional masyarakat berbilang kaum di Malaysia. Bernard cuba mencari informasi mengenai sejarah di sebalik busana seperti cheongsam atau baju kurung Kedah.
“Saya masih belum jelas dengan maklumat yang diperoleh. Disebabkan itu, saya nekad untuk mengarkibkan setiap perkara yang berlaku di sekeliling saya.
“Sehinggakan, ada seorang pekerja yang akan mengambil gambar baju yang saya pakai setiap hari selain gambar anak-anak. Ia akan disimpan secara bersistem seperti yang dilakukan dalam sebuah muzium,” jelasnya.
Cita-cita untuk mempamerkan busana dalam muzium akhirnya terlaksana apabila mendapat pelawaan daripada Pengarah dan Kurator Muzium Sultan Abu Bakar, Ahmad Farid Abd. Jalal.
Mereka bersama-sama merangka perancangan dengan mengumpul busana-busana selain mendapatkan maklumat penting untuk pameran tersebut.
Hampir setahun mereka cuba merealisasikan impian itu sehinggalah menempah khas patung mannequin dari Perancis. Ia bertujuan untuk mendapatkan bentuk asal baju tersebut tanpa perlu diubah.
Malah, susun atur muzium juga mendapat sentuhan peribadi Bernard bagi memberi impak yang lebih berkesan. Melangkah masuk ke Balairong Seri, pengunjung akan melihat foto-foto perkahwinan pengantin Melayu era 50-an hingga 80-an. Pada satu sudut, ditayangkan video persandingan penduduk setempat dengan gaya terkini.
Busana persandingan diletakkan mengikut kedudukan tertinggi takhta Diraja Brunei. Di antara pakaian pengantin diraja itu, turut kelihatan busana yang dipakai oleh isteri kepada angkasawan pertama negara, Datin Dr. Halina Mohd. Yunos. Busana itu sama gah melalui rekaan geometri dengan perincian efek tiga dimensi.
Setiap busana disertakan bersama penerangan maklumat baju yang menggunakan alat gajet tablet bagi memberikan informasi berkaitan pemakai, fabrik dan tahun ia direka.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: