Friday, July 26, 2013

Belajar buat kek daripada YouTube



MEMASAK umpama satu terapi. Ia mampu mematangkan kita dan memberikan ruang untuk bereksperimen serta mengisi masa lapang. Jika sesuatu masakan itu berjaya, ia akan memberikan senyuman kepuasan bukan sahaja kepada tukang masak tetapi juga mereka yang menikmati hasil air tangan tersebut.
Berdasarkan kepada trend terkini, aktiviti memasak di rumah semakin meningkat dengan bertambahnya jumlah lelaki yang gemar berbuat demikian. Ia bukan sahaja melibatkan masakan makanan teras seperti nasi dan lauk-pauk, malah masakan kek dan pastri juga semakin diminati seperti yang dipopularkan oleh chef dan pembuat roti terkenal, Jamie Oliver serta Paul Hollywood.
Bagi Razi Arif Mohd. Razali, 28, misalnya, membuat biskut, kek atau sebarang pastri, bukan sesuatu yang baharu bagi lelaki moden sepertinya.
Mula membuat kek dan biskut secara serius sejak empat tahun lalu, Razi mengakui, ia bermula selepas dia dan rakan-rakan di kolej terlibat dalam satu projek mengenai perniagaan dalam talian.
“Kami hanya melakukannya untuk projek, kemudian saya fikir kenapa tidak jika saya mengaplikasi dalam hidup. Saya belajar tentang teknik membuat kek dan biskut dalam internet seperti Youtube. Dari situ, saya mula mengkaji dan bereksperimen sendiri,” kata Razi yang mengakui kek coklat moist sebagai kek signaturnya.
Tambah Razi, kek menjadi pilihan paling utama mungkin kerana latar belakang keluarganya.
Semua orang dalam keluarga, bermula daripada neneknya, mak cik dan pak cik serta ibu, pandai membuat kek. Razi juga banyak mendapatkan resipi kek daripada pak cik dan mak ciknya yang banyak membantu dengan kemahiran tersebut pada peringkat awal.

CHEF Kamarul menunjukkan cara menguli doh menggunakan tangan supaya dapat mengenali tekstur doh tersebut dengan lebih mudah.


Walaupun bekerja sepenuh masa sebagai pegawai bank, Razi berkata, ia tidak pernah menghalangnya daripada membuat kek pelbagai jenis kek. Walaupun sebagai seorang lelaki, Razi tidak melihat ia suatu kelainan.
“Ramai chef terkemuka dan mereka yang memasak di restoran, merupakan lelaki. Jadi, tiada apa yang pelik di sini,” katanya.
Menjelang musim raya, Razi berkata, dia akan memberi tumpuan kepada membuat kek eksklusif raya iaitu kek dam, selain resipi biskut baharu seperti biskut perisa ayam, london almond perisa strawberi, epal dan pisang serta tart nanas.
Razi juga memberitahu, selain membuat biskut dan kek, dia juga tidak kekok memasak.
Bengkel Buttercup
Trend global iaitu penerimaan terhadap skil lelaki yang mahir memasak menyerap masuk ke seluruh pelosok dunia termasuk Malaysia.
“Memasak adalah hobi yang mengujakan dan membawa suatu kepuasan tersendiri.
“Trend baharu menyaksikan lebih ramai lelaki memasak dan salah satu sebab perkembangan trend ini adalah pertambahan rancangan memasak yang dibintangi oleh lelaki sendiri,” kongsi Pengurus Besar Kanan Auric Pacific, Chua Kim Leong.
Auric Pacific merupakan pengeluar dan pengedar mentega Buttercup di negara ini.
Berikutan itu, syarikat pembekal mentega terkemuka, Buttercup baru-baru ini menganjurkan bengkel memasak dan membuat biskut raya sempena kedatangan Aidilfitri di The Cooking House, Desa Sri Hartamas, Kuala Lumpur baru-baru ini.

RAZI pernah menyertai MasterChef Malaysia sebagai bukti minat mendalamnya dalam dunia masakan.


Menariknya dalam bengkel itu, But- tercup menggalakkan para jejaka membantu yang tersayang dalam membuat persediaan Syawal.
Petua membuat biskut
Bimbingan daripada Chef Kamarul Hasni atau lebih dikenali sebagai Chef Kamarul mengalu-alukan kedatangan wartawan pada sesi membuat biskut semperit dan cip coklat berkacang menggunakan mentega Buttercup.
Beliau turut membekalkan peserta bengkel dengan tip penting dalam memastikan biskut yang dihasilkan enak dan rangup.
Antaranya pemilihan mentega yang betul dan tepat, Buttercup.
Ujarnya lagi, sukatan bahan yang betul serta mentega yang tepat ditambah keghairahan memasak pasti akan membuahkan hasil yang dimahukan.
“Saya sentiasa mencari cara untuk membuat kejutan dan menggembirakan keluarga serta rakan saya dengan resipi biskut hari raya yang berbeza.
“Memasak membangkitkan rasa kasih sayang dan kesucian hati. Hari raya merupakan simbol kepada tradisi memasak yang dihargai,” kata Chef Kamarul.
Mengenang memori silam, Chef Kamarul mengakui banyak kenangan manisnya bersama ibu dan nenek yang membuat biskut untuk hari raya.
Malah, resipi warisan turun-temurun dan bahan-bahan tetap dikekalnya sehingga hari ini.
Sebagai pembakar semangat bagi kaum lelaki yang berminat memasak kata Chef Kamarul, mereka seharusnya cuba membuat sesuatu yang mereka sendiri tidak sabar untuk menikmati. Ini kerana ia akan membuatkan mereka teruja melalui setiap proses dari mula hingga akhir.
“Selain itu, disebabkan memasak sangat bergantung kepada bahan-bahan yang digunakan, pilih bahan terbaik untuk mendapatkan hasil yang hebat,” ujar Chef Kamarul.
Dalam pada itu, sambil berkongsi tip dan petua, beliau juga memperkenalkan bahan-bahan untuk membuat biskut semperit.
JAMIE OLIVER antara chef lelaki yang membentuk satu paradigma baharu dalam bidang memasak dalam kalangan lelaki.


Chef Kamarul menunjukkan satu persatu proses membuatnya daripada membentuk adunan, doh dan membakar di dalam ketuhar.
Bagi menambah nilai dan cita rasa baharu semperit, Chef Kamarul turut memperkenalkan penggunaan serbuk koko untuk semperit berperisa coklat.
Mudah dan dihasilkan secara konsisten menggunakan resipi yang dikongsi oleh Chef Kamarul, para peserta media yang dibahagikan kepada beberapa kumpulan dengan jayanya menghasilkan semperit asli dan semperit coklat.
“Semasa membuat sempirit, ia menggunakan tiga jenis tepung, kalau doh lembut, tambahkan sahaja tepung gandum. Dari segi pemilihan telur, hanya kuning telur sahaja digunakan. Jangan gunakan seluruh telur,” terangnya kepada wartawan.
Siap dalam masa kurang setengah jam, resipi kedua, yang banyak menggunakan kekacang serta cip coklat turut dikongsi. Lebih mudah dan lebih cepat dihasilkan, resipi yang hanya menggunakan lapan jenis bahan itu kelihatan sangat senang dilakukan.
Walau bagaimanapun, disebabkan kekangan masa, media tidak dapat membuat resipi biskut kedua, biskut cip coklat berkacang.
Mengakui kedua-dua resipi bukan sahaja mudah dan enak di makan, Chef Kamarul memberitahu, sudah tiba masanya untuk para jejaka di luar sana menyingsing lengan untuk cuba membuat biskut sempena lebaran ini.
Pesona berkongsi resipi biskut semperit coklat dan biskut cip coklat berkacang Chef Kamarul yang boleh dimanfaatkan para pembaca.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: