• Tenggiling RM45,000 dirampas Nordin (dua, kanan) menunjukkan tenggiling yang dirampas daripada sebuah sampah yang rosak tebing Sungai Sabak Awor, semalam
MUAR - Pasukan Polis Gerakan Marin Wilayah 2 Muar, mematahkan cubaan menyeludup 15 tenggiling dianggarkan bernilai RM45,000 di tebing Sungai Sabak Awor,  di sini, semalam.

Pegawai Pemerintahnya, Asisten Superintendan Nordin Osman berkata, tangkapan kira-kira jam 8 pagi itu, hasil daripada maklumat awam selepas mendapati terdapat sebuah sampan jenis fiber berada di lokasi dalam keadaan mencurigakan.

Menurutnya, dua anggota yang menaiki botronda PSC 43 diarahkan ke lokasi kejadian dan mendapati seorang lelaki berada di atas tebing sungai, manakala seorang lagi lelaki sedang menungah karung ke darat.

“Dua lelaki warga tempatan berusia 30an itu bertindak melarikan diri ke dalam belukar berhampiran sebaik sahaja menyedari kehadiran  anggota marin.

“Sampan berukuran 5.7 meter dengan kuasa 75hp yang membawa lapan karung berisi haiwan eksotik daripada negara jiran ini dipercayai rosak menyebabkannya terkandas di lokasi,” katanya pada sidang media di Pengkalan Polis Marin Wilayah 2 Muar, semalam.

Nordin berkata, pihaknya percaya suspek menjadikan daerah ini sebagai transit sebelum menghantar haiwan itu ke Thailand.

“Sampan dan tenggiling dibawa ke pangkalan sebelum diserahkan kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) daerah ini untuk tindakan lanjut.

“Haiwan ini diambil dari Indonesia kerana harganya jauh lebih rendah  selain dipercayai untuk kegunaan rawatan tenaga batin,” katanya.

Katanya lagi, kes disiasat mengikut Seksyen 68(2)(a) Akta Pemulihan Hidupan Liar 2010 kerana membawa hidupan liar yang dilindungi sepenuhnya tanpa permit khas.

Beliau berkata, jika sabit kesalahan boleh dikenakan dengan tidak kurang RM50,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua- duanya sekali.

Selain itu, beliau memberitahu kes berkenaan juga disiasat di bawah Seksyen 70(1) Akta Pemulihan Hidupan Liar 2010 kerana membawa hidupan liar betina yang dilindungi sepenuhnya tanpa permit khas.

“Jika sabit kesalahan boleh didenda tidak lebih RM300,000 atau penjara tidak lebih 10 tahun atau kedua-duanya,” katanya.

Nordin berkata, harga pasaran semasa bagi tenggiling dianggarkan mencecah RM250 hingga RM300 sekilogram.