Pengunjung cemas ribut landa bazar Ramadan
Keadaan khemah yang menghempap gerai-gerai peniaga dalam kejadian ribut di Bazar Ramadan Chemor, kelmarin.
Pengunjung cemas ribut landa bazar Ramadan
Mohd Arimin menunjukkan balang air untuk berniaga pecah.
Pengunjung cemas ribut landa bazar Ramadan
Keadaan khemah yang menghempap gerai-gerai peniaga dalam kejadian ribut di Bazar Ramadan Chemor, kelmarin
CHEMOR – Tiada awan mendung dan hujan! Namun, peniaga bazar Ramadan di sini melalui detik mencemaskan apabila khemah milik 15 peniaga roboh dilanda angin kencang petang, kelmarin.
Kejadian berlaku kira-kira jam 6.50 petang itu ketika bazar tersebut dipenuhi pengunjung yang sedang membeli juada berbuka puasa.

Kelajuan angin begitu luar biasa sehinggakan pasak yang mengukuhkan beberapa khemah di bazar tersebut tercabut.

Walaupun berlaku kurang daripada empat minit, kejadian itu mengakibatkan beberapa peniaga mengalami kerugian disebabkan pelbagai makanan jualan seperti lauk-pauk, kuih-muih serta minuman musnah.

Dalam kejadian itu, seorang peniaga air, Mohd Arimin Awang Ghani, 34, mengalami kecederaan ringan di kepala akibat ditimpa besi khemah.

Katanya, dia melihat sendiri khemah peniaga terangkat setinggi dua meter sebelum menghempap peralatan perniagaan dan kenderaan berhampiran.

“Saya sempat tunduk bersama isteri ketika khemah terangkat dan dalam sekelip mata dia terus menghempap balang air dan terseret mengenai deretan kereta di belakang.

“Empat balang air saya musnah selain bahagian bonet kereta kemek ditimpa besi khemah. Kami tergamam dengan kejadian ini kerana sepanjang 12 tahun berniaga, ia pertama kali berlaku,” katanya yang kerugian lebih RM500.

Seorang peniaga, Mohd Sani Khiri, 29, berkata, dia bersama rakannya sedang melayan pelanggan yang datang ke gerai untuk membeli roti john.

“Memang tiada tanda-tanda hendak hujan, tapi angin kuat itu datang sekali lalu dalam sekelip mata menyebabkan lima kenderaan milik peniaga dan pengunjung terjejas,” katanya.