Thursday, February 28, 2013

REVOLUSI TOSHIBA REGZA LX830


SKRIN sesentuh menjadi satu tarikan baharu Regza LX830.


KETIKA Apple sibuk mempromosi iPad dan Samsung dengan Galaxy Tab, Toshiba juga tidak mahu ketinggalan dalam persaingan dunia komputer abad ke-21 yang boleh ditakrifkan sebagai pengkomputeran berinternet di mana-mana sahaja.
Suatu ketika dahulu, Toshiba merupakan salah satu pengeluar komputer riba yang berkualiti tinggi, setanding dengan Sony dan Fujitsu.
Bagaimanapun, namanya seakan-akan tenggelam sebaik pengkomputeran mobil membuka lembaran baharu menerusi komputer tablet.
Sebagai satu strategi untuk merevolusi dunia pengkomputeran desktop, Toshiba memperkenalkan model terbaharu keluaran mereka, Regza LX830.
Ia dikatakan mampu mewarnai semula dunia pengkomputeran desktop yang semakin pudar dan semakin hilang sentuhan.
Ini kerana, lambakan telefon pintar dan tablet mampu melakukan pelbagai tugasan asas yang lazimnya dilakukan oleh sebuah komputer desktop atau komputer riba.
Regza LX830 merupakan komputer semua dalam satu (AIO) yang menggabungkan komputer desktop dengan televisyen (TV) berdefinisi tinggi (HD).

TOSHIBA menampilkan Regza LX830 dalam memeriahkan kembali dunia pengkomputeran hari ini.


Dikuasakan dengan unit pemproses Intel Core i5-3210M dan memori DDR bersaiz 4GB dengan kelajuan 1,600Mhz, sistem itu menggabungkan skrin dan komputer di dalam satu unit. Ia merupakan kombinasi yang ideal untuk pengguna rumah mahupun pejabat.
Apa yang menarik tentang komputer itu ialah selain pilihan peranti input biasa seperti papan kekunci dan tetikus, pengguna juga boleh menggunakan skrin sesentuh sama seperti sebuah tablet.
Skrin LED TFT dengan resolusi 1920 x 1080 berdefinisi tinggi dengan ciri Clear Superview bersaiz 23 inci dengan sokongan skrin sesentuh tentunya mampu memberikan pengguna kepuasan maksimum tidak kira sama ada sedang membaca, menaip, menonton video mahupun bermain permainan komputer.
Paparan yang lebar tidak menjanjikan imej menarik sekiranya unit pemproses grafik atau GPU yang digunakan bukan daripada jenis yang berprestasi tinggi.
Atas sebab itu, Toshiba mengambil keputusan melengkapkan model Regza itu dengan GPU NVIDIA GeForce GT 630M yang terbukti mampu menghasilkan grafik yang berkualiti tinggi dan menarik.
Dari sudut storan pula, Regza LX830 dilengkapkan dengan cakera keras berkapasiti 1TB. Ini tentunya penting kerana kebanyakan fail video serta muzik yang berkualiti tinggi hari ini mempunyai saiz yang agak besar dan pastinya memerlukan ruang storan yang besar untuk dimuatkan.
KEMUNCULAN tablet menjadi satu cabaran besar kepada pengeluar komputer riba dan desktop seperti Toshiba.


Selain itu, komputer tersebut juga menawarkan sistem audio 16-bit stereo dengan teknologi SRS Premium Sound 3D dan pembesar suara stereo Onkyo yang mampu memberikan kepuasan audio, khususnya ketika menonton video atau bermain permainan komputer.
Dengan berat tujuh kilogram, komputer AIO itu jelas menunjukkan yang ia tidak mempunyai ciri mobiliti seperti tablet yang boleh dibawa ke mana sahaja. Namun, ia menawarkan spesifikasi agak tinggi untuk kemudahan pengguna.
Antara ciri lain yang terdapat pada komputer itu ialah port USB 2.0, USB 3.0, TV Tuner, HDMI, ethernet, headphone, mikrofon dan slot pembaca kad memori.
Satu-satunya perkara yang penulis rasakan perlu diperbaiki oleh Toshiba adalah dengan menawarkan sistem operasi terkini Windows 8 dan bukannya Windows 7 kepada pengguna.
Ini kerana, Windows 8 sememangnya dibangunkan dengan ciri hibrid iaitu prestasi sebuah komputer desktop dengan ciri peranti input sebuah tablet.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: