KUALA LUMPUR - Kementerian Pertahanan memandang berat isu
penggunaan pangkat oleh pegawai Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang
bersara tanpa mendapat keizinan Majlis Angkatan Tentera (MAT).
Ketua Setiausaha kementerian itu, Datuk Seri Ismail Ahmad berkata
penggunaan pangkat selepas bersara adalah satu kesalahan dan pegawai
yang ingkar dengan arahan itu boleh dikenakan tindakan sewajarnya.
"Kementerian memandang serius perkara ini. Mereka tidak boleh
sewenang-wenangnya menggunakan semula pangkat (yang digunakan semasa)
berkhidmat dengan ATM sedangkan mereka tidak dibenarkan oleh pemerintah
tertinggi ATM iaitu Yang di-Pertuan Agong," katanya kepada pemberita
selepas melawat Hari Terbuka Kementerian Pertahanan di The Curve,
Damansara di sini semalam.
Unit Komunikasi Korporat kementerian itu kelmarin mengeluarkan
kenyataan yang antara lain menyebut proses pemakaian gelaran pangkat
terkandung dalam Perintah Majlis Angkatan Tentera (PMAT) yang menetapkan
syarat yang perlu ada pada seseorang pegawai sebelum layak menggunakan
gelaran itu.
"Ada yang telah bersara, kalau dia dibenarkan oleh MAT untuk gunakan
pangkat berkenaan, mereka boleh gunakan pangkat itu, kalau telah
ditamatkan, dan tak dibenarkan guna pangkat tu, seharusnya tak gunakan.
Memang ada akta di bawah MAT. Kebanyakan pesara wajib dibenarkan
(menggunakan gelaran pangkat)," katanya.
Ismail berkata, pada masa ini terdapat beberapa pegawai bersara yang
menggunakan gelaran pangkat itu setelah mendapat keizinan MAT.
"Memang ada yang dibenarkan macam Kolonel bersara, Brig. Jen.
bersara, tetapi bukan sewenang-wenangnya sebab ada yang telah
dilucutkan. Secara puratanya tidak banyak yang boleh gunakan," katanya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: