|
PENYANYI Black, Anas (Mentor), Amir Jahari dan One Sofazr kini bergabung menubuhkan sebuah kumpulan yang diberi nama Ohsem Music Group (OMG).
Tidak kisah dengan pandangan masyarakat, menariknya muzik yang dibawa mereka menjurus kepada lagu-lagu Inggeris.
Bagaimanakah kerjaya nyanyian solo Black, Anas dan Amir? Ke manakah hala tuju Sofazr selepas ketiadaan pemain dram mereka iaitu One? Kenapakah mereka bergabung menubuhkan kumpulan OMG?
Semua persoalan itu bakal terjawab menerusi drama mini bersiri empat episod Ohsem Music Group (OMG), yang kini bersiaran di TV3 pada setiap hari Sabtu, pukul 9 malam.
Drama tersebut mengisahkan empat anak muda iaitu Bai (Black), Teng (One), Bo (Anas) dan Kem (Amir) yang berbakat dalam bidang muzik di Kampung London. Mereka menamakan kumpulan mereka Ohsem Music Group (OMG).
Kumpulan OMG popular di Kampung London kerana keunikan dan bakat mereka yang boleh menyampaikan lagu Inggeris dengan baik serta persembahan yang energetik.
Mereka sering dijemput membuat persembahan pada majlis kenduri kahwin dan pernah menjuarai pertandingan Battle of the Band di kampung itu selama dua tahun berturut-turut.
Kosmo! berpeluang menemu bual tiga pelakon utama drama OMG iaitu Black, Amir dan One. Ikuti kisah mereka dan juga cerita Ramadan serta sambutan Aidilfitri tiga selebriti tersebut.
Black enggan berlakon lagi
Black atau nama sebenarnya Hanifah Md. Hanafiah mengakui, tidak sukar membawakan watak Bai kerana ia hampir menyamai dirinya.
"Bai merupakan anak bongsu, jadi dia manja dengan ibunya. Tidak sukar sebenarnya bawa watak Bai kerana ia bukan watak yang serius. Wataknya sama seperti diri saya yang juga bongsu dan anak ibu," ungkapnya sambil menguntum senyuman ketika ditemui pada sesi fotografi yang berlangsung di Studio Utusan, Kuala Lumpur.
Mengulas lanjut, dedah Black, dia bersetuju membintangi OMG bukan hanya kerana menyukai karakter Bai tetapi juga disebabkan wataknya itu tidak mempunyai pasangan kekasih.
Akuinya, dia susah berinteraksi mahupun berlakon bersama wanita jika wataknya itu mempunyai kekasih.
Ditebak adakah itu disebabkan dia bimbang tunangnya cemburu atau sudah mendapat amaran awal supaya tidak berlakon bersama wanita, ulas Black, dia sebenarnya malu dengan wanita.
"Bukan sebab tunang cemburu atau halang saya berlakon dengan wanita lain tetapi sebenarnya saya malu dan tidak selesa berlakon babak romantis bersama wanita," ujarnya yang pernah bergandingan dengan Fasha Sandha dalam drama Dewa Cinta, tetapi bukan sebagai pasangan kekasih.
Bukan sahaja enggan berlakon dengan wanita, penyanyi lagu Drama King itu berkata, OMG juga merupakan drama terakhirnya.
Katanya: "Ini drama terakhir saya. Bukan sebab sesiapa, tetapi saya melihat karier nyanyian saya masih baik dan cantik. Saya tidak perlukan cabang lain. Selepas ini saya hanya akan fokus pada bidang muzik."
Disoal mengenai perkahwinannya pula, Black yang sepatutnya berkahwin pada 3 Julai lalu terpaksa menundanya ke tarikh lain ekoran masalah tertentu.
Ujarnya, kemungkinan besar majlis perkahwinannya akan berlangsung selepas sambutan Aidilfitri ini.
Mengulas mengenai aktiviti puasa dan persiapan menjelang raya, cerita Black, sepanjang Ramadan dia akan berehat dan sekadar memenuhi undangan amal.
"Kita ada 12 bulan dalam setahun. Bagi saya 11 bulan adalah tempoh untuk cari rezeki, manakala sebulan Ramadan itu adalah fokus saya untuk beramal. Kalau ada permintaan daripada badan-badan kebajikan semasa bulan Ramadan, saya akan terima," ujarnya yang turut berniaga buah tembikai di Kerinchi, Kuala Lumpur sepanjang Ramadan ini.
Amir kahwin Oktober ini
Pertama kali berlakon, Mohamad Amirullah Jahari atau Amir melahirkan keterujaannya membawakan watak Kem, seorang pemain bass yang kuat makan dan tidur.
Biarpun teruja, dedah Amir, dia tertekan kerana tidak cukup tidur akibat menghafal skrip.
"Saya sangat seronok bila dapat tawaran ini, tetapi tak sangka pula menghafal skrip sebenarnya susah. Saya terpaksa hafal skrip sampai tidak tidur. Akibatnya, mata saya bengkak macam panda," ujarnya sambil ketawa.
Berkongsi mengenai aktiviti puasanya, ujar Amir, dia akan mencipta lagu-lagu baharu untuk album terbaharunya.
Mengakui mengah ketika menyanyi, bicara Amir lanjut, dia juga akan bersukan setiap hari bagi meningkatkan staminanya.
"Album saya iaitu Penghibur Jalanan sudah muncuk, jadi fokus saya kini adalah untuk mencari bahan-bahan baharu untuk lagu-lagu terbaharu saya.
"Saya juga akan bermain bola keranjang pada waktu malam untuk meningkatkan stamina," jelas penyanyi yang popular dengan lagu Tanpamu itu.
Harapannya agar dia mampu menghasilkan sebuah lagu setiap hari seterusnya mempunyai 30 buah lagu sepanjang Ramadan.
Disoal mengenai memori puasa yang tidak boleh dilupakan, dedah Amir, ketika usianya 17 tahun dia pernah berbuka puasa sebelum masuk waktu kerana berasa sangat lapar.
"Dulu saya nakal. Selepas beli juadah saya terus mengambil kesempatan berbuka di belakang binaan TNB," luahnya yang malu dengan perbuatannya itu dan berjanji untuk berpuasa penuh pada bulan Ramadan ini.
Amir turut memberitahu, dia sedang sibuk menyediakan kelengkapan perkahwinannya pada Oktober ini.
Bakal mengadakan perkahwinannya di sebuah hotel di Kuching, Sarawak, ulas pemuda berusia 21 tahun itu, dia akan berkahwin dengan wanita yang enam tahun lebih tua daripadanya, dikenali dengan nama Amni.
Mengakui tunangnya merupakan seorang peniaga di Kuching, Amir memberitahu, selepas berkahwin dia dan bakal isterinya itu akan duduk berasingan memandangkan karier nyanyiannya adalah di Kuala Lumpur.
"Saya tiada masalah berjauhan dengannya selepas kahwin. Sebabnya sejak kami bertunang pada Januari 2011, kami juga berjauhan yang mana saya di Kuala Lumpur dan dia pula bekerja di Kuching," ujarnya menutup bicara.
One panas baran
Bagi One atau nama sebenarnya Wan Shah Baharom Niktah, dia mengakui terpaksa membawa watak yang jauh berbeza dengan dirinya dalam drama OMG.
Membawa watak sebagai Teng, seorang pemain dram yang panas baran, ujar One, dia terpaksa menonton lakonan Zul Huzaimy untuk mendapatkan feel lakonan panas baran tersebut.
"Lucunya watak Teng ini, walaupun dia panas baran tetapi dia cair dengan wanita. Saya akui susah membawakan watak panas baran kerana saya bukannya seorang yang panas baran," ulasnya yang akan fokus pada perniagaan membuat laman web ketika bulan Ramadan.
One menerima banyak tempahan untuk membuat laman web atau mengemas kini laman web sepanjang bulan puasa ini. Bicara One lagi, setiap ahli Sofazr mempunyai beberapa cabang perniagaan.
One turut berkongsi perasaan teruja menyambut Ramadan tahun ini kerana ia merupakan Ramadan pertama disambut bersama isteri.
Bernikah dengan seorang guru bernama Ainul Shariza Muhthar pada 29 September lalu, One sangat menyukai masakan isterinya iaitu sambal kering ikan bilis dan kentang.
"Alhamdulillah, bila sudah kahwin saya tidak lagi makan di luar, tetapi hanya makan di rumah. Kepuasannya lain bila makan di rumah dengan air tangan isteri," jelasnya yang akan beraya di kampung isterinya di Tanjung Malim, Perak.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: