Saturday, July 20, 2013

Dana pendidikan untuk kanak-kanak Gaza


AHMED (dua dari kiri) menceritakan pengalamannya menghadapi serangan tentera Israel pada peperangan al-Furqan kira-kira lima tahun lalu.


SUASANA majlis pelancaran Program Pengumpulan Dana Sekolah Anak-Anak Yatim as-Solah di Gaza, Palestin bertukar sayu tatkala seorang pelajarnya, Ahmed Hamad, 17, menceritakan kisah dirinya sewaktu perang al-Furqan yang dicetuskan oleh Israel ke atas Palestin pada 27 Disember 2008.
Semasa kejadian, Ahmad masih seorang kanak-kanak. Dia hanya mampu menangis melihat kesengsaraan dan kematian rakyat kota Gaza akibat dibom serta diroket tentera Yahudi. Selepas perang itu berakhir, dia bersyukur kerana semua ahli keluarganya selamat dan masih hidup hingga hari ini.
Baru-baru ini, Ahmed berkunjung ke Malaysia untuk menyertai pertandingan debat antarabangsa peringkat sekolah di Universiti Teknologi Malaysia, Kuala Lumpur bersama dua rakan sebayanya, Musbah Almadhoun dan Ahmed Darwish. Rombongan tiga pelajar itu diketuai oleh Pengetua as-Solah, Ismail Alsarraj, 40.
Mereka juga merupakan tetamu khas yang dibawa oleh Al-I’tisam Relief Programme (ARP) ke Malaysia untuk mengumpul dana bagi pembinaan dan penambahbaikan kemudahan di sekolah mereka.
Tiada punca pendapatan
Menurut Ismail, pihaknya memerlukan dana untuk menambah baik makmal teknologi sains dan matematik, perpustakaan serta peralatan gimnasium.
“Makmal tersebut adalah bagi kegunaan 673 pelajar. Kemudahan dan peralatan di sekolah itu dibiayai 100 peratus oleh sumber daripada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dari luar Gaza dan salah satunya ialah Malaysia,” ujarnya ketika ditemui Kosmo!.

KANAK-KANAK Gaza ini mendapat pelajaran formal secara percuma di Sekolah as-Solah.


Dana itu juga digunakan untuk keperluan Sekolah as-Sayida Khadija yang menempatkan pelajar perempuan. Kedua-dua sekolah itu mempunyai pelajar daripada darjah tiga hingga 12.
ARP merupakan wakil rakan kerjasama sebuah NGO dari Gaza iaitu Persatuan Rumah Anak-Anak Yatim Palestin (Poha) yang membantu mengutip dana untuk sekolah itu di Malaysia.
Menurut Penyelaras Projek ARP, Mohd. Shah Sapiei, 56, pengumpulan dana untuk sekolah tersebut merupakan salah satu program kempen Stand Up For Gaza.
“Dana itu bertujuan membantu pelajaran kanak-kanak di sana. Sukatan pelajaran dan kelengkapan sekolah disediakan secara percuma.
“Usaha ini mampu memberi harapan kepada kanak-kanak Gaza sekali gus mengembalikan semangat mereka untuk meneruskan pengajian,” ujarnya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: