Saturday, July 20, 2013
Keunikan air terjun dalam gua
BERIADAH bersama rakan atau ahli keluarga ke kawasan air terjun pasti meninggalkan kenangan indah. Kesejukan dan deruan air terjun membuatkan percutian tersebut terasa amat menenangkan.
Selain mandi-manda, aktiviti menarik lain yang boleh dilakukan adalah membuat barbeku. Selepas puas berendam, perut yang kosong pasti ‘gembira’ apabila diisi dengan ikan, udang atau sotong bakar.
Bagaimanapun, jika berkunjung ke Air Terjun Bataara Gorge yang terletak di Kampung Balaa iaitu di antara bandar Laqlouq dan Tannourine di Lebanon, anda pasti terpesona dengan keunikannya.
Air terjun setinggi 255 meter itu sangat cantik, malah ia mengalir memasuki gaung gua batu kapur yang berusia lebih 160 juta tahun.
Gua yang dimaksudkan ialah Gua Baatara yang menjadi destinasi utama pengembara yang mendaki Gunung Lebanon. Ia ditemui ahli speleologi Perancis, Henri Coiffait pada tahun 1952 dan dipetakan sepenuhnya pada tahun 1980-an oleh Kelab Speleo du Liban.
Masa terbaik untuk mendaki Hutan Simpan Tannourine Cedar untuk ke air terjun itu ialah pada musim bunga dan awal musim panas. Terdapat banyak bunga liar berkembang mekar memenuhi kawasan tersebut sepanjang tempoh berkenaan.
Pendakian di hutan simpan tersebut merupakan sebahagian daripada laluan Gunung Lebanon yang digunakan oleh pengembara lasak bagi menuju ke kawasan Air
Terjun Baatara Gorge.
Malangnya, air terjun tersebut hanya boleh dilihat sewaktu salji melebur dan cair pada bulan Mac dan April.
Namun, pengunjung boleh melihat kelainan pada jambatan semula jadi yang terbentuk di air terjun tersebut. Jambatan itu kelihatan seperti tiga tingkat iaitu ia berada di atas satu jambatan lain. Ia kelihatan seperti sebuah jurang tergantung di pergunungan Lebanon.
Perkhidmatan kereta sewa
Walaupun tanda amaran yang melarang pengunjung memanjat di kawasan curam dan licin diletakkan, pengunjung pasti tidak mahu melepaskan peluang untuk melihat secara dekat air terjun di dalam gua tersebut.
Pemasangan peralatan keselamatan untuk aktiviti mendaki di situ pernah dipertimbangkan tetapi tidak diluluskan oleh pihak berkuasa kerana dikhuatiri akan mengganggu keindahan semula jadi kawasan berkenaan.
Ekoran keajaiban itu, ia turut dikenali dengan tiga nama lain iaitu Gua Tiga Jambatan, Jurang Tiga Jambatan dan Lubang Dalam Dinding.
Prihatin dengan kehendak pelancong dalam negara dan antarabangsa yang gemar memandu ketika mengembara, perkhidmatan kereta sewa disediakan.
Jika anda ingin menyewa sebuah kereta jenama Mercedes di Beirut, anda hanya perlu membuat satu panggilan dan kereta tersebut akan dihantar terus ke lokasi anda berada.
Harga penginapan di hotel-hotel di bandar Tannourine bernilai sekitar RM127 hingga RM383 semalam. Kedudukan hotel-hotel tersebut kira-kira 35 kilometer dari Air Terjun Baatara Gorge.
Antara hotel tersebut ialah Hotel Chbat, Bauhaus, Hostel Palace Bsharry, L’Auberge Des Cedres, L’Aiglon Bcharre dan La Grande Ourse.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: