|
BUNYI dentuman senada yang didengari daripada aras bawah bangunan rumah kedai tiga tingkat di Bandar Puteri, Puchong, Selangor itu memecahkan keheningan malam kawasan tersebut. Waktu sudah melewati pukul 10 malam dan kebanyakan kedai telah tamat beroperasi.
Tangga yang didaki menuju ke tingkat tiga bangunan itu mendekatkan lagi daya pendengaran kepada bunyi-bunyian tersebut. Persoalan tentang bunyi yang berkumandang sebentar tadi terjawab apabila tiba di pintu masuk sebuah studio muzik.
Secara serentak, rangkuman bunyi tadi terhenti apabila beberapa individu menyambut kedatangan tetamu ke studio tersebut.
Kata seorang daripada mereka: "Inilah rutin kami setiap hari Isnin. Bermula pada pukul 9.30 malam sehingga 12.30 tengah malam, kami akan berkumpul di studio ini untuk berlatih."
Demikian situasi mingguan yang dilalui oleh ahli kumpulan No Noise Percussion (NNP) yang memperjuangkan muzik stomp di Malaysia. Bagi mereka yang tidak tahu apakah yang dimaksudkan dengan stomp, ia merujuk kepada bunyi-bunyian yang terhasil menggunakan barangan terpakai atau harian seperti tong pelbagai jenis, peralatan dapur atau besi-besi buruk.
Tahun 2013 mencatatkan usia lima tahun NNP dalam persada muzik stomp tanah air. Biarpun masih mentah, bakat 13 ahli tetap kumpulan tersebut sememangnya boleh dibanggakan ekoran aliran muzik yang dibawa mereka kian mendapat tempat dalam kalangan generasi muda.
"Muzik stomp ini dikenali sebagai stomp selepas ia dipopularkan secara komersial oleh sebuah kumpulan dengan nama Stomp dari United Kingdom bermula pada tahun 1991. Namun sejak tahun 1940-an genre sebegini telah muncul dan ia mula diberi perhatian ketika tahun 1980-an.
"Selain nama stomp, muzik genre ini juga dikenali sebagai muzik junk, kreatif, kontemporari, genderang (percussion) atau paling mudah, muzik yang menggunakan barangan terpakai," jelas ketua kumpulan NNP, Adil Ali Ab. Halim, 28.
Pilih barang
Sambil mata melilau di dalam studio NNP, pandangan tertancap pada susunan tong sampah hitam di tepi dinding. Rak yang ditempatkan pada satu sudut studio itu juga teratur dengan susunan kotak berisi barangan kecil yang diasingkan mengikut jenis.
Kon jalan raya berwarna oren, pasu bunga dan ekzos kenderaan turut kelihatan sekali gus menimbulkan persoalan, bagaimanakah kesemua barangan itu mampu menghasilkan muzik yang menarik?
Menurut Adil, apa sahaja barangan yang boleh mengeluarkan bunyi berpotensi digunakan bagi menghasilkan muzik stomp. Paling penting, barang tersebut mampu mencipta bunyi yang bersesuaian dengan kehendak sesuatu kumpulan.
"Kumpulan stomp yang kecil boleh menggunakan barangan mudah pecah seperti botol dan kaca di dalam persembahan mereka. Bagi kumpulan yang ramai ahlinya, barangan sebegitu tidak sesuai kerana ia tidak tahan lasak dan jangka hayatnya juga tidak panjang.
"Setakat ini, tong syampu yang kami beli daripada sebuah kilang ialah barang paling tahan lasak yang kami miliki. Selain itu, tong air dan tong sampah juga kami beli dan kualiti setiap daripadanya berbeza mengikut material barang tersebut," terang Adil yang bekerja sebagai pemuzik profesional sepenuh masa.
Sebanyak 10 ahli NNP merupakan bekas pelajar Fakulti Muzik UiTM Shah Alam dan majoriti daripada mereka bekerja sebagai pemuzik profesional dan tenaga pengajar. Tiga lagi masih bergelar pelajar di fakulti yang sama.
Pada awal penubuhan NNP, Oly Fizly Othman, 26, yang juga ahli NNP memberitahu, kos penyediaan barangan tidak melebihi RM500 dan mereka banyak membelinya pada harga murah daripada kedai besi buruk atau kilang.
Tambah Oly, barangan yang diambil daripada kedai besi buruk kebiasaannya dicuba selepas dibeli dan hanya barang yang sesuai akan digunakan. Sekiranya barang yang diperlukan agak mahal, mereka pastikan ia berfungsi seperti yang dikehendaki sebelum membuat keputusan untuk membelinya.
"Pemukul tong atau dalam konsep muzik asal, pemukul dram, pula kami gunakan batang penyapu yang dipotong pendek. Selain itu, kesemua barangan dikekalkan dengan warna asal agar nilai barangan terpakai itu tidak hilang," kata Oly.
Persembahan
|
Jika diteliti profil NNP, mereka ternyata grup stomp yang paling dicari-cari di Malaysia. Mereka pernah mengiringi persembahan penyanyi nombor satu negara, Datuk Siti Nurhaliza pada Anugerah Bintang Popular 2011 dan baru-baru ini, diberi kepercayaan untuk berkongsi pentas bersama Amir Jahari pada Anugerah Juara Lagu ke-27 yang berlangsung awal Januari lalu.
Kelibat mereka dalam persembahan bersama beberapa penyanyi membuatkan penonton teruja untuk mengenali dengan lebih dekat lagi genre muzik yang dibawa NNP.
Mengelaskan konsep persembahan mereka kepada dua jenis, seorang lagi ahli NNP, Faeez Ikhwan Abdul Halim, 23, menceritakan, ada ketika mereka diperlukan bagi mengiringi muzik asal lagu seseorang penyanyi.
"Kalau persembahan korporat selalunya kami dipanggil atas nama NNP sendiri. Jadi kami bebas mencorakkan rentak persembahan menggunakan lagu-lagu kami sendiri selagi ia bertepatan dengan tema majlis.
"Kami juga perlu mencipta koreografi yang menarik agar persembahan tampak hidup dan bertenaga.
"Secara purata, kami menerima jemputan persembahan sebanyak dua hingga tiga kali sebulan tetapi jumlahnya meningkat apabila menjelang pertengahan dan hujung tahun," ujar Faeez yang memberitahu, durasi persembahan paling lama boleh mencecah 30 minit dan tempoh paling singkat adalah selama lima hingga 15 minit.
Cabaran
Menurut Adil, apabila berbicara tentang cabaran muzik stomp, dia melihat aspek itu dalam konteks positif.
Meskipun perjalanan bagi menaikkan genre tersebut di tanah air masih panjang, pertambahan kumpulan stomp tempatan secara langsung membuka ruang lebih besar kepada mereka untuk berkarya.
Adil bagamanapun menafikan tanggapan bahawa kewujudan beberapa kumpulan stomp lain di Malaysia menutup peluang NNP untuk menyinar. Tambahnya, persaingan yang timbul membuatkan mereka lebih kreatif dan bekerja keras berbanding dahulu.
"Selain itu, cabaran bagi mana-mana kumpulan stomp ketika membuat persembahan boleh timbul ketika membuat persembahan. Barang yang digunakan pecah seperti penutup tong sampah sudah menjadi kebiasaan.
"Bagaimanapun, ia tidaklah memberi efek besar kepada persembahan kerana barang yang pecah itu selalunya tidak mempengaruhi muzik utama. Persembahan perlu diteruskan," tutur Adil.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: