Tuesday, July 16, 2013

Konsep gerai pilihan SDCC


SDCC menyediakan lebih 30 gerai sepanjang bulan Ramadan ini.


SEPANJANG bulan Ramadan ini, pastinya ia membuka peluang kepada restoran, hotel mahupun gerai untuk menyajikan pelbagai juadah berbuka puasa.
Nyata, senario itu memudahkan golongan bekerja selain bagi mereka yang gemar berbuka puasa di luar.
Tidak terkecuali, Pusat Konvensyen Sime Darby (SDCC), Jalan Bukit Kiara, Kuala Lumpur yang menampilkan kelainan dengan menawarkan pelbagai jenis juadah berkonsep gerai kepada pengunjungnya sepanjang bulan puasa ini.
Chef Eksekutif, Zainuddin Abu Hassan berkata, pihaknya menyediakan lebih 30 gerai bagi menyambut kemeriahan sambutan bulan Ramadan bersama-sama pengunjung.
“Gerai-gerai tersebut menawarkan hidangan istimewa seperti sotong sumbat bakar, kambing tandori, balik ekmek (burger ikan Turki), ayam Mexico, daging fajitas dan kacang pol (makanan ruji rakyat Mexico yang terdiri daripada ayam atau daging yang dipanggang dengan tepung tortilla dan keju cair dalam pinggan panas),” katanya ketika ditemui di SDCC baru-baru ini.

UDANG masak lemak pasti membangkitkan selera anda ketika berbuka puasa.


Sementara itu, SDCC tidak ketinggalan menyajikan seleksi signatur yang popular sepanjang bulan Ramadan seperti sup gear box, masakan kawah, bubur lambuk herba, nasi kandar, nasi mandi kambing dan pelbagai jenis sate.
Malah, bagi menyemarakkan lagi suasana semangat 1Malaysia, Zainuddin berkata, pihaknya juga menyediakan masakan panas seperti sizzling, mi periuk tanah liat, ikan bakar kunyit, ayam bakar percik, murtabak dan nasi ayam Ying Yang.
“Hidangan berbeza itu dapat memenuhi cita rasa pelanggan yang mahukan kelainan sepanjang bulan Ramadan ini,” ujarnya lagi.
Bagaimanapun, bagi pelanggan yang menitikberatkan soal pengambilan kalori, mereka boleh mengunjungi sudut diet di restoran berkenaan.
“Mereka boleh memilih sandwic segar seperti tuna dengan hirisan bawang, daging ayam belanda, daging bakar dan ayam teriyaki (sejenis sandwich Jepun),” ujarnya lagi.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: