|
PELAKON yang kini turut menjadi penyanyi, Norish Karman atau lebih mesra disapa NK pernah berkahwin dengan bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seri Menanti, Negeri Sembilan, Datuk Hashimuddin Abdul Kadir pada 11 Januari 1998.
Bagaimanapun perkahwinan pasangan itu tidak bertahan lama apabila mereka sah bercerai pada 15 Julai 2008.
Hasil perkahwinan itu, NK dikurniakan tiga cahaya mata iaitu Muhammad Haqiem Amany, 12, Muhammad Hady Amieran, 9, dan Nur Hanyz Amanda, 8.
NK berjaya mendapat hak penjagaan ketiga-tiga orang anaknya.
Begitupun, dedah NK ketika ditemui pada majlis berbuka puasa bersama media dan tayangan program Aidilfitri Astro di Hotel Hilton, Kuala Lumpur baru-baru ini, dia tidak pernah beraya dengan ketiga-tiga anaknya selepas bercerai.
Kepada Kosmo!, NK menjelaskan lebih lanjut mengenai kenyataannya itu.
Kosmo!: Apakah aktiviti anda pada bulan Ramadan kali ini?
NK: Tahun ini saya berehat daripada segala kerja sama ada berlakon, menyanyi atau memberi motivasi kerana mahu fokus pada majlis amal yang melibatkan anak-anak yatim seperti majlis berbuka dan sebagainya. Insya-Allah, amal ini tidak hanya dilakukan pada bulan Ramadan sebaliknya berterusan. Selain itu, saya juga ada membuat hamper raya berupa kek dan juga kuih raya. Saya juga sibuk memasak untuk tempahan berbuka puasa.
Boleh kongsikan pula persiapan raya anda pada tahun ini?
Sebagai seorang ibu saya akan pastikan keutamaan persiapan raya pada anak-anak terlebih dahulu berbanding diri sendiri. Sekurang-kurangnya anak-anak ada dua atau tiga pasang baju raya pada setiap tahun. Anak-anak pun sudah besar dan faham erti sambutan Aidilfitri. Jadi, saya mahu mereka gembira.
|
Dimanakah anda beraya pada tahun ini?
Saya belum pasti mahu beraya di Malaysia atau Singapura. Sebabnya, ibu saya sakit sudah hampir sebulan. Jika dia sihat, dia mahu beraya di sini. Jika tidak, saya akan beraya di Singapura. Anak-anak pula akan beraya dengan bapa mereka. Memang setiap tahun selepas bercerai saya akan hantar anak beraya di rumah bekas suami.
Kenapakah anda membuat tindakan begitu. Adakah disebabkan permintaan atau arahan bekas suami?
Saya nampak dia memerlukan anak-anaknya setiap kali raya. Saya gembira jika dapat membahagiakan dia (bekas suami). Lagipun, saya fikir selama ini memang saya selalu di samping anak-anak. Apa salahnya mereka beraya dengan bapa mereka pula.
Bagaimanakah penerimaan anak-anak dengan tindakan anda itu?
Anak-anak pernah cakap mahu beraya dengan saya pula, tetapi saya tidak mahu. Saya cakap pergilah beraya dengan ayah.
Tidakkah anda sedih tidak dapat beraya dengan anak-anak?
Saya seorang yang positif. Anak-anak cuma beraya selama dua atau tiga hari dengan bekas suami. Selepas itu, mereka beraya dengan saya pula.
Apakah kelainan raya anda pada tahun ini?
Saya gembira kerana dapat beraya dengan anak bongsu saya iaitu Haq Lutfie Alexander, yang kini sudah berusia setahun lebih.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: