Sunday, July 21, 2013
Kalau tak laku, buat lagi - Raja Ema
PENYANYI ini masih menaruhkan wajah manis yang hampir serupa ditatap pada tahun 1980-an di kaca televisyen dan media cetak. Bezanya hanya pada usia dan statusnya kini. Seperti dahulu, Raja Ema, 45, masih manis, comel dan manja - ciri-ciri sama yang menjadikannya seorang selebriti remaja yang digilai ramai.
Awal mengecapi kehidupan popular dan dijulang naik ekoran kejayaan filem-filem seperti Sayang, Mawar Merah dan Antara Dua Hati, hidupnya kemudian mengalami perubahan yang seakan-akan tidak dapat diteka.
Berkahwin, cerai, berkahwin semula dan kembali menyandang status janda, Raja Ema akur dengan jalan kehidupan dan melihat semuanya itu mempunyai hikmah. Umum tahu, dia pernah mendirikan rumah tangga dengan penyanyi Sheqal namun terkandas di tengah jalan.
"Saya percaya apa yang berlaku sekarang ialah rahmat daripada Allah. Dua tahun sebelum ini, pelbagai dugaan datang dalam hidup saya. Orang yang saya paling rapat iaitu bapa kesayangan saya meninggal dunia dan pada waktu yang sama berpisah dengan suami. Keadaan itu turut mempengaruhi anak-anak saya, Putera Ammar, 19, dan Putera Al Kashah, 17.
"Hidup ini memang kena banyak berkorban, orang mungkin tidak faham masalah kita. Jika lebih pada emak dan tak dengar kata suami, jatuh hukum derhaka. Kerana itu saya sebaik mungkin cuba mendiamkan diri. Pada saya, itu ialah jalan terbaik agar tidak jatuh hukum dan menyalahkan mana-mana pihak," katanya.
Kini atas tiang kesabarannya yang ditegakkannya dalam kehidupan, Raja Ema kembali dengan sebuah album kompilasi. Dia juga turut sibuk di lokasi penggambaran drama namun cuba menolak kalau perlu berada di luar kota.
Menggemari watak antagonis, Raja Ema bakal muncul dalam telefilem berjudul Jangan Biarkan Aku dan Kalau Dah Perempuan yang akan bersiaran di saluran RTM.
TERKEJUT DENGAN SAMBUTAN
Ekoran peningkatan usia dan kematangan kedua-dua puteranya, Raja Ema merasakan ada masa terluang untuk dirinya kembali aktif dalam bidang seni.
Ia bermula dengan sesi fotografi bersama sebuah majalah yang memberikan impak yang kuat buat dirinya. Telefonnya berdering-dering, tawaran bergambar dan berlakon semula lebat diterima Raja Ema.
“Dulu memang ada niat untuk berlakon balik tapi niat yang suam-suam kuku. Saya tak sangka bila usai fotografi yang saya jalani, ia menjadi panas. Banyak panggilan telefon daripada penerbit dan itulah mulanya saya kembali ke persada seni,” ketawanya manja persis seperti anak dara.
Anak-anaknya menjadi pemerhati kemunculan semula Raja Ema ke dunia seni. Tawa Raja Ema lagi, dia terkejut mendapat tahu bahawa dia masih mempunyai peminat yang ramai dan sentiasa mengambil berat tentang dirinya.
KELUARGA SENI
“Ahli keluarga saya memang keluarga seni. Mereka pandai bermain muzik dan boleh menyanyi. Malah keluarga Kasma Booty yang banyak mencipta dan menerbitkan lagu juga ialah saudara saya. Sekarang muncul pula Nik Nizam. Asalnya projek ini memang untuk suka-suka. Ibaratnya sesi ‘jamming’ ahli keluarga. Tidak sangka pula ia menjadi besar seperti sekarang dengan diputarkan di radio dan dimuatkan dalam album kompilasi Pertemuan Seribu Kenangan,” katanya.
BAJU ROPOL-ROPOL
Ketawa Raja Ema apabila menyentuh tentang baju ropol-ropol yang masih dipakainya pada zaman sekarang. Muncul dalam beberapa program dengan baju ala ropol, Raja Ema mengaku anak-anaknya tidak kisah malah menggemari imejnya.
“Bayangkan penampilan saya dengan baju ropol-ropol pun mereka yang tentukan. Saya sebagai ibu ikutkan saja pilihan anak. Apa yang cantik bagi mereka, cantik juga bagi saya. Saya memang dari dulu suka fesyen ropol-ropol,” ketawanya lagi tidak berhenti.
BENANGKAN WAJAH, ANGKAT LENGAN
Raja Ema tidak pandai berahsia bab kecantikan. Ditanya sepatah, dijawabnya dengan jujur tanpa berselindung sedikitpun. Memotong rambutnya pendek dan menampakkan susuk lebih muda, Raja Ema juga memberitahu bahawa dia tidak pernah melakukan rawatan muka.
“Apabila memasuki peringkat umur seperti saya, kulit kita, lebih-lebih lagi pada bahagian muka sudah tidak tegang seperti pada zaman muda dahulu. Kulit mula jatuh, jadi saya fikir tidak salah sekiranya saya membuat rawatan menegangkan kulit muka,” akuinya yang mengaku menjalani rawatan tersebut di sebuah pusat yang sama dia mengambil suntikan vitamin C dan produk untuk mengekalkan kecantikan wajah dan tubuh.
“Hanya sekadar rawatan menegang kulit. Tiada sebarang pembedahan. Kaedah rawatannya hanya pada kedua-dua bahagian pipi dan terdapat benang yang menaikkan semula wajah saya dan diikat di bahagian tepi dahi,” dedahnya.
Dia juga mengaku berani menjalani kaedah rawatan tersebut kerana rasa sakit yang dialaminya tidak lama.
MASUK STUDIO SEMULA
“Saya tertanya-tanya juga kalau boleh nyanyi lagi ke? Syukurlah, sebab suara saya semakin matang dan ada perubahan. Anak-anak juga suka,” katanya yang sudah lama tidak masuk ke studio rakaman.
Bercerita tentang suasana studio yang sudah lama tidak dijejaki, nyata dia memiliki perubahan suasana yang dapat dirasakannya.
“Dulu agak seksa untuk merakamkan lagu. Sebutan kena jelas dan dulu lagu panjang-panjang. Berbeza dengan sekarang, tempoh lagunya pendek,” katanya.
KOMBINASI RJ DAN NIK
Lagu Warna Hatiku menjadi pilihan Raja Ema sebagai buah tangan baharunya. Mendepankan dua wajah baharu dalam kolaborasi kerjanya, penyanyi yang berumur 45 tahun ini memilih Nik Nizam sebagai komposer manakala RJ sebagai teman duetnya.
“Nik saja-saja cakap mahu buat lagu untuk saya. Waktu itu memang untuk saja-saja dan tidak letak harapan pun. Kemudian apabila sudah selesai masuk studio, rupanya Nik bawa bertemu Mok di Warner,” jelasnya ketawa lagi.
Tidak mahu lari daripada imej 1980-an yang pernah dibawanya, Nik ternyata memahami kehendak Raja Ema namun, dia memberikan idea untuk berkerjasama dengan seorang penyanyi rap agar memasuki alam semasa.
“Saya memilih RJ selepas melihat persembahan RJ di YouTube dan saya rasa suara dia sesuai dengan saya," katanya.
Lirik lagu Warna Hatiku ditulis oleh isteri Nik berdasarkan kehidupan Raja Ema sementara RJ menulis lirik bagi bahagian rap.
“Lirik rap ini adalah penghargaan saya untuk Raja Ema berdasarkan lagu-lagu lamanya. Ia dikarang berdasarkan perjalanan hidupnya,” terang RJ yang mula terkenal sewaktu menyanyi bersama Black.
MINAT LAGU BERUNSUR TARIAN
“Saya memang meminati lagu-lagu yang berunsurkan tarian seperti hip hop, rap dan dance. Apa yang saya lakukan untuk comeback ini adalah juga sebuah eksperimentasi. Kalaulah kata tak laku, buat lagi lagu kerana saya tidak malu kalau lagu saya tidak menjadi,” ketawanya kuat.
JAGA PENAMPILAN
“Saya memang menjaga makan dan bersenam di rumah,” butir itu keluar daripada mulut aktres comel ini. Mengaku pernah gemuk selepas melahirkan anak, kini dia semakin menjaga penampilan dirinya agar kelihatan segar dan sesuai dengan usianya.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: