Friday, February 22, 2013

Kekuatan masih pada tahap sederhana



SECARA tiba-tiba, nama sebuah bandar yang kurang diambil peduli oleh kebanyakan orang, Chelyabinsk, Rusia menjadi begitu terkenal pada minggu lalu apabila sebuah meteor meluru jatuh di kaki langit bandar itu.
Gelombang meteor itu telah menyebabkan tingkap-tingkap di 3,700 buah bangunan di sekitar bandar tersebut meletup, manakala 1,150 penduduknya mendapatkan rawatan dan 50 orang lagi ditahan dalam wad.
Sehingga awal minggu ini, seramai 40 orang masih lagi berada di hospital yang kebanyakannya mengalami luka, patah tulang dan konkusi, kata seorang doktor pada pemberita Rossiya Channel.
Sebuah pusat khas turut dibuka bagi memberi bantuan dari sudut psikologi kepada mereka yang mengalami gangguan berikutan kejadian tersebut.
"Terdapat jaluran putih. Kami sangka ia sebuah pesawat yang terbakar," kata salah seorang pesakit yang hanya dikenali sebagai Vera.
Dia dibawa ke hospital tersebut kerana tidak sedar diri, namun Vera masih jelas mengingati setiap perkara yang berlaku sebelum tidak sedarkan diri.
"Kemudian berlaku letupan dan saya tidak dapat mengingati apa-apa selepas itu," katanya yang berada di atas katil hospital dan kelihatan masih bingung.
Kekuatan meteor itu mampu memusnahkan dinding gudang Loji Zink OAO Chelyabinsk dan mengganggu perkhidmatan operator mobil kedua terbesar Rusia, OAO MegaFon.
30 kali ganda
Para saintis daripada agensi Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Kebangsaan (NASA), Amerika Syarikat menganggarkan jumlah tenaga yang dilepaskan di atmosfera pada Jumaat lalu lebih kurang 30 kali ganda kekuatan bom nuklear di Hiroshima, Jepun.
Meteor Chelyabinsk mengeluarkan 500 kilotan tenaga ketika ia terserak di kaki langit bandar itu lebih kurang pukul 9.20 pagi waktu tempatan. Bom atom yang jatuh ketika Perang Dunia Kedua pula sekitar 12 hingga 15 kilotan.
Ia berkelajuan 64,373 kilometer per jam dan mengambil masa selama 32.5 saat untuk terserak pada ketinggian antara 15 hingga 25 kilometer di atas bandar itu.
Sebelum melanggar atmosfera Bumi, objek tersebut berdiameter kira-kira 17 meter dan seberat 10,000 tan, tetapi saintis Rusia memberikan statistik yang amat berbeza iaitu sekitar 10 tan sahaja.

KAWAH Barringer di Arizona, AS ini merupakan antara kesan dentuman meteor di Bumi pada 50,000 tahun lalu.


Sebenarnya, para saintis NASA memberitahu, letusan meteor pada hari itu agak besar dan lebih kuat berbanding ramalan awal.
Pada petang hari kejadian, mereka hanya menganggarkan batu angkasa itu bersaiz 15 meter dengan letusan percikan bersamaan 300 kilotan yang kemudian dinaikkan sehingga 470 kilotan.
Namun, bacaan kekuatan letupan dinaikkan sekali lagi sebanyak 30 kilotan pada penghujung hari Jumaat, manakala saiznya juga disemak semula menjadi ukuran akhir rasmi yang dikeluarkan kepada pihak media.
"Anggaran terbaharu ini dijana menggunakan data yang dikumpul dari lima buah stesen infrabunyi tambahan terletak di seluruh dunia. Rekod pertama dikesan di Alaska, 6,500 kilometer dari Chelyabinsk," kata pengawai di Makmal Perejangan Jet (JPL), Pasadena, California dalam sebuah kenyataan akhbar.
Stesen infrabunyi mengesan gelombang bunyi berfrekuensi rendah yang ada bersama letupan meteor, dikenali sebagai bolid atau bola api.
Dalam laman web Live Science, kekuatan bunyi yang terhasil sangat kuat sehingga separuh daripada dunia ini dapat mendengarnya.
Banyak jenis bunyi yang barangkali tidak boleh didengari oleh telinga manusia iaitu berada di bawah 20 hertz, bagaimanapun ia masih lagi dapat dikesan berikutan sudah banyak kemudahan pengesan khas untuk tahap tersebut.
Sebanyak 11 pengesan berada sejauh di Greenland dan benua Afrika merekodkan letusan tersebut dan ia amat mengagumkan, petik laman web itu.
NASA memberitahu, meteor Rusia itu merupakan kejadian yang jarang berlaku. Kali terakhir pada tahun 1908 apabila batu angkasa meletup di Sungai Tunguska, Siberia sehingga meratakan kawasan yang tidak berpenghuni itu seluas 2,137 kilometer persegi.
"Kami menjangkakan kejadian pada magnitud ini berlaku secara purata sekali setiap 100 tahun.
"Jika terdapat bola api yang besar, kami meramal bilangan meteorit yang banyak apabila ia sampai di permukaan Bumi.
"Dalam kes di Chelyabinsk, mungkin terdapat meteorit yang bersaiz besar," kata Pegawai Program Objek Berdekatan Bumi NASA di JPL, Paul Chodas.
Setiap hari, 100 tan habuk dan partikel bersaiz pasir memasuki atmosfera Bumi dan hampir kesemuanya hangus terbakar.
Jika meteor sedang dalam perjalanan ke tempat anda, jangkaan kehadirannya bergantung kepada saiz batu angkasa itu dan waktu objek tersebut datang.
Pada waktu malam, ahli astronomi dapat melihat objek meluru jatuh ke Bumi melalui teleskop, tetapi hampir mustahil pada siang hari.
"Sukar untuk melihat objek kecil pada siang hari sehingga ia mendekati kita. Asteroid perlu dilihat pada langit yang gelap," terang Chodus dalam sebuah telepersidangan Jumaat lalu.
Ahli astronomi Institut Teknologi California (Caltech), Mike Brown berkata, sesebuah kawasan mempunyai satu hingga dua jam amaran awal jika meteor dikesan pada waktu malam.

BUTIRAN batu hitam ini didakwa oleh para saintis Rusia sebagai meteorit yang terhempas di Bumi minggu lalu.


Peringatan dan amaran
Caltech dan JPL mempunyai rutin melihat objek besar yang boleh memberi impak kepada Bumi. Bagi yang besar, orang awam akan menerima notis amaran 10 tahun atau lebih sebelum berlaku, ujar Brown.
Tambahnya, sekarang tidak ada objek terapung di angkasa yang perlu dirisaukan, malah kejadian di Rusia berlaku pada tahap sederhana jika dibuat perbandingan.
Terdapat beratus-ratus ribu asteroid berada dalam sistem solar yang mempunyai saiz sama dengan meteorit Rusia, ujar pengarah Makmal Planet dan Lunar, Universiti Arizona, Tucson, Tim Swindle.
"Asteroid dalam bentuk batu, karbon atau logam yang mengorbit matahari itu adakalanya boleh terkeluar daripada laluannya," katanya.
Apabila partikel kecil asteroid yang dipanggil meteoroid menembusi atmosfera Bumi pada kelajuan 10 hingga 20 kali ganda kelajuan bunyi, ia menghasilkan letupan sonik dan menjadi meteor.
Meteor dalam bahasa yang sering disebut ialah tahi bintang.
Impak meteor yang membahang itu sama seperti sesebuah objek yang melanggar dinding lalu mencetus tenaga haba. Haba panas pada permukaan meteor menyebabkan serakan bahan yang mencair dan kadangkala terlerai menjadi bahagian yang lebih kecil.
Menurut Swindle, pecahan meteorit kebanyakannya akan terbakar di atmosfera, jatuh ke laut atau jatuh di kawasan tiada populasi.
Bagaimanapun, sekurang-kurangnya setiap satu atau dua bulan, laporan orang awam terlihat serpihan jatuh dari langit pasti ada.
Insiden terakhir yang melibatkan meteorit mencederakan manusia berlaku pada tahun 1954 di Sylacauga, Alabama. Mangsa, Ann Elizabeth Hodges, tercedera selepas batu angkasa itu melanggar ruang tamu rumahnya.
"Banyak tiket ke Moscow akan ditempah," kata Swindle mengakui pemburu meteorit pasti menghala ke sana untuk mendapatkan batu permata dan mineral.
Sehingga kini, masih lagi belum jelas bilangan meteroit yang jatuh ke Rusia dan undang-undang negara terbabit membenarkan sesiapa sahaja yang menjumpai batu itu menyimpannya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: