Sunday, July 28, 2013
Mencari aman peribadi
SETELAH tiga tahun berhempas-pulas menyulam idea menghasilkan album baharu, kumpulan Inteam kini boleh berbangga dengan hasil album kelapan mereka.
Kali ini setiap lagu diberikan nafas segar termasuk melibatkan penampilan bekas ahli kumpulan itu, Suhaimi dan Hisyam. Album yang berjudul Iman dan Aman ini menampilkan 12 buah lagu malar segar dan sarat dengan mesej. Dimulai dengan lagu Jatuh Bangun (lagu dan lirik oleh Aden Edcoustic) sebelum diikuti lagu Mulakan Hari Ini yang berentak rancak dan bertenaga.
Seterusnya Tragedi Taif, Zikir Susah Senang, Iman & Aman, Ya Rasulallah Inni, Syafaatmu, Jumaat, Kau Ditakdirkan Untukku (feat. Edcoustic), Iftar, Nothing's Everlasting (satu-satunya lagu bahasa Inggeris) dan diakhiri dengan lagu hits mereka, Nur Kasih (feat. Munif Hijjaz).
Album ini dimulakan dengan lagu Jatuh Bangun yang memberi peringatan pertama tentang saat kita jatuh dan bangun. Ia kemudian diikuti lagu Mulakan Hari Ini yang mempunyai muzik dan melodi yang segar serta live strings oleh Eddie Marzuki. Lagu itu menarik dengan susunan yang indah untuk sebuah grup nasyid. Begitu juga lagu Zikir Susah Senang yang diberikan suntikan nusantara dan memberi peringatan tentang naik serta turunnya waktu.
Single pertama album ini ialah Iman dan Aman yang ditulis oleh Dakmie manakala liriknya disumbangkan Bnury atau nama sebenarnya Sohibul Fadhil yang merupakan pengerusi Munsyid Malaysia. Lagu yang dirakamkan pada awal tahun 2012 itu memaparkan pesanan tentang senario umat Islam yang dilanda peperangan dan persengketaan.
Segar dalam memberikan pesanan positif bersama motivasi agar sentiasa berjuang untuk Islam dan mengukuhkan jati diri, album ini turut menyelitkan lagu-lagu berunsurkan cinta untuk pasangan berkahwin. Lagu dengan tajuk Kau Diciptakan Untukku yang kedengaran pop nukilan Aden Edcoustic. Sesuai untuk pasangan yang bercinta dan berkahwin.
Komen Sofia: Lagu Nur Kasih yang merupakan lagu lama Inteam, diberi nafas baru lebih segar.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: