Saturday, February 2, 2013

Pencabar BMW 3 Series!


PENAMPILAN Lexus IS nyata semakin agresif.


PASARAN kereta mewah walaupun berada dalam kategori niche sebenarnya mempunyai persaingan tersendiri. Bahkan pasaran itu merupakan lubuk mencari duit kerana margin keuntungannya yang lebih tinggi.
Apa yang menghairankan, bagaimana mahal sekali pun harga sesebuah kereta, masih ada yang mampu membelinya. Lihat sahaja jumlah kereta-kereta mewah seperti BMW, Mercedes, Audi dan lain-lain yang setara menjalar di atas jalan raya. Pelik juga dari mana pemiliknya mempunyai duit sebanyak itu.
Namun sejak kebelakangan ini, pasaran kereta mewah yang banyak didominasi oleh pengeluar Eropah dihakis sedikit demi sedikit oleh pengeluar Jepun.
Lexus dan Infiniti yang masing-masing dimiliki oleh Toyota dan Nissan mempunyai produk yang bersaing secara terus dengan model-model mewah keluaran Eropah.
Kereta mewah Jepun mempunyai tarikan tersendiri. Ketahanan dan kelasakannya sudah terbukti dan diperakui oleh umum. Tambahan pula, kos penyelenggaraan kereta Jepun lebih murah.
Berdasarkan kepada laporan agensi berita Newspress, Lexus baru-baru ini mengumumkan model IS baharu yang dilihat sebagai pesaing utama BMW 3 Series.
Lebih menarik, ada dua varian iaitu IS 300h yang merupakan model hibrid penuh dan IS 250 yang dikuasakan oleh enjin petrol.
Kedua-dua varian tersebut menggunakan sistem pacuan roda belakang dan bakal dipasarkan dalam pakej F-Sport. Pemilik kereta mewah kebiasaannya tergolong dalam kategori yang sukakan pemanduan menyeronokkan. Menyedari hakikat itu, Lexus membangunkan IS supaya seronok dipandu, selain reka bentuk yang sangat menonjol.
“Setiap aspek pada IS baharu telah dibangunkan dengan fokus kepada prestasi, pengendalian, tindak balas yang tepat untuk pemandu dan komunikasi yang berkesan di antara pemandu dengan kereta,” kata Ketua Jurutera IS, Junichi Furuyama.
Ruang Kabinnya mempamerkan kualiti Lexus, perincian dan ciri-ciri yang memberi fokus kepada pemandu. Bukan setakat itu, IS baharu juga mempunyai bonet belakang yang lebih mesra pengguna dan ruang penumpang belakang yang didakwa sebagai terbaik dalam kelasnya.
Dari segi luaran pula, IS diinspirasikan oleh model konsep Lexus LF-CC. Ia mempunyai gril trademark baharu Lexus dipanggil Spindle yang nampak begitu ekstrem dan menonjol. Apa yang ingin disampaikan adalah kuasa, elegan dan identiti jenama lebih kuat.
Dipandang dari sudut profail, IS nampak seperti ruang kabinnya ditolak ke bahagian belakang. Sementara garisan badan dari bawah meningkat naik ke atas iaitu ke bahagian kluster lampu yang memberi efek elegan dan dinamik.

RUANG kabin jentera ini memberi perhatian kepada aspek kemewahan dan praktikaliti.


Selain itu, bahagian depan menyerlah menerusi rekaan lampu baharu. Sementara lampu DRL signatur Lexus berbentuk L pula nampak seolah-olah ditanam di dalam bampar.
Rekaan dan hasil pada bahagian kabin nampak kemas serta elegan. Menurut Lexus, tempat duduk pemandu tambah selesa dengan sokongan lateral yang lebih baik.
IS baharu disasarkan untuk menjadi sebuah kereta dengan pemanduan terbaik dalam kelasnya, apabila setiap aspek pengendalian dibangunkan ke arah matlamat tersebut.
Antara kaedahnya adalah penggunaan kimpalan skru laser baharu dan teknik lekatan badan yang apabila digabungkan dengan kimpalan spot, ia akan meningkatkan lagi ketegaran badan.
Set suspensi depan double wishbone pula disemak semula. Sementara sistem suspensi belakang jenis multi-link pula adalah sama seperti generasi baharu Lexus GS.
Untuk pemandu, terdapat tiga seleksi pemanduan iaitu Eco, Normal dan Sport. Pemandu boleh memilih mana-mana mode yang disukainya sama ada untuk ekonomikal, keselesaan atau pun prestasi.
IS 250 dikuasakan oleh enjin V6 petrol berkuasa 204bhp yang memacu roda belakang. Sementara model hibrid IS300h pula mengabungkan motor elektrik berkuasa dengan enjin 2.5 liter yang baru dibangunkan.
Enjin tersebut dilengkapi sistem pancitan D-4S, Dual VVT-i intelligent variable valve timing dan sistem Exhaust Gas Recirculation dengan output kuasa 217bhp.
Lexus adalah jenama mewah yang penting untuk Toyota berada dalam setiap kategori masyarakat. Toyota mungkin berjaya meraih jualan pasaran kereta mewah, namun ia masih tidak segah jenama Eropah.
Persepsinya, walaupun berjenama Lexus tetapi ia masih berkongsi teknologi dengan Toyota. Ibarat membeli sebuah Toyota tetapi pada harga yang lebih mahal.
Benar ada perbezaan di antara Toyota dan Lexus, tetapi antara salah satu sebab jenama mewah Eropah kuat ialah produknya mempunyai karakter. Lexus perlu mencari dan mempunyai karakter tersebut.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: