|
LAZIMNYA Fatihah Mohamed, 29, terpaksa bersesak-sesak baik di parkir atau ketika membeli-belah barangan keperluan rumah di pasar raya Tesco.
Menurut anak jati Kuala Lumpur itu, kadangkala dia terpaksa menunggu lama apatah lagi sewaktu musim perayaan dan jualan murah.
Mahu ataupun tidak, itulah situasi yang terpaksa ditempuh kerana dia lebih gemar membeli barangan keperluan dapur di Tesco memandangkan harganya yang berpatutan.
Namun, baru-baru ini, dia berjinak-jinak menggunakan perkhidmatan pembelian barangan dapur secara dalam talian selepas melihat papan tanda di Tesco Extra Cheras yang tertera tulisan Too heavy? Shop online. We deliver (Terlalu berat? Beli secara online. Kami hantar).
“Pada mulanya saya tidak menyedari perkhidmatan itu tetapi selepas melihat papan tanda tersebut, saya pulang ke rumah dan terus melayari laman web Tesco.
“Saya terkejut kerana kesemua barangan yang saya beli selama ini ada ditawarkan melalui perkhidmatan itu. Ia bukan sahaja mudah, malah menjimatkan masa,” katanya yang merupakan seorang peniaga makanan.
Mengulas lanjut, bagaimanapun ibu kepada seorang cahaya mata itu mengakui, pada mulanya dia berasa ragu-ragu untuk membeli secara dalam talian kerana khuatir barangan yang dipilih itu tidak memuaskan hati.
Namun, atas dasar ingin mencuba, beliau memberanikan diri dengan mendaftar masuk ke laman web eshop.tesco.com.my menggunakan komputer peribadi serta mengisi alamat e-mel dan kata laluan.
Sebaik selesai mengisi kesemua butiran diri, dia membeli dua jenis sayur, cili, tomato, seekor ayam dan udang.
“Langkah-langkah penempahan mudah digunakan kerana setiap kategori makanan telah diasingkan seperti makanan segar, minuman, barangan dapur, kesihatan, kecantikan dan barangan pejabat.
“Malah terdapat gambar barangan, harga dan kuantiti yang diperlukan membuatkan saya lebih berani membuat pembelian,” katanya.
Menariknya, Fatihah memberitahu, tidak sampai dua jam kemudian barangan yang ditempah itu sampai di hadapan pintu rumahnya.
Akui Fatihah lagi, kesemua barangan itu berada dalam keadaan baik termasuk sayur-sayuran.
“Sebelum membuat pembayaran dengan kad kredit, saya meneliti kualiti barangan itu terlebih dahulu kerana takut rosak. Namun ia sememangnya memuaskan hati,” tuturnya.
Menurut laman web bisnes Market Watch, pembelian dalam talian barangan runcit tidaklah sepopular pakaian dan barangan elektronik. Namun, penyelidik pelaburan City di Amerika Syarikat (AS), Deborah Weinswig menyatakan, bidang itu masih baharu dan terdapat peningkatan pembelian dalam talian sejak beberapa tahun lalu.
Dalam pada itu, berdasarkan satu kajian di AS, hampir 73 peratus pengguna berpuas hati membeli-belah di pasar raya.
Pasar raya pertama
Peningkatan kesedaran tersebut dibuktikan Tesco (Malaysia) Sdn. Bhd. (Tesco) yang merupakan pasar raya pertama di Malaysia menawarkan perkhidmatan membeli-belah barangan runcit dari rumah.
Ketua Pegawai Eksekutif Tesco Malaysia, Georg Fischer berkata, pada mulanya perkhidmatan itu ditawarkan di Tesco Extra Mutiara Damansara, Selangor pada bulan April lalu.
Perkhidmatan tersebut ditawarkan kepada penduduk yang tinggal di kawasan sekitar 20 kilometer dari cawangan berkenaan.
Namun, melihat kepada sambutan yang menggalakkan daripada pengguna, pihak Tesco kini menawarkan perkhidmatan yang sama di pasar raya besar Tesco Extra Cheras, Puchong dan Klang.
Perkhidmatan baharu itu menawarkan kira-kira 15,000 jenis makanan segar dan beku, barangan runcit dan barangan bukan makanan seperti kesihatan, kecantikan, keperluan bayi dan barangan asas rumah.
“Pembeli boleh menikmati kemudahan tersebut tanpa perlu datang ke Tesco, terutamanya bagi pelanggan yang sibuk dengan urusan seharian.
“Menerusi perkhidmatan ini, pengguna boleh meluangkan lebih banyak masa bersama keluarga memandangkan barangan yang dibeli akan dihantar terus ke kediaman mereka,” katanya.
Pekerja terlatih
Sementara itu, Pengurus Beli-Belah Barangan Runcit Rumah, Tesco Extra Cheras, Hazizal Ab. Hamid berkata, pihaknya melatih pekerja-pekerja yang mengendalikan perkhidmatan itu seolah-olah mereka berada di tempat pengguna.
“Pekerja yang dilatih akan memastikan barangan yang dipilih itu dalam keadaan baik. Misalnya, sayur dan barangan tin, pekerja akan melihat kesegaran sayur-sayuran dan tarikh luput produk dalam tin berkenaan.
“Apa yang pasti, barangan yang ditempah pengguna dipilih dengan baik oleh pekerja kami bagi memastikan produk berkualiti sampai kepada mereka,” jelasnya.
Mengulas lanjut mengenai perkara itu, beliau memberitahu, setakat ini di Tesco berkenaan terdapat lima orang pekerja yang menjalankan kerja-kerja pemilihan barangan.
Pada kebiasaannya, sebaik sahaja menerima tempahan, pekerja akan menerima kesemua butiran pengguna dan tempahan melalui alat pengimbas yang dikenali sebagai new packing device.
Alat tersebut bukan sahaja memaparkan maklumat tempahan, malah turut menyediakan maklumat terperinci seperti lokasi rak barangan dan kuantiti yang dikehendaki pelanggan.
“Kesemua butiran itu ada pada alat pengimbas ini. Jadi, pekerja berkenaan hanya perlu merujuk sistem itu untuk mencari lokasi barangan.
“Ia mudah kerana pekerja tidak membuang masa memandangkan semua maklumat tertera dalam alat ini.
“Malah, jika pekerja itu tersilap mengambil produk, alat itu akan mengeluarkan bunyi selain skrin alat tersebut bertukar menjadi merah dan tertera tulisan incorrect product scanned (Produk yang salah dikesan).
Selain alat pengimbas itu, setiap pekerja akan membawa sebuah troli yang mengandungi enam buah bakul. Setiap bakul itu tertera kod pengguna yang berbeza.
“Malah, jika barangan yang dikehendaki itu tiada di sini, kami akan menukarkan barangan yang sama cuma jenama yang berlainan dan ia dimasukkan ke dalam plastik biru.
“Kemudian, pemandu akan memaklumkan kepada pelanggan dan mengesyorkan barangan jenama lain. Jadi, pembeli boleh membuat pilihan sama ada mahu membeli atau sebaliknya,” katanya lagi.
Sementara itu, pengguna juga berhak memulangkan produk yang dibeli itu jika tidak berpuas hati.
“Kami akan menolak barangan itu daripada senarai dan pembeli hanya perlu membayar barangan yang dibeli,” katanya sambil memberitahu, sebarang penukaran barangan boleh dilakukan dalam tempoh 24 jam.
Di samping itu, tiada pembelian minimum dan maksimum yang ditetapkan selain harga barangan yang ditawarkan sama seperti di pasar raya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: