|
SAITAMA, Jepun - Sejumlah penumpang dan kru bertindak menolak gerabak sebuah tren sehingga senget untuk mengeluarkan seorang wanita yang tersepit di celah platform di Stesen Kereta Api Minami Urawa di sini.
Mereka menolak gerabak seberat 32,000 kilogram itu bagi menyelamatkan wanita berkenaan yang terjatuh dan tersepit di celah platform sedalam 20 sentimeter ketika waktu puncak pada Isnin lalu.
Kejadian itu dirakam oleh seorang jurugambar akhbar Yomiuri Shimbun yang berada di lokasi kejadian.
Menurut akhbar berkenaan, pengumuman mengenai insiden seorang penumpang terjatuh dan tersepit di celah platform dan gerabak kereta api mendorong sekitar 40 penumpang untuk memberi bantuan.
Mangsa yang berusia 30 tahun ditarik keluar tanpa mengalami sebarang kecederaan.
Orang ramai yang berada di tempat kejadian bertepuk tangan melihat mangsa berjaya diselamatkan.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: