Arja Lee atau nama sebenarnya Azharudin Ramli, 30, berkata, dia dan adik beradiknya yang lain bagiamanapun sudah bersedia dengan sebarang kemungkinan yang akan berlaku terhadap ibunya.
"Siapa yang ingin kehilangan ibu tetapi kami adik beradik sudah bersedia dengan sebarang kemungkinan kerana ibu sudah bertahan selama 13 tahun menentang penyakit berkenaan. Kondisinya kali ini paling teruk," katanya ketika dihubungi mStar Online di sini pada Ahad.
Arja berkata, ibunya dipindahkan daripada Hospital Seberang Jaya, Pulau Pinang ke Hospital Selayang sejak Disember tahun lalu selepas kanser berkenaan telah merebak ke bahagian lain.
Jelas Arja, ibunya ditempatkan di Palliative Care Unit (PCU) hospital berkenaan namun keadaannya bertambah tenat sejak dua minggu lalu.
"Kami mengharapkan keberkatan bulan Ramadan ini akan memberi kekuatan kepada ibu untuk sembuh bagaimanapun jika sudah tertulis ajalnya sampai pada bulan mulia ini, saya reda," ujarnya.
Dalam perkembangan sama, Arja berkata, dia sangat bertuah apabila pihak penerbit sangat memahami situasinya sekarang dan memberi kelonggaran kepadanya untuk menyusun jadual supaya memudahkannya berulang alik untuk menjaga ibunya.
Bagaimanapun kata Arja, dia seboleh-bolehnya tidak mahu menyusahkan pihak lain.
"Di saat rezeki saya dalam bidang lakonan sedang mencurah-curah, saya turut diuji dengan dugaan namun sebagai seorang anak sudah tentu saya mahu sentiasa berada di sisi ibu yang sedang sakit tenat.
"Pada masa sama juga saya kalau boleh tidak mahu menyusahkan pihak lain tetapi saya bersyukur kerana pihak produksi sangat memahami situasi saya," katanya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: