Tuesday, February 26, 2013

Beriani asli katering SKDP


ABDULLAH (kiri) dan Mohamad Saiful menunjukkan nasi beriani asli daripada dapur Selera Kampung Daun Pisang.


PERNIAGAAN katering bukan terjadi dalam masa sehari, ia memerlukan masa yang lama daripada menu yang sudah pasti sedap dan menepati kehendak semua lapisan masyarakat sehinggalah layanan terbaik untuk pelanggan.
Semua itu telah ditempuhi oleh Abdullah Mail, 57, yang berasal dari Sungai Besar, Selangor. Pengalamannya bermula dengan perniagaan kecil-kecilan menjual soto, laksa dan lontong di sebuah gerai.
Selain tiga jenis hidangan tersebut, nasi lemak yang dimasak oleh isterinya juga menjadi makanan yang begitu terkenal pada waktu itu.
"Kami perlu menanak nasi lebih kurang 16 gantang dalam sehari dan pasti kesemuanya habis dijual. Nasi lemak kami beralas daun pisang. Nama katering kami bersempena dengan alas pisang itu," katanya ketika ditemui di Kuala Lumpur.
Nama syarikat katering milik keluarga Abdullah ialah Selera Kampung Daun Pisang (SKDP) yang kini diuruskan oleh pasangan itu dan tiga orang anak mereka.
Selepas mendapat maklum balas yang positif dan saranan daripada rakan-rakan, dia membuka sebuah restoran. Namun, hari tidak selalunya indah, restorannya di Padang Jawa, Selangor dirobohkan demi memberi laluan pembinaan jalan raya.
Tidak berputus asa, Abdullah dan isteri, Umi Kalsum Suratman, 56, berniaga di kafeterina, kilang CCM Fertilizer selama 11 tahun. Ketika itu muncul idea dalam diri bapa tujuh orang anak itu untuk memulakan perniagaan katering.
"CCM Fertilizer kerap mengadakan acara makan-makan dan meminta kami menyediakan hidangan. Melihat peluang yang ada saya perlahan-lahan menceburi dunia katering," katanya ketika ditemui di pejabat Kosmo! baru-baru ini.
Menurutnya, rasa makanan yang sedap merupakan inti pati sesebuah perniagaan yang melibatkan makanan sama ada restoran, katering mahu pun gerai kecil-kecilan.
Ujarnya: "Saya sentiasa berasa iri hati dan mahukan masakan saya sentiasa sedap."
Lantaran itu, rasa iri hati tersebut diambil secara positif olehnya dengan mengembara sehingga ke Batu Pahat, Johor untuk mempelajari sendiri masakan nasi beriani asli dari negeri itu.
Anaknya yang juga pengurus operasi SKDP, Mohamad Saiful Apandi Abdullah, 31, berkata, nasi beriani mereka menggunakan resipi asli dan dalam masa yang sama diberikan penambahbaikkan.
"Kami tidak menanak nasi seperti resipi asal, tetapi nasi dikukus menghasilkan butiran nasi lebih muai dan berderai," ujar Mohamad Saiful.
Tambahnya, nasi beriani yang dikukus bukan tugas mudah kerana nasi dan rempah-ratus perlu diasing terlebih dulu serta tempoh mengukus yang lama iaitu kira-kira empat jam.
Selain nasi beriani, masakan kampung seperti ikan keli berlada, sambal goreng Jawa dan nasi ambeng turut menjadi identiti SKDP.
Kambing golek barbeku SKDP juga merupakan keistimewaan katering milik keluarga Abdullah itu dengan gaya masakan yang dapat mengekalkan rasa dan aroma kambing.
Kerja-kerja penyediaan makanan seperti memotong daging dan menanak nasi sehingga mengaul dilakukan oleh ramai individu kerana kuantiti yang besar memerlukan banyak tenaga.
Namun, ibu Mohamad Saiful menjadi satu-satunya individu yang mengawal rasa setiap hidangan yang dimasak termasuk sewaktu menumis rempah-ratus.
Katering SKDP turut menyediakan perkhidmatan lain seperti majlis keraian, seminar dan majlis perkahwinan yang terdiri daripada kad jemputan, pelamin, andaman serta kompang.
Daripada bajet, Mohamad Saiful dapat memberi cadangan yang bersesuaian untuk bilangan tetamu, menu atau memerlukan penambahan modal.
"Bajet paling ideal buat masa sekarang lebih kurang RM12,000 untuk 1,000 tetamu," ujarnya. Khidmat nasihatnya tidak dikenakan sebarang caj.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: