Saturday, July 20, 2013

Dekatkan remaja dengan masjid


NOR FIRDAUS mengalu-alukan individu atau syarikat korporat yang ingin menaja anak-anak yatim ke Kem Remaja Kembara Ramadan.


KEBERKATAN bulan Ramadan harus direbut oleh setiap umat Islam. Kelebihan yang terdapat sepanjang bulan itu merupakan kurniaan Allah bagi memantapkan jati diri dan ketaqwaan seorang Muslim.
Sebagai ibu bapa, anak-anak perlu dilatih menjalani ibadah puasa sejak kecil supaya mereka terbiasa dengan amalan tersebut.
Salah satu budaya yang harus diterapkan pada anak-anak sempena Ramadan ialah berkunjung ke rumah Allah sebagai tempat beribadah dan menuntut ilmu.
Sehubungan itu, Masjid Kompleks Tabung Haji Kelana Jaya menganjurkan Kem Remaja Kembara Ramadan yang dikhususkan kepada golongan muda berumur antara 12 hingga 17 tahun.
Menurut sekretariat program, Nor Firdaus Norzaini, aktiviti tersebut membawa remaja dan ibu bapa mendekatkan diri dengan aktiviti masjid.
"Melalui program ini, peserta dapat mengimarahkan masjid sempena bulan Ramadan dengan pengisian yang berlandaskan pengajian Islam.
"Kami berharap aktiviti riadah sebegini dapat menjadikan masjid sebagai pusat ilmu kepada masyarakat setempat, terutamanya kepada golongan remaja," ujarnya ketika ditemui Kosmo! baru-baru ini.

REMAJA perlu didedahkan bahawa masjid bukan sekadar lokasi untuk beribadah bahkan boleh diisi dengan majlis-majlis ilmu.


Program selama dua hari satu malam itu akan diadakan pada 27 hingga 28 Julai 2013. Peserta akan ditempatkan di TH Hotel, Kelana Jaya dengan bayaran sebanyak RM100 seorang.
"Kami menyasarkan seramai 200 orang peserta dengan sebahagiannya dikhususkan kepada anak-anak yatim dari rumah kebajikan terpilih," tambah Nor Firdaus.
Justeru, pihak penganjur mengalu-alukan penglibatan individu atau syarikat korporat untuk menaja anak-anak yatim yang berhajat mengikuti program tersebut.
"Sumbangan boleh disalurkan kepada pihak penganjur dan akan digunakan bagi menampung perbelanjaan anak yatim yang mengikuti program kami," jelas Nor Firdaus.
Program ini merupakan anjuran Masjid Kompleks Tabung Haji Kelana Jaya sempena sambutan Nuzul Quran.
Antara pengisiannya ialah eksplorasi al-Quran, sinaran dhuha, qiamulail, solat tarawih dan tadabur al- Quran yang diadakan pada sebelah pagi.
Acara kemuncak pula ialah Forum Ramadan bersama Ustazah Noor Laila dan Prof. Madya Mohd. Nor Mamat serta moderator oleh Ahmad Fedtri Yahya. Ia terbuka kepada orang ramai untuk bersama-sama mendengar perbincangan mengenai keistimewaan Nuzul Quran.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: