Wednesday, February 27, 2013

Zain tak pernah bincang - Sasha

SASHA mengakui terkejut dan tidak mengetahui tentang tarikh perkahwinan adiknya, Zain dengan Rozita yang didakwa bakal berlangsung pada bulan Ramadan ini.


SETELAH kisah percintaan mereka sering diperkatakan media dan peminat, akhirnya pasangan Zain Saidin, 29, dan Rozita Che Wan, 42, mengambil keputusan untuk mendirikan rumah tangga.
Perkara ini didedahkan sendiri oleh Rozita menerusi sebuah akhbar semalam yang mendakwa dia dan Zain bakal melangsungkan perkahwinan pada hujung bulan Julai ini.
Namun ia menimbulkan persoalan kerana hujung Julai merupakan bulan Ramadan. Justeru, adakah Rozita dan Zain akan berkahwin pada bulan Ramadan tahun ini?
Bagi mendapatkan kesahihan mengenai perkara tersebut, Kosmo! menghubungi kakak Zain iaitu bekas anggota kumpulan Elite, Sasha.
Kosmo!: Bolehkah Sasha komen mengenai kenyataan Rozita yang dia akan berkahwin dengan Zain pada hujung bulan Julai ini?
SASHA: Sebenarnya saya agak terkejut dengan perkara tersebut dan langsung tidak tahu apa-apa mengenainya. Lagipun saya baru sahaja pulang dari Sydney, Australia minggu lalu dan Zain sendiri tidak pernah berbincang apa-apa pun mengenainya (kahwin pada hujung Julai).
Adakah Sasha fikir mereka akan melangsungkan perkahwinan pada bulan tersebut?
Saya rasa ia sesuatu yang agak mustahil memandangkan ketika itu merupakan bulan Ramadan dan umat Islam sedang berpuasa. Jadi, saya rasa tidak mungkin mereka akan melangsungkannya pada masa berkenaan.
Apabila berita ini tersebar saya ada menghubungi Zain untuk mendapatkan penjelasan sebenar. Dia memberitahu saya memang dia dan Rozita akan berkahwin, tetapi pada hujung tahun dan bukan pada hujung Julai ini.
Adakah selama ini keluarga merestui hubungan Zain dan Rozita memandangkan umur Rozita dan Zain jauh berbeza iaitu 13 tahun?
Sebagai kakak, saya memang tiada halangan dan Zain bebas memilih sesiapa sahaja yang ingin menjadi teman hidupnya, asalkan dia gembira dengan pilihannya itu. Keluarga kami pula memang mengamalkan sikap terbuka dan merestui hubungan mereka berdua selama ini. Memang faktor umur tidak menjadi halangan dan semua keputusan terletak di tangan Zain.
Memandangkan Zain akan berkahwin pada tahun ini, bagaimanakah pula Sasha sendiri, tidakkan ingin kembali mendirikan rumah tangga setelah bercerai pada tahun lalu?
Keinginan untuk berumah tangga itu memang ada memandangkan saya jenis wanita yang tidak boleh hidup keseorangan, namun jodoh semuanya terletak pada kuasa Allah.
Sepanjang bergelar ibu tunggal adakah mana-mana lelaki yang cuba mendekati Sasha?
Tidak dinafikan memang ada yang cuba mendekati dan ingin mengambil saya sebagai isteri. Buat masa ini, ia masih lagi dalam proses penilaian dan mengenal hati budi masing-masing. Saya mahu membuat keputusan yang tepat untuk memilih teman hidup agar pisang tidak berbuah dua kali.
Bagaimanakah dengan perkembangan kerjaya Sasha sekarang ini?
Sehingga kini saya masih lagi aktif dalam dunia lakonan dan drama terbaharu saya berjudul Cinta Adam dan Hawa sebanyak 26 episod akan ditayangkan tidak lama lagi.
Bagaimanapun, saya lebih banyak mendapat tawaran membuat pertunjukan fesyen di merata-rata tempat. Cuma sesekali saya turut diberi peluang menjadi pengacara sesebuah majlis serta tampil sebagai artis undangan dalam beberapa buah program TV.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: