Sunday, July 28, 2013
Pesanan deejay sempena raya
SUARA-SUARA di corong radio memang antara yang paling dekat dengan khalayak ketika memandu. Paling tidak mereka menjadi penghibur tatkala mengharung kesesakan trafik.
Tiga deejay daripada radio Hot FM ini ditemui semasa mereka melayan anak-anak yatim berbuka puasa di Pusat Konvensyen Sime Darby, Kuala Lumpur baru-baru ini. Selain melontarkan pandangan tentang perjalanan dan situasi lagu-lagu dalam radio, mereka turut berkongsi pendapat tentang produk tempatan dan kebanggaan mereka terhadap karya-karya ini.
Tidak lupa juga untuk Sharifah Aleya, Deen dan Kieran berpesan kepada khalayak tentang tragedi yang sering berlaku pada setiap kali musim perayaan. Beringat sebelum terlambat.
Dalam kesempatan itu, radio Hot FM memperkenalkan lapan segmen istimewa yang pasti menghiburkan. Antaranya ialah Akustika Raya, Hero Aidilfitri, Hot FM 30 Edisi Raya, ND Lala dan Shila Di Raya Paling Hangat, 4 Suara, Aidilfitri Di Rantauan dan Raihan vs Rabbani.
Deejay kini didakwa menentukan arah tuju perjalanan muzik masa kini dengan pemilihan lagu di radio. Apa pendapat kalian?
SHARIFAH ALEYA (SA): Arah tuju dan perjalanan muzik sekarang ini masih lagi bergantung pada cita rasa pendengar radio dan muzik. Cita rasa tersebut dikenal pasti menerusi berpuluh-puluh sesi kajian yang mengambil masa beberapa hari sehinggalah berbulan bulan.
DEEN (D): Kebanyakan lagu yang dimainkan di radio akan menjadi popular dan memberi impak positif kepada penyanyi. Tetapi, kalau dilihat dari segi pemilihan lagu yang dimainkan di radio, sebenarnya deejay tidak mempunyai kuasa mutlak untuk memilih lagu yang dimainkan.
Mungkin ada yang menganggap deejay hanya memainkan lagu-lagu kesukaan sendiri untuk dimainkan, tetapi pada hakikatnya, lagu-lagu yang dimainkan itu dipilih oleh Pengarah Muzik. Namun, lagu-lagu itu bukanlah dimainkan mengikut cita rasa kami 'orang radio'. Namun, semua lagu yang diterima baik daripada syarikat rakaman ataupun artis indie perlu melalui proses ujian sama ada sesuai atau tidak dimainkan mengikut format radio dan latar belakang pendengar radio.
KIERAN (K): Kenyataan itu mungkin tidak tepat. Kami bukan lagi deejay yang memutarkan lagu di konti tetapi kami kini ialah penyampai radio yang menyampaikan atau mengumumkan lagu-lagu yang sedang, telah atau akan disiarkan. Susunan lagu dibuat oleh pengarah muzik stesen radio tersebut dan semuanya berdasarkan kajian berterusan terhadap selera pendengar. Secara ringkasnya, pendengar radio yang sebenarnya menentukan arah tuju industri muzik kita. Semuanya terletak di hujung jari mereka.
Benarkan deejay amal pilih kasih?
SA: Mungkin dari segi cita rasa peribadi, artis atau genre lagu yang lebih secocok dengan deejay berkenaan. Itu adalah benar dengan setiap individu tanpa mengira kerjayanya. Dalam dunia radio, selera seorang deejay tidak diambil kira dalam menentukan senarai lagu, malah tidak dibenarkan dalam studio sekali pun.
D: Ramai yang beranggapan ada deejay hanya memainkan 'lagu kawan-kawan' tetapi bagi saya itu merupakan satu perbuatan yang tidak adil terutama buat penyanyi baru nak naik atau penyanyi suam-suam kuku yang sukar untuk mendapatkan publisiti. Tiada diskriminasi dalam muzik, tidak ada mengira latar belakang penyanyi atau genre yang dibawa.
K: Setiap penyampai radio mempunyai kecenderungan terhadap genre muzik atau artis yang tertentu. Tetapi, bila ke udara semua itu perlu diketepikan kerana setiap stesen radio ada formatnya yang tersendiri. Tidak akan timbul masalah 'pilih bulu' kerana susunan muzik stesen radio tersebut adalah berdasarkan format radio dan hasil kajian.
Apa yang kalian harapkan dalam karya tempatan?
SA: Sebagai pendengar (bukan penyampai), saya mengharapkan lebih keberanian mencuba sesuatu yang baharu. Saya rasa bangga kerana sekarang memang ternyata lebih ramai penyanyi yang bukan sekadar penyanyi semata-mata, mereka juga boleh menjadi komposer, penulis lirik, penyusun muzik dan juga produser karya sendiri.
D: Kebanyakan lagu-lagu yang dimainkan datang daripada komposer sama dan dinyanyikan oleh penyanyi-penyanyi solo yang sama. Tidak banyak lagu-lagu daripada grup tempatan yang mampu memenuhi halwa telinga arus perdana yang dimainkan di radio. Malaysia mempunyai banyak grup tempatan yang dianggotai oleh jiwa muda tetapi kebanyakan mereka lebih suka mencipta lagu berdasarkan identiti grup sendiri malangnya karya mereka kurang catchy dan akhirnya sukar untuk menembusi radio. Saya rasa grup-grup tempatan perlu lebih peka dengan cita rasa pendengar-pendengar radio lagu supaya ia juga untuk 'duit poket' mereka.
K: Sesuatu yang baharu dan segar dan tidak berpandukan kepada perubahan muzik dari luar negara. Kita biasanya melakukan perubahan apabila berlakunya 'tsunami muzik' dari luar seperti K-Pop dan sebagainya. Ini menyebabkan muzik kita tiada keaslian.
Apa pula yang dibanggakan tentang produk tempatan?
SA: Terlalu banyak yang patut dibanggakan. Bakat, karya dan semangat tidak pernah putus asa dalam industri ini sangat menakjubkan. Pengkarya tanah air tidak pernah segan atau terlalu bangga diri untuk berkolaborasi dengan bakat luar. Kita sangat yakin dengan muzik, budaya dan kemampuan kita. Harapan saya, lebihkan sokongan dan kepercayaan daripada para peminat agar produk tempatan lebih menonjol di mata dunia.
D: Produk tempatan yang asli bagi saya ialah lagu yang dicipta oleh komposer tempatan, penulis lirik tempatan, penyanyi tempatan dan susunan muzik pun oleh orang tempatan. Tetapi, untuk memperoleh kualiti lagu yang baik sekarang ini, ramai yang membawa lagu mereka untuk proses mixing, mastering ke luar negara yang saya rasa masih boleh dianggap produk tempatan kerana pada asalnya masih dicipta oleh komposer tempatan.
K: Kita mempunyai ramai penyanyi yang berkualiti dari segi suara dan persembahan. Tetapi, kerana kita mengamalkan sikap terbuka, industri kita terjejas dengan kebanjiran muzik asing. Artis luar seperti lebih dibanggakan dan lebih diberikan peluang untuk mengadakan persembahan serta mendapat liputan di negara kita. Jika senario ini berubah, sudah pasti para peminat muzik akan lebih menghargai artis tempatan.
Kalau bercakap tentang radio dan raya, apa yang melekat dalam fikiran kalian?
SA: Tidak tahu kenapa tapi bila bercakap tentang radio dan raya, terdengar lagu Black Dog Bone, Cahaya Aidilfitri bermain dalam kepala. Mungkin kerana sejak bermula kerjaya saya dalam dunia radio ni, rasanya susah sangat nak bercuti raya yang panjang. Tapi tidak mengapa, adakalanya seronok berada dalam konti studio, melayan pendengar yang telefon dan berkongsi nasib yang sama (kerja waktu raya). Pergilah ke mana-mana ceruk dunia pun, tidak akan jumpa lagu-lagu raya yang sama nostalgia, makna, merdu, seronok seperti mana kita jumpa di Malaysia. Mana lagi nak dengar lagu-lagu raya yang bagus-bagus ini kalau bukan di radio?
D: Saya rasa radio merupakan medium yang paling penting menyebarkan semangat raya. Sejak kecil dulu pun, bila nak dekat raya, memang saya akan buka radio semata-mata nak dengar lagu raya. Mood lagu raya yang didengar daripada radio sememangnya lebih memberi semangat nak menyambut hari raya berbanding mendengar lagu raya melalui cakera padat atau telefon bimbit.
K: Sudah pastinya, lagu-lagu raya yang dimainkan sepanjang musim perayaan kerana lagu-lagu ini hanya akan dimainkan sepanjang bulan Syawal sahaja.
Bila sampai musim hari raya, berita yang paling kerap kita tatap ialah insiden putus jari kerana mercun dan kemalangan. Nasihat kalian terhadap anak-anak muda?
SA: Minta jauh kerana saya memang takut dan sangat tidak senang dengan isu mercun. Kalau ada budak bermain mercun bersama bapa mereka atau pak cik- serta mak cik mereka pun saya sudah risau semacam. Saya masih teringat baju raya yang dipakai sepupu saya terbakar depan mata akibat bermain bunga api. Saya merayulah kepada ibu-ibu di luar sana, garanglah sikit. Ingat masa depan anak-anak. Kita tidak mahu mereka kekurangan jari, buta mata sebelah atau kedua-dua belah mata atau paling teruk sekali (nauzubillah) mati akibat mercun.
D: Ibu bapa patut memainkan peranan yang sangat penting untuk memberi nasihat kepada anak-anak. Bukan setakat memberi nasihat sahaja, ibu bapa juga perlu memantau aktiviti anak-anak terutama yang masih kecil. Perlu tahu dengan siapa mereka bermain sebab kanak-kanak khususnya mudah terpengaruh dengan kawan-kawan dan lebih suka mengikut. Kepada yang sudah remaja atau dah besar panjang tu, jangan hendak tunjuk hero dengan bermain mercun, nanti dah putus jari dah tak cun.
K: Senario kemalangan melibatkan mercun ini seperti mustahil untuk tidak berlaku setiap kali dalam musim perayaan. Walaupun sudah banyak insiden kecelakaan yang berlaku, ia masih tidak mendatangkan kesedaran. Mungkin sebelum tibanya musim perayaan, iklan atau paparan setiap insiden yang lepas perlu diulang semula sebagai peringatan. Tentang kemalangan jalan raya, punca utamanya adalah kecuaian dan kurang kesabaran dalam pemanduan. Jika lebih fokus dan bersabar, ia pasti dapat dikurangkan.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: