Tuesday, July 30, 2013

Diana Amir nikah tahun ini juga

FIGURA ini sudah bersedia pada bila-bila masa sahaja untuk bergelar seorang isteri.


SEMENJAK mengambil keputusan untuk berhijab kira-kira dua tahun lalu, ternyata pelakon Diana Amir sudah agak jarang muncul di kaca televisyen atau layar perak.
Berkesempatan menemui Diana pada majlis berbuka puasa anjuran Metrowealth baru-baru ini, dia mengakui terpaksa menolak banyak tawaran berlakon lantaran watak yang kurang sesuai.
Kali terakhir berlakon dalam filem Salam Cinta pada tahun lalu, Diana menyatakan, sehingga kini dia masih lagi aktif berlakon dan kekal bernaung di bawah Metrowealth sehingga bulan Februari 2015.
Diana yang turut bergelar pengacara rancangan SIS terbitan TV9 itu berkata, kini dia masih lagi menunggu sekiranya ada tawaran yang memerlukannya membawa watak yang sesuai dengan penampilannya sekarang.
Kosmo!: Ketika ini Diana dilihat seperti sudah tidak aktif berlakon. Adakah Diana mahu melupakan terus bidang lakonan?
DIANA: Perkara tersebut memang benar-benar terjadi sejak saya mengubah penampilan kepada bertudung sekarang. Tawaran berlakon masih lagi ada, cuma watak yang diberikan tidak sesuai dengan penampilan saya.
Bagaimanapun, saya tidaklah terlalu memilih sangat apabila ditawarkan berlakon dan tidak semestinya saya memilih drama atau filem yang berbentuk keagamaan.
Asalkan jalan ceritanya yang memberi mesej positif kepada penonton pun saya terima.
Adakah Diana pernah mengadakan perbincangan tentang masa depan karier lakonan anda dengan Metrowealth?
Saya pernah berbincang dengan bos Metrowealth iaitu David Teo tentang karier saya. Kemudian dia memberitahu bahawa setakat ini masih belum ada filem atau drama yang sesuai untuk ditawarkan kepada saya.
Sebenarnya saya tidak kisah kalau tidak banyak mendapat tawaran kerana percaya rezeki itu di tangan Allah. Lagipun, kalau tidak berlakon saya masih ada lagi punca pendapatan lain untuk menampung kehidupan seharian saya.
DIANA AMIR mengakui pernah berbincang dengan David Teo tentang masa depan karier lakonannya.


Memandangkan anda tidak aktif berlakon, apakah aktiviti yang dilakukan sekarang?
Baru-baru ini saya baru sahaja menerbitkan sebuah buku motivasi berjudul Titisan Mahabbah terbitan Mustread Publication yang telah dilancarkan kira-kira dua minggu lalu dan sambutan yang diterima memang sangat memberangsangkan.
Selain itu, saya juga menjalankan perniagaan menjual tudung jenama Emel secara dalam talian serta diundang untuk memberi ceramah tentang etika dan ketrampilan wanita di beberapa syarikat korporat.
Anda sudah mengikat tali pertunangan dengan Mohd. Habib Bullah A. Rahman pada tahun lalu. Jadi, bilakah kalian akan melangsungkan perkahwinan?
Kalau mengikut kepada perbincangan semasa bertunang dahulu, memang kami ikat selama setahun dan sepatutnya perkahwinan akan dilangsungkan pada bulan September depan.
Bagaimanapun, perancangan tersebut terpaksa ditangguhkan kerana persediaan perkahwinan masih belum dilakukan lagi.
Sebenarnya saya tidak mahu tangguh lama-lama dan kalau boleh saya tetap ingin berkahwin pada tahun ini.
Lagipun sekarang saya sudah bersedia untuk bergelar seorang isteri tetapi sebagai seorang wanita saya cuma menunggu tarikh yang akan diberikan oleh tunang saya.
Apakah aktiviti yang anda lakukan sepanjang bulan puasa?
Sepanjang tempoh sebulan ini kelas agama bersama kumpulan Usrah Fitrah dihentikan buat sementara waktu untuk memberi tumpuan kepada amal ibadat.
Ketika ini, saya bersama ahli Usrah Fitrah yang lain seperti Heliza Helmi, Irma Hasmie dan Yatt Hamzah bekerjasama dengan Masjid As-Syakirin di KLCC menganjurkan program tarbiah, solat tarawih dan qiamullail.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: