Tuesday, July 16, 2013

Busana tradisi Radzuan dan AEON


KEHALUSAN busana tradisional menjadi ilham kepada Radzuan (tengah) dalam menghasilkan koleksi edisi terhad kolaborasi bersama AEON.


MENAMPILKAN ciri pakaian Melayu klasik yang selesa dan penuh kesopanan, Busana Tradisi oleh Radzuan Radziwill merupakan hasil kolaborasi istimewa pereka fesyen terkenal tanah air itu bersama AEON Co. (M) Bhd. (AEON).
Koleksi tersebut diilhamkan daripada kehalusan pakaian tradisional Melayu dan setiap corak dipadankan dengan pemilihan fabrik yang sesuai. Ia sekali gus meningkatkan keindahan rekaan koleksi ini untuk digayakan pada musim perayaan.
Pemilihan warna-warna terang dan berani yang digabungkan dengan tenunan halus serta kain sutera sifon menyerlahkan keunikan setiap rekaan yang terdiri daripada baju kurung pesak berpoket, baju kurung Riau, baju kurung Kedah dan baju kebaya untuk wanita.
KEBAYA rona hijau zamrud menyerlahkan keanggunan wanita Melayu.


Sementara itu, rekaan baju Melayu cekak musang dan teluk belanga menggunakan fabrik serupa mampu menyerlahkan gaya si jejaka tatkala keluar menziarahi sanak saudara.
Koleksi eksklusif itu dijual pada harga RM299 bagi busana wanita manakala untuk lelaki berharga RM199 sepasang.
“Ini merupakan peluang terbaik untuk kedua-dua pihak dalam mengangkat pakaian sedia dipakai ke peringkat seterusnya. Saya harap semua penggemar fesyen terutamanya peminat saya tidak akan ketinggalan untuk memiliki koleksi busana edisi terhad ini,” kata Radzuan sewaktu majlis pelancaran di AEON Setiawangsa baru-baru ini.
JEJAKA nampak tampan memakai baju teluk belanga.


Dalam pada itu, AEON juga tidak kurang hebatnya dengan tawaran pakaian siap koleksi hari raya mereka. Jenama seperti Puteri, Guy’s Vision, J Kids dan J Baby sedia untuk menemui para pelanggan setia mereka.
Menggunakan fabrik kapas dan perincian renda serta manik, koleksi ini masih mampu memikat hati. Bagi pakaian wanita, ia dijual pada harga RM59 hingga RM259, RM49 hingga RM109 (lelaki) dan RM49 hingga RM89 untuk kanak-kanak.
Kesemua koleksi ini boleh didapati di 15 cawangan AEON yang terpilih termasuklah di Seberang Prai, Ipoh, Taman Equine, Cheras Selatan, Taman Maluri dan AU2 Setiawangsa.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: