Thursday, February 28, 2013

Jana idea dan inovasi tempatan



MENINGGALKAN kenderaan seperti kereta di rumah lantaran terpaksa bertugas di luar daerah selama beberapa hari merupakan perkara normal yang dilalui ramai individu.
Tetapi, kadangkala ada yang berdepan pengalaman buruk apabila mendapati kereta yang ditinggalkan hilang akibat dicuri pihak tidak bertanggungjawab sebaik pulang.
Menyedari masalah itu, Jabatan Pembangunan Reka Cipta Inovasi dan Kecemerlangan, Institut Latihan Perindustrian (ILP) Kepala Batas, Pulau Pinang tampil dengan inovasi penghasilan Aplikasi Sistem Kereta AutoStart Java-Android.
Melalui aplikasi itu, pemilik boleh meningkatkan kawalan keselamatan terhadap kenderaan masing-masing yang dipantau secara terus daripada telefon pintar atau tablet walau di mana mereka berada.
Ketuanya, Sarizan Saaidon, 34, memberitahu, aplikasi yang diilhamkan sendiri itu, mula dibangunkan pada September tahun lalu dan ia mengambil masa kira-kira tiga bulan untuk disiapkan.
"Melalui pemasangan sistem ini, ia akan berfungsi untuk menjaga enjin dan pendingin hawa, menjaga suhu dan kelembapan kenderaan serta meningkatkan kawalan keselamatan terhadap kenderaan tersebut.
"Sebagai contoh, apabila kenderaan itu diceroboh, sistem penggera akan bertindak menghantar mesej pantas setiap empat saat kepada telefon pengguna. Kemudian, mereka boleh menghantar kod keselamatan untuk menyekat enjin kereta daripada dihidupkan.
"Ia secara automatik akan menyebabkan kenderaan yang mungkin telah dihidupkan berhenti di tepi jalan. Selain itu, jika kereta berkenaan turut dipasang dengan Sistem Penentu Kedudukan Global (GPS), ia akan dapat mengesan lokasi kenderaan itu dibawa," ujar Sarizan kepada Kosmo!.

SARIZAN (kiri) menunjukkan antara pingat yang telah dimenangi melalui penciptaan Aplikasi Sistem Kereta AutoSmart Java-Android.


Dibangunkan menggunakan perisian PIC Microcontroller oleh Microchip Technology, sistem itu sudah diuji menerusi tiga model kereta tempatan iaitu Proton Perdana V6, Waja dan Satria, manakala Renault Kangoo bagi kenderaan continental.
Buat masa ini, ia masih belum dikomersialkan dan sedang menunggu kelulusan untuk mendapatkan dana prakomersial daripada Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (Mosti).
Namun, pihak ILP Kepala Batas mengalu-alukan mana-mana pihak atau syarikat berkaitan pemotoran yang berminat untuk menjalin kerjasama dalam mengembangkan teknologi tersebut.
MTE 2013
Aplikasi Sistem Kereta AutoStart Java-Android itu sebenarnya merupakan salah satu inovasi menarik yang dipamerkan sempena Ekspo Teknologi Malaysia (MTE) 2013 yang berlangsung di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur pada 21 hingga 23 Februari lalu.
Dianjurkan oleh Persatuan Saintis Penyelidik Malaysia (MARS) dan Protemp Exhibitions Sdn. Bhd. dengan kerjasama MOSTI, ekspo yang telah memasuki edisi ke-12 itu, berjaya menarik 500 penyertaan dari dalam dan luar negara.
Pengerusi Jawatankuasa Penganjur MTE 2013, Dr. Wan Manshol Wan Zin berkata, seiring dengan penganjuran MTE, pihaknya turut mengadakan Anugerah & Ekspo Reka Bentuk Antarabangsa Malaysia (mIDEAS) yang mewujudkan pendedahan lebih luas dan peluang pemasaran baharu bagi pempamer dan peserta.
"Ia diadakan untuk memperjuangkan kepentingan reka bentuk di samping memberi penghormatan kepada pereka cipta dan rekaan mereka. Malah, acara ini diharap menjadi satu platform permulaan kepada profesion dalam Industri Reka Bentuk.

NURSYAHIRAH bersama rakan sepasukan dan pensyarah dari PSSAAS kreatif menghasilkan Puzzle Kids Furniture.


"MTE/mIDEAS 2013 menjadi medan untuk pereka cipta dan pereka bentuk mempamerkan hasil inovasi, penciptaan serta produk mereka. Ia merangkumi pelbagai bidang seperti pertanian, sains hayat, kejuruteraan, teknologi maklumat, reka bentuk estetik untuk perumahan dan sebagainya," jelas Wan Manshol.
Meneroka keseluruhan program itu, banyak rekaan dan hasil inovasi kreatif sekali gus mampu membuatkan pengunjung teruja apabila menyaksikannya.
Bukan sahaja daripada golongan profesional di universiti, malah ia turut melibatkan penciptaan produk unik oleh pelajar peringkat menengah.
Penghasilan projek Drainage Bin atau dipanggil Drabin oleh Sekolah Menengah Kebangsaan Machang Bubuk, Pulau Pinang yang berfungsi untuk memerangkap semua jenis sampah termasuk minyak dan pasir halus antara yang menarik.
Penasihat Teknikal Jabatan Pendidikan Negeri Pulau Pinang, Mohd. Fuad Mohd. Khir berkata, projek itu dihasilkan oleh sekumpulan pelajar tingkatan dua sekolah tersebut selepas melakukan penyelidikan sejak tahun lalu.
"Drabin yang telah siap dipasang akan diletakkan di kawasan longkang yang dikenal pasti banyak sampah dan menyebabkan air menjadi kotor. Ia satu projek untuk menghijaukan alam dan menjadikan air yang mengalir lebih bersih," ujar Mohd. Fuad.
Kumpulan pelajar itu terdiri daripada Mohamad Nasri Nasehir, Mohd. Ikmal Mohd. Naser dan Mohd. Alif Irfan Mohd. Sabri. Walaupun baru berusia 14 tahun, namun idea yang dikemukakan mereka mampu membawa perubahan kepada alam sekitar.
Antara inovasi lain yang dipamerkan di MTE ialah Sistem Infotainment Dalam Kenderaan Menggunakan Teknologi Hijau Wavelength Division Multiplexing-Polymer Optical Fiber (WDM-POF) dan Aplikasi Bus Scheduling Model (BSM).

MENGGUNAKAN teknologi hijau WDM-POF, sekumpulan penyelidik UKM berjaya mencipta Sistem Infotainment Dalam Kenderaan.


Tidak ketinggalan, rekaan Puzzle Kids Furniture oleh pelajar tahun akhir Teknologi Berasaskan Kayu, Politeknik Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (PSSAAS) turut mempunyai keistimewaan tersendiri.
Ini kerana, ciptaan tersebut sangat praktikal dan mampu menguji minda kanak-kanak untuk menghasilkan pelbagai bentuk sofa daripada rekaan asal yang berbentuk seperti tilam. Ia diperbuat daripada material seperti kayu meranti, papan lapis, span dan fabrik Polyvinil Cloride (PVC).
"Kami gembira kerana berpeluang mempamerkan hasil ciptaan di eskpo ini. Puzzle Kids Furniture merupakan projek yang mendapat pingat emas atau tempat pertama daripada semua projek yang dihasilkan oleh pelajar tahun akhir di PSSAAS," kata wakil pelajar, Nursyahirah Ismail.
Untuk maklumat lanjut mengenai ekspo ini, layari laman web www.mte.org.my.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: