Monday, July 29, 2013

Dugaan penuh kenikmatan



TANGGAL 13 Disember 2012 pasti tidak akan dilupakan oleh penyanyi Datuk Siti Nurhaliza Tarudin kerana pada tarikh itu suaminya, Datuk Khalid Mohd. Jiwa terlibat dalam kemalangan motosikal berkuasa tinggi di New Zealand.
Kini selepas tujuh bulan kemalangan berlaku, Siti mampu tersenyum melihat kesihatan suaminya yang semakin pulih dan bersyukur dengan dugaan yang diberi Allah kepadanya sekeluarga.
“Sepanjang kami berkahwin, kehidupan sentiasa gembira dan tahun lalu kami diberi dugaan oleh Allah dengan kamala- ngan Datuk K. Memang tidak sangka perkara sebegitu akan berlaku.
“Kini selepas tujuh bulan, saya rasa sungguh cepat masa berlalu. Empat bulan pertama selepas kemalangan saya memberi perhatian dengan menjaga suami sahaja.
“Sedihlah tetapi bila saya kenang semula saat saya menjaganya, bagi saya itu satu nikmat kerana saya dapat berbakti pada suami. Bila suami sihat saya pula rasa pelik.
“Sebelum ini saya lakukan semua untuknya seperti suapkan makan, mencukur janggut dan memandikannya kerana selepas pembedahan, Datuk K hanya mampu terbaring sahaja,” kata Siti.
Bercerita tentang Ramadan kali ini, saban tahun Siti pasti menjalani ibadah puasa di Mekah.
Namun tahun ini, Siti hanya menyambut Ramadan di tanah air sahaja disebabkan faktor kesihatan suaminya.
“Terkilan juga kerana setiap tahun saya dan suami pasti akan menunaikan umrah dan merasai nikmat puasa di Mekah. Tahun ini berbeza kerana kesihatan suami tidak mengizinkan.
“Sungguhpun begitu, saya tetap rasa seronok sebab dapat menghabiskan lebih banyak masa bersama keluarga,” katanya yang akan beraya di Kuala Lumpur, Kedah dan Pahang.
Siti juga sempat menceritakan pengalaman kali pertamanya ke bazar Ramadan bersama anak-anak tirinya.
“Memang sudah lama sangat tidak ke bazar Ramadan dan tahun ini, kali pertama kami bersama-sama ke situ. Cukup seronok sebab berpeluang berkumpul bersama semua keluarga dan membeli makanan di bazar.
“Selama ini kami hanya akan berbuka di rumah atau saya akan sibuk menghadiri majlis berbuka puasa, langsung tidak berkesempatan ke bazar Ramadan.
“Sekali-sekala dapat peluang seperti itu, bagi saya itu satu pengalaman yang bermakna,” ujarnya.
Nikmat hidup semula
- Datuk K
Selepas mempunyai pengalaman hampir dengan maut dan kini semakin sihat, Datuk K memanjatkan kesyukuran kepada Allah kerana membenarkan dirinya kekal bernafas di muka bumi ini.
Ceritanya yang ditemui dikediamannya baru-baru ini, ketika terbaring di katil hospital, pelbagai perkara berlegar dalam mindanya seperti kematian, lumpuh mahupun kecacatan kekal.
“Waktu saya tidak berdaya, saya terfikir adakah saya akan mati? Ketika itu saya banyak berdoa kepada Allah supaya panjangkan nyawa saya kerana saya belum bersedia untuk mengadap-Nya, amalan juga belum cukup.
“Saya katakan, kiralah segala amalan kebaikan yang pernah dilakukan dan panjangkan umur saya. Apa yang membuatkan saya kuat pada waktu itu, saya fikir tiga orang anak saya dan Siti yang memerlukan saya,” ucapnya.
Sambung Datuk K, melihat keadaannya yang semakin pulih dan mampu menjalani tugas harian seperti biasa, membuatkannya lebih menghargai kehidupannya hari ini.
“Ramai rakan saya yang mengalami kecederaan seperti saya, mereka akan meninggal dunia atau lumpuh. Saya bersyukur kerana masih berpeluang menjalani ibadah puasa bersama keluarga. Sebelum ini saya tidak sedar betapa cepat masa berlalu dan betapa cepat nyawa kita boleh diambil
“Alhamdulillah, saya sangat bersyukur dengan ujian Allah kepada saya. Kemalangan itu juga menyedarkan saya betapa saya mempunyai seorang isteri yang cukup baik, dia tinggalkan kerjanya demi menjaga saya sahaja,” ujarnya jujur.
Beritahu Datuk K lagi, dia cukup terharu dengan cara Siti menjaganya sepanjang ter- lantar di atas katil tanpa mampu melakukan sebarang kerja termasuk menguruskan dirinya sendiri.
“Sebenarnya saya tersentuh dengan cara Siti menjaga saya sepanjang saya terbaring di atas katil. Dia menjaga saya dengan penuh kasih sayang sedangkan waktu itu saya seperti orang kurang upaya.
“Dalam kehidupan ini, susah untuk saya berjumpa dengan orang yang baik seperti- nya. Sebagai suami, saya doakan syurga yang teratas buat Siti,” balas Datuk K.
Cuti bersama Siti
Datuk K yang masih menjalani rawatan fisioterapi setiap hari dan bersenam di gim lima hari seminggu mengatakan, doktor memberi masa selama tiga bulan untuk dia pulih sepenuhnya.
“Walaupun saya diberi ubat tetapi kata Tun Mahathir yang datang melawat saya di hospital, terapi dan senaman lagi penting. Ubat hanya membantu kesihatan kita hanya 30 peratus sahaja.
“Sebab itu saya merawat diri sendiri de- ngan bersenam untuk membina semula otot selain berurut secara tradisional. Sekarang mungkin orang lihat saya sihat tetapi tangan kanan saya masih bengkak dan leher saya masih belum pulih sepenuhnya,” turut Datuk K.
Bercerita tentang sambutan Aidilfitri kali ini, katanya, selain beraya di rumah keluarga, dia merancang untuk memberi keju- tan buat isteri tercinta.
Menurutnya, Aidilfitri yang tiba jatuh dalam bulan ulang tahun perkahwinan yang ketujuh bersama Siti.
“Kebetulan bulan raya tahun ini bersaaman dengan dengan ulang tahun perkahwinan kami iaitu 21 Ogos. Saya ingin membawanya pergi bercuti dan berehat kerana saya lihat dia pun penat bekerja.
“Mungkin selepas sambutan raya baru kami pergi bercuti. Lokasinya masih belum tahu, jika saya beritahu bukan kejutanlah namanya tetapi Siti ada menyebut dua tiga tempat yang dia ingin pergi, saya lihat dahulu mana yang sesuai,” katanya tentang kejutan ulang tahun perkahwinan buat Siti.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: