Menariknya, bukan sahaja berniaga malah selebriti popular tanah air ini juga turut menunjukkan kebolehan masing-masing dengan memasak sendiri jualan mereka.
Ia bertujuan mengumpul sumbangan yang akan didermakan kepada Pertubuhan Kebajikan Baitul Maghrifah.
Antara selebriti terlibat termasuk Nora Danish, Adi Putra, Zoey Rahman, Elfira Loy, Aiman Hakim, Nelydia Senrose, Zamarul Hisham, Ezany, Sasha Saidin, Amir Jahari, Anas Redzuan, Nina Baharun, Kiah Propa dan Kumpulan Oh Chentaku.
Pengurus Besar Penjenamaan TV3, Siti Nurlisia Mohd Nadzri berkata, dia tidak menyangka penganjuran pertama kali pihaknya dan TV9 mendapat sambutan menggalakkan daripada pengunjung.
“Walaupun di sini bukanlah tapak bazar yang sebenarnya, tetapi sambutan amat hebat dan tidak mengecewakan.
“Bahkan makanan-makanan yang diniagakan berjaya dijual semuanya,” katanya.
Ditanya dari mana timbulnya idea untuk mengadakan Bazar Seindah Ramadan ini, Nurlisia berkata, pihaknya memang mencari kelainan memandangkan pelbagai aktiviti sudah dilakukan.
“Program ini sangat istimewa kerana terdapat barisan selebriti popular yang memasak dan berniaga.
“Pasti peminat tidak mahu melepaskan peluang bertemu mereka, bahkan hasil jualan juga disumbangkan kepada anak yatim dan ini menjadikan ia lebih bermakna,” jelasnya.
Lebih menarik, setiap menu jualan turut diberikan nama-nama drama yang disiarkan oleh stesen televisyen terbabit seperti Roti John Rumah Kedai, Ayam Percik OMG, Kebab Kidnap, Nasi Kukus dan Nasi Dagang Skrin Raya serta Briyani Gam Ramadan Yang Hilang.
Ibadah yang dituntut: Adi Putra
Sebagai duta Seindah Ramadan, aktor Teduhan Kasih ini mengakui sudah menjadi tanggungjawabnya untuk melibatkan diri dalam aktiviti yang disusun sempena program tersebut.
Pun begitu baginya, perkara sebegini sangat dialu-alukan penganjurannya lebih-lebih lagi dalam bulan yang mulia ini.
“Kehadiran kami di sini adalah untuk mengumpul dana bagi golongan memerlukan.
“Lagipun sebagai umat Islam adalah dituntut oleh agama untuk kita sentiasa melakukan ibadah,” katanya.
Tambah Adi, dia juga sangat berterima kasih kepada pihak TV3 dan TV9 kerana menganjurkan program ini.
“Harapan saya, ia dapat diteruskan pada masa akan datang.
“Sementelah lagi program ini pertama kali diadakan dan saya dapati ia tidak sama dengan mana-mana program yang pernah dijalankan sebelum ini.
“Walaupun kami sekadar mengagihkan bubur lambuk kepada pengunjung, tetapi ia tidak sama kerana pengunjung yang hadir berpeluang bersama dengan kami,” katanya yang turut menjual Roti John bersama Nora Danish.
Elfira teruja
Menurut pelakon genit Elfira Loy pula, dia sememangnya sukakan program sebegini.
Lebih-lebih lagi katanya, ia melibatkan golongan yang kurang bernasib baik.
“Memang seronok dapat turun padang melakukan aktiviti kebajikan.
“Saya teruja sangat, lagipun inilah peluang kami menarik golongan masyarakat untuk berbelanja sambil beramal.
“Lagipun lebih elok lakukan dengan cara begini, bukan sekadar meminta derma semata-mata.
“Apabila kami menjual dan pihak yang satu lagi membeli, maksudnya kedua-dua pihak mendapat kebaikan,” katanya.
Jelas Elfira, pada awalnya, dia tidak dapat menyertai program tersebut.
“Sebenarnya saya ada penggambaran, bagaimanapun apabila penggambaran tersebut dibatalkan, saya terus datang ke sini,” katanya gembira kuih-muih tradisional jualannya laris.
Kuih Zoey laris
Bagi pelakon yang sedang popular dengan drama bersiri Demi Dia, Zoey Rahman, dia dapat merasakan pendekatan yang dijalankan pihak stesen televisyen terbabit amat berguna.
“Ini adalah usaha yang terbaik untuk mengajak masyarakat menderma.
“Bayangkan, apabila kuih yang dijual dengan harga RM3 dapat dijual dengan harga RM5 kerana kami katakan ia untuk disumbangkan kepada anak yatim.
“Malah, apabila kuih sudah habis, mereka tidak kisah bergambar dengan kami sambil menghulurkan sumbangan,” katanya.
Ujar Zoey juga, jika diberikan peluang, dia ingin menyertai program seumpama ini lagi.
“Setahun sekali sahaja kita berpeluang mengimarahkan bulan yang mulia ini.
“Jadi jika ada program yang istimewa begini, seharusnya golongan selebriti tidak mensia-siakannya,” katanya.
Nora Danish masak roti john
Turut dilantik sebagai duta Seindah Ramadan adalah aktres cantik, Nora Danish.
Berkongsi kisahnya pula, kata Nora, peluang berniaga di bazar ini merupakan satu pengalaman berharga baginya.
“Kali ini lebih bermakna kerana saya berpeluang memasak sendiri roti john dan menjualnya kepada pengunjung.
“Memang saya tak pernah berniaga, jadi saya mahu rasa kesusahan tersebut dan berkongsi nikmatnya bersama orang yang memerlukan,” katanya yang bakal muncul menerusi drama Ijab dan Kabul raya nanti.
Tambahnya, program kebajikan sebegini juga perlu diadakan selalu terutamanya pada Ramadan.
“Bukanlah fokus kepada bulan ini sahaja, tetapi ia boleh diperbanyakkan lagi dan diadakan secara berterusan selepas ini.
“Apa yang saya lihat, ia mendapat sambutan hebat bukan sahaja dari penduduk berdekatan tetapi dari luar juga,” katanya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: