Ketua Polis Daerah Kulim, Superintendan Ghuzlan Saleh berkata, dalam kejadian 19 Julai lalu, dua remaja berjaya ditahan setelah melarikan diri apabila terserempak dengan anggota polis kira-kira jam 4.30 pagi di Taman Jati ketika sedang membuat rondaan pencegahan jenayah.
Menurutnya, setelah siasatan dijalankan, suspek bersedia bekerjasama dengan polis untuk menunjukkan kawasan di mana rangka motosikal dicuri serta dibuang dan rumah ahli kumpulan lain.
"Setelah membuat pemantauan, polis membuat serbuan di Kampung Sungai Seluang Atas dan menahan seorang remaja berusia 18 tahun dipercayai ketua kumpulan dan perancang Geng Ad Sungai Seluang kira-kira jam 4.20 petang kelmarin.
“Suspek kemudiannya dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kulim untuk siasatan lanjut sebelum membuat serbuan kedua kira-kira jam 6.15 petang di Taman Aman. Ketika serbuan dibuat, polis terlihat sekumpulan tujuh remaja duduk di tepi padang bersama beberapa motosikal. Dari maklumat suspek yang membuat pengecaman, seorang suspek berada dalam kumpulan berkenaan," katanya kepada Sinar Harian.
Katanya, pihaknya menahan seorang dari suspek dan dibawa balik ke IPD untuk siasatan dan operasi dihentikan dan bermula semula kira-kira jam 4 pagi semalam dan berjaya menahan dua lagi ahli kumpulan itu di rumah mereka di Kampung Seluang Atas.
"Dengan tertangkapnya kesemua ahli kumpulan itu, polis percaya dapat menyelesaikan lebih enam kes kecurian motosikal yang berlaku di Kulim. Semua ditahan akan disiasat di bawah Seksyen 379A Kanun Keseksaan kerana mencuri motosikal,” katanya.
Ghuzlan berkata, pihaknya menasihatkan kepada semua suspek terlibat kegiatan mencuri motosikal untuk menghentikan perlakuan jenayah mereka kerana sehingga kini polis sudah mengenal pasti beberapa lokasi suspek berada.
"Jangan sampai suspek terlibat berhari raya di penjara atau lokap. Polis akan membuat operasi dan pemeriksaan di rumah dan tempat kerja suspek terlibat. Operasi ini akan berterusan dan tangkapan terhadap suspek akan dijalankan.
"Mencuri motosikal merupakan satu jenayah yang boleh mengakibatkan suspek berakhir dengan hukuman penjara,” katanya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: