Friday, July 26, 2013

Opick pernah dilamar wanita




OPICK atau nama sebenarnya Aunur Rofiq Lil Firdaus merupakan nama besar dalam industri muzik Indonesia, terutamanya lagu berkonsep ketuhanan.
Bertemu sendiri dengan penyanyi ini pada pelancaran album kesembilannya yang berjudul Ya Maulana di Restoran Hadramawt, Kuala Lumpur baru-baru ini, orangnya cukup ramah.
Penampilannya juga cukup sederhana. Memadai memakai kain sarung dan berserban putih, tutur katanya juga tersusun rapi, sesekali bercanda dengan pihak media.
Walaupun berstatus penyanyi lagu ketuhanan tetapi diakui, ramai yang menghormati keperibadian Opick lebih daripada itu. Ada yang menganggapnya seperti ustaz dan menawarkannya untuk membuat ceramah tetapi ditolaknya dengan baik.
"Saya bukan ustaz tetapi penyanyi. Jika diminta untuk memberi ceramah motivasi, saya tidak keberatan. Namun, jika ceramah agama saya tidak mahu, lebih ramai orang yang bijaksana dan tinggi ilmu agamanya daripada saya," katanya jujur.
Ditebak mengapa tidak mengambil peluang untuk berceramah sedangkan itu merupakan salah satu cara untuk berdakwah.
Jawabnya: "Kalau saya berceramah, saya sudah seperti ustaz, nanti ramai yang protes atau mempersoalkan kenapa ustaz menyanyi?
"Jadi, saya lebih selesa bergelar seniman. Mudah untuk saya masuk ke mana-mana saluran, hiburan boleh, dakwah pun boleh juga."
Bukan itu sahaja, suami kepada Dian Rosita, 30, dan bapa kepada empat cahaya mata itu juga pernah dilamar oleh beberapa wanita yang sudi menikahinya walaupun sedar statusnya sebagai suami orang.
"Godaan itu banyak termasuk ada yang mengajak saya bernikah. Perkara ini memang berlaku tetapi wanita-wanita yang mengajak saya bernikah sekarang hanya mengenali diri saya yang sudah popular dan berimej sopan dengan serban.
"Kalau mereka bertemu ketika saya masih berambut panjang, menyanyi lagu rock, bekerja hanya sebagai pembersih studio muzik dan tidak mempunyai wang rasanya mereka mahu atau tidak mengajak saya kahwin?
"Pastinya tidak, satu-satunya wanita yang mahu menikahi saya ketika itu hanyalah isteri saya sahaja. Dia sahaja yang mahu saya walaupun saya tidak popular dan mempunyai wang," ceritanya panjang lebar.

OPICK cukup bersyukur kerana kehadirannya diterima baik oleh semua peminat.


Godaan Opick
Selain diajak kahwin, Opick juga banyak menerima godaan apabila ramai wanita yang cuba meluahkan perasaan dan masalah kepadanya.
Bagaimanapun, Opick mempunyai cara yang terbaik untuk menghalang hubungan melebihi batas antara peminat wanitanya dengan dirinya.
"Ada yang datang cuba meluahkan perasaan dan masalah masing-masing. Senang sahaja, saya katakan pada mereka, jangan curahkan masalah hati pada saya tetapi curahkan pada Allah sahaja.
"Saya cuba menjaga batas hubungan antara peminat. Bukan apa, saya takut mungkin pada mulanya saya hanya mendengar masalah tetapi lama-lama mungkin orang itu suka pada saya dan saya juga suka pada dia. Itu sudah masalah besar, saya tidak mahu jadi begitu," katanya.
Bercakap tentang poligami, kata Opick jodoh yang ditentukan oleh Allah tidak dapat diramal tetapi sehingga ke hari ini dia hanya setia pada isterinya seorang.
Bahkan, pada majlis pelancaran album itu, Opick turut membawa isterinya sebagai hadiah ulang tahun perkahwinan mereka yang ke-11.
"Kebetulan tarikh ulang tahun perkahwinan kami jatuh pada tanggal 15 Julai, jadi saya ajak sekali isteri untuk berkunjung ke Kuala Lumpur.
"Kami hanya berada di Kuala Lumpur sehari sahaja, selepas pulang ke Indonesia, jadual saya cukup padat dengan aktiviti promosi album di beberapa kota," balasnya.
Kehidupan berubah
Bercerita lanjut mengenai masa silamnya, Opick menjelaskan, sebelum ini dia terpesong cukup jauh. Dia bergaul dengan orang yang mengamalkan seks bebas, mengambil dadah dan mengusung muzik rock yang liriknya berkisar tentang protes terhadap kerajaan.
Namun, selepas memperoleh hidayah dan diajak oleh seorang rakan bernama Agus Idwar untuk menyanyi lagu ketuhanan, kehidupannya berubah sama sekali.
"Ketika saya menyanyi lagu rock dan berbangga dengan imej rambut panjang, saya tidak mempunyai wang, bahkan album rock saya tidak laku (ketawa).
"Sejak muncul dengan lagu Ubat Hati yang merupakan lagu ketuhanan saya yang pertama, kehidupan saya berubah dan taraf ekonomi juga makin meningkat selepas itu," ujarnya.

OPICK bersama isterinya, Dian Rosita yang telah dinikahinya selama 11 tahun.


Terangnya, selain berdakwah, menyanyi lagu ketuhanan juga merupakan caranya menasihati dirinya sendiri supaya sentiasa ingat kepada Allah.
"Saya menyanyi untuk hiburkan orang serta berdakwah tetapi pada masa yang sama itu cara untuk saya mengingatkan diri sendiri juga," balasnya.
Menariknya sejak memilih lagu ketuhanan, inspirasi luar biasa datang kepadanya tanpa disedari. Kadangkala bapanya juga mempersoalkan lagu-lagu ciptaannya.
"Saya tidak tahu membaca nota muzik dan bermain piano tetapi bila mencipta lagu saya hanya tekan sahaja piano dan rakam bunyi yang terhasil.
"Kemudian, saya akan panggil pemuzik untuk mendengar bunyi itu dan menulis nota muziknya. Bapa saya sering kata, rasanya bukan saya yang mencipta lagu itu sebaliknya atas bantuan orang lain.
"Saya percaya Allah yang memberi inspirasi kepada saya," tuturnya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: