Sunday, July 28, 2013
Selebriti berniaga dalam bulan Ramadan
SEJAK lebih 20 tahun lalu, apabila tibanya bulan puasa, bazar Ramadan Seksyen 1, Wangsa Maju pasti menjadi rumah kedua buat penyanyi Asmidar dan keluarganya. Di situlah, tempat mereka berniaga menambah pendapatan dan berbuka bersama-sama. Situasi itu turut dikongsi bersama-sama dengan peniaga lain.
"Martabak, martabak! Seringgit sahaja! Macam itulah kerja saya semasa kecil dahulu. Sekarang, kerja saya hanya menggoreng martabak, bungkus dan layan pelanggan. Bab tebar roti, saya tak pandai sangat, boleh buat tapi mesti senget-senget, lagipun itu tugas ayah dan abang saya," kata Asmidar sesekali terkenangkan zaman kanak-kanaknya membantu keluarga berniaga martabak di bazar Ramadan.
Pernah juga, ketika hendak menemani ibu berniaga martabak di bazar, Asmidar yang pada waktu itu berusia lima tahun hanya ditemani si abang yang baru berusia tujuh tahun. Jarak dari rumah ke tapak bazar kira-kira 500 meter.
"Ketika itu hujan lebat. Tiba-tiba abang tergelincir ke dalam longkang besar dan dihanyutkan arus. Nasib baik salah seorang peniaga di situ sempat mencapai tangan abang, kalau tidak, tak tahulah apa yang akan terjadi. Ayah dan mak pun tak sempat buat apa-apa," cerita Asmidar.
Tambahnya: "Dulu ayah guna beca untuk angkut barang-barang niaga ke bazar. Pernah juga beca itu terbalik dan semua adunan serta kuah martabak tumpah. Langsung tak jadi berniaga."
Menjadi artis juga bukan alasan untuk Asmidar berasa malu melayan pelanggan di bazar Ramadan. Sementelah dia memang membesar di kejiranan berkenaan.
Pada setiap hari dan saban tahun, terutamanya dalam bulan puasa, Martabak Mat Labu memang cukup dikenali penduduk setempat di sekitar Seksyen 1, Wangsa Maju.
Secara purata, pada setiap hari, jualan Martabak Mat Labu boleh mencecah 600 hingga 700 keping. Selain martabak ayam dan daging resipi istimewa bapanya iaitu Ahmad Labu yang menjadi tarikan utama, keluarga Asmidar turut menjual roti boom sebagai menu tambahan.
Menurut Asmidar, menu roti boom diperkenalkan untuk menarik lebih ramai pelanggan ekoran kemunculan banyak peniaga martabak di bazar yang sama.
"Dulu martabak kami sangat laris sampai pelanggan kena beratur panjang. Tetapi, pernah sekali dalam bulan puasa, tapak berniaga diubah-ubah menyebabkan jualan merosot teruk. Justeru, pada tahun itu, kami mula jual roti boom.
"Berniaga juga memang nampak seronok tetapi kerjanya bukan hanya di bazar. Habis berniaga, sebelum tidur, emak kena sediakan bahan-bahan untuk adunan tepung dan kuah. Pagi-pagi sebelum mula berniaga, kena masak dan bungkus semua kuah martabak," jelas penyanyi yang terkenal menerusi lagu Biar Mimpi Sampai Ke Bintang itu.
Selain sibuk dengan aktiviti yang banyak dihabiskan dengan membantu perniagaan keluarga di bazar, Asmidar yang muncul dengan album sulung, Kali Pertama itu turut tidak menang tangan memenuhi undangan rakaman program raya dan sesi fotografi.
"Saya ada membuat rakaman program raya bersama atlet sukan yang akan disiarkan di RTM. Selepas raya, single ketiga daripada album Kali Pertama akan dilancarkan," katanya.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: