PELAKON Uqasha Senrose, 21, mendedahkan dia sangat terkejut dengan kehadiran rombongan merisik daripada keluarga teman lelakinya, Pekin Ibrahim, pada sambutan hari jadinya, 6 Julai lalu.
“Dia (Pekin) cakap sambutan hari jadi saya tahun ini ada kejutan tetapi saya tidak jangka kejutan yang dimaksudkannya adalah rombongan merisik, bukan rombongan pertunangan seperti yang didakwa sesetengah pihak,” ungkap Uqasha yang terharu dengan tindakan kekasihnya itu.
Jelas Uqasha yang merupakan kakak kepada pelakon Nelydia Senrose, dalam rombongan merisik tersebut dia menerima empat dulang ‘barangan hantaran’ yang berisi sebentuk cincin, kain, pulut kuning dan kek sempena hari jadinya.
Sekadar merisik, menurut bekas pramugari itu, kemungkinan besar dia dan Pekin tidak akan bertunang sebaliknya terus melangsungkan perkahwinan. Walau bagaimanapun, mereka tidak menetapkan tarikh dan belum merancang apa-apa berhubung perkahwinan mereka.
Ditebak adakah dia berasa lega dengan ikatan yang terjalin antara dia dan Pekin sekali gus melenyapkan gusar di hatinya berhubung gosip yang bertebaran mengatakan Pekin tidak serius dalam hubungan cintanya dan mempunyai ramai kawan wanita, Uqasha menafikan perkara itu.
“Walaupun sudah dirisik, saya tidak mahu berasa yakin 100 peratus yang kami akan berkahwin. Sebabnya, jodoh pertemuan ketentuan Tuhan. Begitupun, saya yakin Pekin bukan seperti yang didakwa (ramai kawan wanita).
“Bukan mahu menyebelahi dia, cuma dia sentiasa ada bersama saya. Kalau sikapnya macam itu, saya sudah pasti mengambil langkah seterusnya,” ungkapnya yang berasa yakin dengan kejujuran Pekin.
|
Disoal pula bagaimana penerimaan keluarganya mengenai rombongan merisik itu memandang usianya baru 21 tahun, ujar Uqasha, ibunya tidak menghalang tetapi meminta dia lebih mengenali hati budi kekasihnya itu.
Pekin panggil ibu Uqasha mama
Sementara itu, menurut Pekin pula, salah faham timbul mengatakan dia dan Uqasha sudah bertunang kerana majlis yang dibuat begitu teratur dan formal. Malah mereka juga mengenakan warna baju sedondon iaitu kuning cair.
“Saya dengan keluarga dia (Uqasha) sudah rapat. Mengenai perancangan merisik ini, keluarganya sudah tahu tetapi saya minta agar Uqasha tidak diberitahu mengenainya,” dedahnya yang buat pertama kali membawa keluarganya bertemu keluarga Uqasha pada 6 Julai lalu.
Mengulas mengenai perancangan perkahwinan pula, ujar pelakon filem Bunohan itu, majlis itu tidak akan berlangsung tahun ini.
Merancang untuk terus berkahwin tanpa ikatan pertunangan, Pekin mengakui risau untuk menempuh dugaan bertunang dan mengatakan ia sekadar membuang masa dan duit.
Mengulas mengenai gosip yang bertebaran mengatakan dia bukan seorang yang serius dalam perhubungan, ungkap Pekin, dia bercinta dengan Uqasha bukan untuk main-main tetapi mahu menjadikannya kekasih dan isteri suatu hari nanti.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: