Sazzy atau Sazlini Shamsul Falak, 32, berkata, akaun Facebook peminat (fan page) miliknya itu berkemungkinan telah disalahgunakan oleh pihak pengurus akaun yang ditugaskan untuk menjaganya.
"Saya jarang mengemas kini akaun Facebook saya, selalunya tugas itu ada pihak pengurusan yang menjaganya.
"Saya sendiri terkejut dan tidak tahu tentang perkara itu, sumpah saya tidak melakukan perkara itu," katanya ketika ditemui pada program rakaman Melodi Raya, di sini, Selasa.
Sazzy berkata demikian ketika diminta mengulas tentang tindakannya berkongsi gambar dengan status menyokong pasangan Alvin Tan dan Vivian Lee yang mempersendakan umat Islam apabila memuat naik gambar mereka dengan kapsyen berbuka puasa bersama Bak Kut Teh (makanan berasaskan sup herba dan khinzir).
"Jika benar perkara itu berlaku dan ada yang berkongsi gambar tersebut di Facebook saya, saya minta maaf kalau saya telah menimbulkan kemarahan orang ramai.
"Walaupun saya tidak beberapa jelas dengan perkara itu, namun pendirian saya ialah tidak berpihak kepada pasangan itu," katanya.
Dalam pada itu, Sazzy berkata dia enggan memperbesarkan hal tersebut dan menganggap sebagai salah faham.
"Saya tak mahu terlalu memikirkan perkara ini. Sebab, saya ada banyak hal lagi untuk diuruskan. "Tapi apa-apa pun saya akan rujuk pihak yang menguruskan Facebook saya bagi mendapatkan penjelasan sebenar", katanya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: