Sunday, July 28, 2013

Buah tangan hari raya Khairul Amri



TIBA MASANYA dibintangi oleh Azhan Rani (bersongkok), Ayu Raudhah (dua dari kanan ) dan Ezlisa Loy (kanan).


AZHAN RANI dan Ayu Raudhah merupakan pasangan suami isteri dalam telefilem Tiba Masanya.


CERITA berunsurkan kesedihan bagai sudah menjadi hidangan wajib buat penonton di hampir semua stesen televisyen setiap kali hari raya menjelang.
Syarikat Suhan Movies Sdn. Bhd. tidak terkecuali mempertaruhkan sebuah naskhah telefilem arahan Khairul Amri Khalid berjudul Tiba Masanya walaupun Islam menganjurkan agar umatnya bergembira pada hari tersebut.
Telefilem lakonan Ayu Raudhah, Azhan Rani, Ezlisa Loy, Liza Abdullah dan Ku Faridah itu memaparkan kisah seorang wanita bernama Safiah (Ayu Raudhah) yang kematian suaminya, Razif (Azhan Rani) secara mengejut akibat demam denggi.
Drama Tiba Masanya bercerita tentang kehidupan Safiah yang terpaksa menyara tiga orang anaknya tanpa bantuan insan bergelar suami.
"Disebabkan terlalu risau memikirkan kebajikan ketiga-tiga anaknya itu, Safiah bekerja tanpa henti tetapi hakikatnya anak-anaknya terabai dari segi kasih sayang.
"Anak-anaknya menjadi semakin jauh dengan ibu mereka. Mereka (anak-anak Safiah) terpaksa meraikan Ramadan dalam keadaan ala kadar kerana Safiah sibuk dengan bermacam-macam kerja sampingan," kata Khairul Amri mengupas isi cerita tersebut.
Tiba Masanya yang menjalani penggambaran di sekitar Kuala Lumpur, Cheras dan Hulu Langat, Selangor dengan melibatkan bantuan 20 orang kru memakan masa selama tujuh hari untuk disiapkan.
Penggambarannya tamat sehari sebelum umat Islam menjalani ibadah puasa baru-baru ini.
Selain Tiba Masanya, Khairul Amri telah mengarahkan lebih 20 buah telefilem dan drama, antaranya Anak Sampah, Anak Lorong, Perempuan Neraka, Kalut dan Tiada Raya Tahun Ini.
Kebanyakan naskhah arahan Khairul Amri merupakan drama dan telefilem bergenre serius kerana dia menggemari naskhah yang 'berat'.
Dalam pada itu, Ayu Raudhah yang merupakan pelakon utama menjelaskan, terdapat pelbagai signifikan buat dirinya dalam naskhah tersebut apatah lagi setelah dia bergelar ibu.
Selain merupakan tawaran 'kerja' pertama yang diterimanya setelah melahirkan anak sulung, Muhammad Aisy Qaiser empat bulan lalu, watak seorang ibu yang penyayang amat ditunggu-tunggunya selama ini.
"Walaupun belum bersedia menerima tawaran berlakon, saya menerima tawaran itu kerana tertarik dengan jalan ceritanya. Ia tentang perasaan seorang ibu yang begitu menyayangi anak," kata pelakon berumur 28 tahun itu.
Jelas Ayu, dia tidak dapat menahan perasaan rindu terhadap Aisy Qaiser sepanjang menjalani penggambaran.
"Biarpun penggambarannya selama tujuh hari sahaja, tetapi perasaan rindu kepada anak saya semakin membuak-buak apatah lagi dia belum bangun tidur semasa saya keluar bekerja dan sudah pun tidur apabila saya pulang.
"Mujurlah ada pembantu yang boleh menjaganya sepanjang penggambaran. Dalam bulan puasa, saya tidak berlakon langsung kerana mahu memberi tumpuan kepada keluarga," katanya yang bakal pulang berhari raya di Alor Setar, Kedah.
Tiba Masanya bakal ditayangkan sempena Hari Raya Aidilfitri nanti.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: