|
JIKA suatu masa dahulu, fenomena blogging pernah mewarnai perkembangan media massa di negara ini. Namun kini, peralihan minat dan medium komunikasi membuatkan trend itu turut berubah.
Berdasarkan perkembangan semasa, ia mengalami satu evolusi daripada karya penulisan kepada informasi berbentuk video dalam menyampaikan maklumat kepada orang ramai.
Bagi golongan anak muda, istilah vlog bukan suatu yang asing. Ia merupakan gabungan perkataan video dan blog.
Sebelum ini, laman web seperti Blogspot.com dan Wordpress menjadi pilihan golongan blogger khususnya untuk berkarya dalam bentuk penulisan, tetapi kini laman YouTube manjadi platform golongan yang digelar vlogger ini untuk memuat naik video mereka.
Setiap vlogger memiliki saluran mereka tersendiri di YouTube yang membolehkan orang ramai mengikuti sebarang entri vlog yang dimuat naik oleh mereka.
Setiap entri vlog akan memaparkan minat dan kebolehan pemiliknya untuk dikongsi bersama dengan pengunjung Internet yang lain.
Nama-nama seperti Nirman, Mozek, Amanwan, Mathlutfi, Maria Elena dan Anwar Hadi bukanlah suatu yang asing bagi mereka yang mengikuti perkembangan dunia vlogging di negara ini.
Bagi Nirman Kamal Juhanis, dirinya sudah berkecimpung dengan dunia vlogging sejak menuntut di universiti.
Dia berpendapat bahawa vlogging merupakan media baharu yang kian mendapat tempat di hati masyarakat berbanding blog.
"Orang sekarang sudah tidak berapa suka membaca blog. Mungkin sebab kalau blog, kena baca entri yang panjang. Tetapi jika video, ia lebih mudah. Orang hanya perlu tonton dan dengar.
"Menerusi cara sebegini, kita dapat sampaikan mesej dengan cara yang lebih kreatif dan mampu menarik orang ramai untuk menonton," katanya yang juga seorang vlogger yang popular menerusi saluran Mentol Pecah.
Bekas graduan Komunikasi Massa (Filem) dari Universiti Teknologi Kreatif Limkokwing itu memberitahu, menerusi vlog, ia memberi lebih kepuasan kepada dirinya untuk berkarya kerana ia sejajar dengan minatnya dalam bidang videografi.
|
Perlu disunting
Menyentuh mengenai tempoh proses pembikinan, Nirman yang kini bekerja sebagai jurukamera video di salah sebuah syarikat produksi tempatan berkata, penghasilan sesebuah entri vlog sedikit rumit berbanding blog.
Ini kerana, menurutnya bagi menghasilkan sesebuah vlog, ia memerlukan subjek di dalam video untuk dirakam selain memerlukan masa bagi proses penyuntingan.
"Kebiasaannya, ia mengambil masa lebih kurang dua hingga tiga hari untuk menyiapkan sesuatu video bagi satu entri.
"Ia juga bergantung kepada durasi sesuatu video yang ingin dihasilkan serta kerumitan babak dalam lakonan yang ingin dipersembahkan," katanya yang menggunakan video kamera Sony HD ketika proses penggambaran dilakukan.
Menurut anak muda berusia 25 tahun itu, kebiasaannya dia akan melakukan penggambaran sikit demi sikit mengikut babak dalam dua hingga tiga hari.
"Jika dahulu ketika masih belajar, rakaman video untuk entri vlog dibuat ketika tidak ada kuliah, terutamanya pada cuti hujung minggu.
"Sekarang ini masing-masing sudah bekerja, jadi masa itu agak terhad untuk bagi komitmen sepenuhnya. Kami jadikan ia satu hobi pada waktu lapang," ujarnya yang juga pernah menghasilkan video paling pendek yang mengambil masa satu hari termasuk penggambaran dan juga proses penyuntingan.
Menyentuh mengenai penyuntingan kesan bunyi, Nirman lebih gemar menggunakan lagu-lagu runut bunyi daripada drama bersiri di televisyen.
Di sebalik populariti saluran vlog Mentol Pecah, Nirman tidak berdiri berseorangan.
Dia turut berkolaborasi bersama rakan baiknya, Ahmad Mudhakkir Zainal Ali, 24, ataupun lebih dikenali dengan panggilan Mozek dalam dunia vlogging.
Jika Nirman lebih kepada bidang teknikal membabitkan penggambaran, Mozek lebih kepada konsep jalan cerita dan peulisan skrip.
Bagi Mozek, entri vlog yang dihasilkan bersama rakan baiknya itu kebiasaannya mendapat cetusan ilham daripada ragam manusia di sekeliling mereka.
"Daripada situ nanti, kami akan hasilkan video yang mempunyai unsur humor tetapi ada mesej di sebaliknya.
"Kami lebih sukakan penonton berfikir melalui karya video yang banyak menggunakan gerakan fizikal berbanding verbal.
"Kami tidak berapa gemar bagi punchline joke yang orang ramai sudah tahu," ujar graduan Ijazah Sarjana Muda Pembangunan Permainan Video dari Universiti Teknologi Kreatif Lim Kok Wing.
Mozek yang bekerja sebagai penulis skrip di salah sebuah syarikat animasi tempatan memberitahu dirinya suka bereksperimen dengan menzahirkan sesuatu idea yang ingin diketengahkan kepada pelayar internet.
Sehingga kini, saluran Mentol Pecah telah memuat naik sebanyak 30 entri vlog yang telah ditonton ratusan ribu pelayar YouTube sejak ditubuhkan pada 2009.
|
Jadi perhatian
Menurut Mozek, dia selalu melakukan semakan dan meneliti komen-komen penonton di saluran Mentol Pecah dua hingga tiga kali seminggu.
"Perkara paling seronok dan puas apabila ada orang memberi komen dengan setiap entri vlog yang dimuat naik.
"Komen paling kami suka apabila orang beritahu yang mereka tidak berapa faham dengan video yang ditonton, tetapi mereka boleh tergelak dengan video tersebut.
"Ada juga yang hantar e-mel minta kami hasilkan sesuatu video permintaan mereka mengenai isu-isu semasa," ujarnya yang mengakui turut pernah mendapat kritikan mengenai entri vlog mereka.
Jika jumlah pelayar mencecah ratusan ribu, sudah pasti kelibat mereka ditempat awam menjadi perhatian umum.
"Kalau keluar pergi jalan-jalan, ada yang mengenali. Rasa terkejut juga tiba-tiba ada orang yang kita tidak kenal menyapa kita ketika di luar.
"Mereka mungkin yang pernah menonton vlog yang kami hasilkan," ujarnya yang menafikan tujuan utamanya terlibat dalam vlogging ialah untuk menjadi popular.
Sementara itu bagi seorang lagi vlogger, Mohd. Shazwan Zulkapli, 25, dirinya berjinak-jinak dengan dunia vlog, sejak tahun 2010 lagi.
Menurutnya, menerusi vlog ia bukanlah hanya sebagai medium bagi seseorang mengekspresikan karya dan bakat, malah ia boleh membuat seseorang menjana pendapatan menerusinya.
"Sekarang ini, YouTube di Malaysia sudah boleh buat duit menerusi iklan yang diiklankan di saluran kita.
"Saya pun sudah berdaftar untuk terlibat dengan projek yang dipanggil YouTube Partnership itu," katanya yang bekerja dalam bidang pemasaran video di sebuah syarikat pengeluaran komik tempatan.
Menurutnya, sebanyak 49 entri video telah dimuat naik olehnya sejak terlibat dengan dunia vlog.
Vlogger yang dikenali dengan panggilan Amanwan itu lebih selesa melakukan rakaman aksinya menggunakan kamera kompak.
"Sekarang ini, saya bercadang untuk menggunakan kamera digital refleks lensa tunggal (DSLR) untuk memperoleh kualiti gambar yang lebih baik," ujarnya yang merupakan graduan dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dalam bidang rekaan dalaman.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: