Saturday, February 2, 2013

Senjata signifikan Kia

NAZA Kia mengunjurkan jualan sebanyak 200 unit sebulan bagi model Rio.


JENAMA Kia di Malaysia sebenarnya baru sahaja bangkit daripada zaman kelesuannya. Jika sebelum ini, macam-macam masalah sering kedengaran.
Senario tu mula berubah sejak tahun 2011 apabila Kia Motors Corporation (Kia Motors) di Korea Selatan memberi masa selama tiga tahun untuk Naza Kia Malaysia Sdn. Bhd. (Naza Kia) memulihkan semula jenama itu.
Naza Kia kini dalam fasa akhir program pemulihan berkenaan. Tahun ini adalah tahun ketiga. Beberapa aspek penting telah digariskan hampir siap sepenuhnya.
Antaranya adalah menukar ganti barisan model sedia ada dengan produk-produk baharu, selain menggiatkan aspek pemasaran termasuklah menerusi media sosial.
Tidak lupa juga soal khidmat selepas jualan, terutama kebolehdapatan alat ganti dan penyatuan rangkaian pengedar kenderaan Kia.
Mahu tahu keberkesanan program berkenaan? Lihat sahaja statistik jualan Naza Kia pada tahun lalu. Sebanyak 12,309 unit telah menemui pemilik baharu.
Ketua Pegawai Operasi Naza Kia, Datuk Syed Abdull Hafiz Syed Abu Bakar berkata, syarikat melaksanakan pengukuhan kedudukan menerusi beberapa segmen utama seperti sedan dalam pasaran automotif tempatan.
Selesai sudah, sasaran logik seterusnya adalah segmen kenderaan kecil. Agenda itu diteruskan dengan kemunculan Rio.
Pengumuman mengenai ketibaan jentera itu sebenarnya bukanlah suatu perkara baharu. Berita mengenainya sudah digembar-gemburkan sejak tahun lalu lagi.
"Rio ialah salah satu model yang dinanti-nantikan di negara ini. Ia bakal memainkan peranan penting dalam memacu pertumbuhan volum jualan Naza Kia pada tahun 2013," kata Syed Abdull Hafiz.
Rio merupakan kenderaan kompak generasi ketiga dalam segmen B. Ia pernah membuat penampilan sewaktu Geneva Motor Show 2011 di Switzerland.
Dua anugerah
Dalam tempoh singkat, Rio sudah menggondol dua anugerah. Pertama, International Design Excellence Award di Amerika Syarikat. Kedua, Product Design Award 2012 Red Dot Design Awards di Eropah.
Lebih signifikan lagi apabila Rio muncul sebagai kenderaan yang mencatat jualan global terbaik untuk Kia Motors. Jualan Rio setakat ini telah mencapai 466,826 unit.
Segmen B merupakan platform buat pengeluar dan pengedar kenderaan di negara ini memperkenalkan model asas masing-masing. Maka tidak hairanlah jika ia dilihat sebagai segmen yang paling kompetitif.
Pelbagai model baharu dan naik taraf telah diperkenalkan. Antaranya, Nissan Almera, Toyota Vios, Honda Jazz dan Proton Saga. Tidak ketinggalan Ford Fiesta, Suzuki Swift, Mitsubishi Mirage, Chevrolet Sonic, Perodua Myvi dan Hyundai i10.
Pemangkin kepada pertumbuhan segmen itu berkait rapat dengan peningkatan populasi golongan muda dan mereka yang baru sahaja melangkah masuk alam pekerjaan.
Tidak lupa juga faktor ketidaktentuan harga pasaran bahan api, aspek cita rasa, kuasa membeli serta elemen kesenangan (bagi pengendalian dan penggunaan dalam kawasan bandar).

KIA Rio disasarkan kepada golongan muda berusia 35 tahun ke bawah.


Transmisi Automatik
Rio hanya didatangkan dalam model hatchback dengan enjin petrol 1.4 liter. Transmisinya jenis empat kelajuan automatik dengan ciri manumatic (penukaran gear boleh dibuat secara manual).
"Varian Rio sedan dilihat sebagai tidak begitu sesuai untuk pasaran kita. Tiada faktor wow mengenainya," kata Syed Abdull Hafiz pada sidang akhbar selepas majlis pelancaran Rio di Damansara, Selangor baru-baru ini.
Jika melayari forum-forum dalam talian dan blog, ramai juga mempersoalkan mengapa transmisi automatik empat kelajuan dan bukannya pilihan lain (manual) seperti yang terdapat dalam pasaran luar.
Keputusan yang dibuat itu ada justifikasi tersendiri. Memang benar ada segelintir individu yang mahukan transmisi manual namun volumnya tidaklah sebesar mana.
Pendek kata, transmisi manual kurang meraih sambutan berbanding automatik. Objektif perniagaan adalah memaksimumkan keuntungan, jika tidak itu bukannya bisnes.
Kia Rio ditawarkan menerusi dua varian iaitu EX dan SX. Sekali pandang, kedua-duanya hampir sama. Bezanya, SX ada beberapa ciri tambahan.
Ini termasuklah bumbung suria, rim aloi 17 inci, sistem pendingin hawa automatik dengan ciri ionizer, lampu kabus, sistem nyahkabus automatik, sensor hujan dan sistem kemasukan kunci pintar.
Enjin kedua-dua varian tetap sama. Kuasa maksimum yang boleh dihamburkan adalah 109PS @ 6,300rpm. Tork pula setinggi 137Nm @ 4,200rpm.
Rio didatangkan dengan beberapa ciri termaju seperti Hill-start Assist Control (HAC), Vehicle Stability Management (VSM), Glove Box Cooling dan enam beg udara.
Harga atas jalan termasuk insurans bagi Kia Rio SX ialah RM79,888 seunit. Sementara EX dijual pada harga RM73,888 sebuah. Jaminan yang diberikan adalah selama lima tahun tanpa had perbatuan.
Ini baru permulaan tahun 2013, tetapi Naza Kia sudah ada rancangan untuk memperkenalkan sekurang-kurangnya enam model baharu dan naik taraf. Sama-sama kita nantikan.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: