Ali, 23, berkata, perasaan itu wujud kerana dia sedar saingan di peringkat antarabangsa sangat sengit namun menganggap tawaran diberikan satu peluang baik untuk karier lakonannya.
"Siapa tidak mahu dikenali di peringkat lebih tinggi namun pada masa sama kita perlu sedar diri terutama tentang persaingan yang cukup hebat di sana," katanya kepada mStar Online.
Ali memberitahu dia baru sahaja selesai menjalani penggambaran sebuah filem di Hong Kong berjudul Detective A di samping pelakon terkenal Aaron Kwok dan bakal muncul dalam beberapa lain karya lagi.
"Walaupun bukan peranan utama namun itu adalah pengalaman yang besar untuk pelakon baru seperti saya," jelasnya.
Dalam pada itu, Ali berkata, faktor dia terpilih untuk membintangi filem Cina disebabkan kebolehannya berbahasa Mandarin selain dia boleh melakukan aksi ngeri sendiri.
"Setakat ini semua aksi berbahaya saya lakukan sendiri kerana mempunyai asas dan teknik sukan wushu yang dipelajari sebelum ini. Kemahiran itu telah membuka ruang kepada saya untuk melebarkan sayap sebagai pelakon di luar negara," katanya.
Bagaimanapun kata Ali, jalan yang ditempuh untuk mendapat tawaran berlakon di luar negara bukan mudah kerana terpaksa melalui pelbagai uji bakat sebelum diterima.
Bercakap mengenai pengalaman lakonan, Ali berkata, dia telah mula bergelar pelakon sejak berusia 15 tahun dan kebanyakan drama yang dibintanginya untuk siaran RTM.
"Mungkin banyak drama lakonan saya ditayangkan RTM menyebabkan ramai tidak menyedari kehadiran saya sebagai pelakon," jelasnya.
Sementara itu, Ali berkata, dia mahu mencipta nama di negara sendiri dan berharap dapat berlakon dalam filem dan drama arahan hebat pengarah terkenal di negara ini.
"Kerat 14 adalah filem pertama saya dan berharap ia akan membuka lebih banyak ruang kepada saya sebagai pendatang baru," jelasnya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: