|
MENJELANG Ramadan saban tahun, Rizwan Namaji, 33, bersama isterinya, Shabana Namaji, 32, pasti menjadikan bulan yang penuh keberkatan itu sebagai masa untuk mereka bercuti.
Pasangan dari England, United Kingdom itu ke luar negara pada setiap bulan Ramadan sebagai cara mereka untuk merasai pengalaman berpuasa di negara orang.
Mereka juga amat teruja melihat perbezaan budaya di setiap negara yang dikunjungi dan pada masa yang sama cuba menyesuaikan diri dengan masyarakat setempat.
Emiriyah Arab Bersatu, Arab Saudi dan Mesir merupakan negara yang pernah dikunjungi pasangan itu ketika bulan Ramadan pada tahun-tahun yang lalu.
Pada tahun ini, mereka memilih Kuala Lumpur sebagai destinasi percutian dan merasai pengalaman berpuasa selama 11 hari di ibu negara.
Pada hari kedua percutian mereka, 14 Julai lalu, mereka ternyata teruja kerana berpeluang berbuka puasa di tengah-tengah jalan raya iaitu di Jalan Raja, berhadapan dengan Dataran Merdeka bersama-sama dengan ratusan rakyat Malaysia yang lain sempena Festival Ramadan.
Menurut Shabana, risalah mengenai Festival Ramadan yang dibacanya di hotel penginapan telah memberi idea kepada mereka untuk hadir ke Dataran Merdeka bagi merasai pengalaman berbuka puasa buat kali pertama di bumi Malaysia.
“Walaupun berbuka puasa di atas jalan raya, saya rasakan ia satu pengalaman yang unik. Idea ini berbeza dengan kebanyakan negara yang pernah kami lawati. Makanan yang disediakan juga ringkas tetapi cukup untuk juadah iftar kami,” ujar Shabana.
Ceritanya, suasana berbuka puasa secara beramai-ramai di Dataran Merdeka itu ternyata berbeza dengan keadaan sewaktu menikmati iftar secara beramai-ramai di negara Asia Barat.
“Suasana berbuka puasa di Arab Saudi amat sibuk dan sesak. Majlis iftar di sana disertai oleh beribu-ribu umat Islam. Keadaan itu membuatkan majlis itu sedikit kelam-kabut. Tetapi saya tidak melihat keadaan itu pada festival ini.
“Penganjuran majlis iftar di sini teratur. Selain itu, saya juga melihat pelancong bukan Islam turut dialu-alukan menyertai majlis ini,” ujar pengurus di sebuah syarikat swasta itu.
Melalui Festival Ramadan, Shabana dan suaminya dapat mengetahui serba sedikit tentang budaya masyarakat Islam di Malaysia.
Festival kali kedua
Shabana merupakan antara ratusan pelancong yang hadir ke program Jom Buka Puasa sempena Festival Ramadan.
Festival anjuran Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) itu mempunyai pengisian berbeza pada setiap hari Sabtu dan Ahad sepanjang Ramadan. Ia juga salah satu daya tarikan kepada pelancong untuk menikmati juadah iftar secara percuma.
Tampil dengan tema Tangan Yang Memberi Lebih Baik Daripada Yang Menerima, festival itu bertujuan menjadikan Ramadan sebagai bulan untuk kegiatan kerohanian dan kesenian Islam agar dapat dihayati oleh generasi muda.
Pengarah Bahagian Pengembangan Budaya JKKN, Rosnan Nordin, 48, memberitahu, penganjuran festival itu merupakan salah satu cara untuk menjadikan ibu kota sebagai destinasi pelancong pada bulan Ramadan.
Menurutnya, budaya seperti itu sering disaksikan di bandar-bandar di negara Arab.
“Festival Ramadan tahun ini merupakan penganjuran edisi kedua selepas kejayaan festival tersebut pada tahun lalu yang telah menarik kira-kira satu juta pengunjung dalam kesemua aktiviti. Di ibu kota, festival ini adalah acara pertama yang mengajak orang awam berbuka di atas jalan raya secara beramai-ramai.
“Pendekatan dengan memberi juadah berbuka secara percuma kepada orang ramai merupakan cara untuk mempromosikan budaya bersedekah di negara kita,” katanya ketika ditemui Kosmo! pada program Jom Buka Puasa baru-baru ini.
Tambahnya, selain Jom Buka Puasa, pengisian lain festival itu ialah pertandingan nasyid dan marhaban, tadarus al-Quran, ziarah sahur, peragaan busana Muslimah, kem remaja Ramadan serta pertandingan mencipta lagu nasyid dan lagu hari raya.
Festival tersebut ternyata menarik minat penduduk ibu kota untuk bersantai-santai sementara menunggu waktu berbuka. Menariknya, penganjuran Festival Ramadan pada tahun lalu telah berjaya mengumpul pengikut tersendiri.
Arifin Saad, 62, merupakan antara insan yang menunggu ketibaan festival tersebut pada tahun ini kerana telah menghadiri program Jom Buka Puasa pada tahun lalu.
Menurutnya, pada Ramadan tahun lalu, dia bersama isteri dan anaknya pasti ke Dataran Merdeka untuk berbuka puasa pada hari Sabtu dan Ahad setiap minggu.
“Selain daripada menikmati juadah bubur lambuk Kampung Baru, kurma dan kuih-muih, saya juga membawa bekalan yang dimasak di rumah. Berdasarkan pengalaman tahun lalu, saya menyukai suasana berbuka puasa di sini.
“Pihak penganjur juga menyediakan kelengkapan yang sempurna terutamanya khemah untuk pengunjung menunaikan solat,” ujarnya yang berasal dari Taman Mulia, Bandar Tun Razak, Kuala Lumpur.
Sebelum berbuka puasa, tazkirah oleh penceramah dan bacaan ayat-ayat suci al-Quran merupakan acara wajib sepanjang festival tersebut.
Sementara itu, seorang pelancong dari Washington, Amerika Syarikat, Alexander Miller, 22, memberitahu, kunjungannya ke festival itu adalah untuk menikmati iftar secara tidak sengaja apabila ada individu menjemput mereka sewaktu bersiar-siar di sekitar Dataran Merdeka.
“Saya mengetahui sedikit asas mengenai Ramadan. Ketika berada di sini, saya sering bertanya kepada seorang rakan rakyat Malaysia mengenai apa yang ada dalam festival ini. Ia secara tidak langsung memberi satu pengalaman baharu kepada saya.
“Sepanjang seminggu kami berada di sini, saya melihat Malaysia merupakan sebuah negara yang mempunyai pelbagai juadah makanan.
“Pada majlis berbuka puasa di atas jalan raya ini, saya melihat hanya makanan asas yang disediakan.
“Saya dapat merasakan bahawa ini merupakan budaya sebenar umat Islam,” ujarnya yang datang melancong di ibu negara bersama tiga orang rakannya dan seorang sahabat yang dikenalinya di Malaysia.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: