Sunday, July 28, 2013

Eksperimentasi Lab The Rat



BERDIRI dari kiri: Syarul, Nik Azwa, Syaril disertai Shahirah dan Syaiful. Lab The Rat yang ditubuhkan pada tahun 2006 kini mempunyai sebuah album, Love the Mission.


KUMPULAN Lab The Rat yang ditubuhkan pada tahun 2006 terus aktif sehingga kini disebabkan ikatan kuat anggota-anggotanya.
Lab The Rat pernah memenangi pertandingan Global Battle of the Bands Challenge Malaysia 2008 sehingga melayakkan mereka pergi ke London, Britain. Sungguhpun tidak memenangi hadiah perdana, mereka diangkat sebagai Band Pilihan Peminat berdasarkan undian.
Itu antara perjalanan manis yang dilakarkan oleh Syarul Reza, Shahirah Aishah, Syaril Zizi, Syaiful Nazri, Nik Azwaa dan Kech. Mereka bermula dengan membuat persembahan pada majlis perkahwinan ahli keluarga sebelum tampil dengan muzik tersendiri.
Disifatkan oleh banyak pihak sebagai grup bersaudara kerana menghimpunkan tiga adik-beradik iaitu Syarul, Syaril dan Syaiful, Lab The Rat kini bernaung di bawah label Laguna Music.
Kesungguhan menjadi pemuzik dizahirkan dengan pelancaran album perdana mereka, Love the Mission yang menghimpunkan lapan buah lagu.
"Kami mengetengahkan lagu-lagu kontemporari dewasa yang sedap didengar dan menghiburkan," ujar Syarul, vokalis dan suami kepada satu-satunya anggota wanita grup ini iaitu Shahirah.
Album Love the Mission dilancarkan pada 8 Mei lalu di Pavilion Kuala Lumpur. Ia merupakan rentetan kejayaan single mereka, I Know (2010) yang berjaya mendapat tempat di hati peminat.
"Kesemua lagu ditulis dan digubah oleh ahli kumpulan sendiri yang berkisar tentang kehidupan kami. Ada antara lagu itu dibuat selepas mengharungi kesesakan lalu lintas yang teruk di Kuala Lumpur. Lagu itu diberi judul City," ujar Syaril.
"Lagu pada trek pertama iaitu Send Us to Ukraine dihasilkan kerana kami ada cita-cita untuk ke sana. Ada teman yang memberitahu, kos dan perbelanjaan di sana murah, jadi kami teringin untuk melawat negara tersebut," ujar Syarul lagi.
"Sewaktu kami menandatangani perjanjian dengan pihak Laguna dua tahun lalu, kami tahu, kami perlu memulakan dengan menulis lagu kerana kami tidak cukup material untuk melancarkan album.
"Dalam masa yang sama, kami turut membuat persembahan untuk mengukuhkan pendedahan terhadap grup ini," terang Nik Azwa.
Ditanyakan tentang pengaruh muzik yang dibawakan oleh grup yang berusia tujuh tahun ini, mereka bersetuju menyatakan ia membawakan cita rasa era 90-an.
"Misi kami ialah berkongsi muzik dan setiap ahli kumpulan merupakan penulis lagu berdasarkan sentuhan pengaruh muzik yang dibawakan mereka," jelas Syarul.
Untuk mendapatkan maklumat lanjut mengenai kumpulan ini, layari laman sosial mereka di www.facebook.com/labtherat atau di blog www.labtherat.com.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: