Monday, February 25, 2013

Liku-liku menjadi figura masyhur



KETIGA-TIGA personaliti yang menghiasi muka depan Stailo kali ini bersama jurugambar fesyen terkemuka, Nigel Baker, bukan nama asing dalam dunia peragaan antarabangsa. Kelibat dan pesona mereka sering kelihatan di pentas pertunjukan fesyen dan terpampang dalam majalah-majalah fesyen ternama.
Naomi Campbell, Karolina Kurkova dan Coco Rocha mempunyai keistimewaan dan kelebihan tersendiri yang menjadi signatur peribadi dalam dunia yang penuh glamor. Keunggulan mereka menjadi rebutan dan idaman para pereka fesyen juga jurufoto fesyen antarabangsa.
Atas kekuatan tersebut, mereka digabungkan dalam satu program realiti terbaharu untuk mencari pelapis muda dalam dunia peragaan untuk dijadikan sensasi terkini industri fesyen.
Perhubungan antara fesyen dan legenda pentas peragaan itu tidak boleh dipisahkan kerana wujud pertalian kukuh yang kekal dalam lipatan sejarah.
Ikon fesyen dan supermodel, Naomi Campbell, sudah memateri nama sejak 26 tahun lalu yang penuh dengan suka dan duka.
Memulakan karier pada usia seawal tujuh tahun apabila muncul dalam video muzik Bob Marley menerusi lagu Is This Love, wajah eksotik Naomi mula dikesan oleh seorang ejen bakat, Beth Boldt yang membawanya ke pentas peragaan.
Bermula detik itu, Naomi terus mendominasi industri fesyen bersama-sama enam lagi model yang digelar sebagai The Big Six.
Frasa supermodel telah diberikan kepada Christy Turlington, Linda Evangelista, Cindy Crawford, Tatjana Patitz, Kate Moss dan Naomi kerana mengungguli muka depan majalah dan pentas peragaan. Mereka juga boleh menentukan dengan siapa mereka mahu bekerja.
Tahun 80-an hingga 90-an merupakan saat kegemilangan para model kerana kuasa mereka melangkaui keanggunan selebriti filem dan nyanyian.
Mereka menguasai televisyen, filem, video muzik dan majalah seluruh dunia melalui pesona kejelitaan yang dianugerahkan.
Kurang bertuah
Walaupun berada di puncak kejayaan, Naomi kurang bertuah seperti rakan-rakannya yang lain. Dia berdepan dengan diskriminasi segelintir penggiat fesyen yang meminggirkan model berkulit hitam.
"Saya mungkin antara model terkenal dunia, namun saya tidak mempunyai pendapatan yang tinggi seperti model lain," ujarnya kepada majalah Time sekitar tahun 2001. Dia hanya mendapat kontrak kosmetik kecantikan, Cosmopolitan Cosmetic sekitar tahun 1999.
Kemunculannya sebagai model kulit hitam pertama menghiasi kulit depan majalah Vogue edisi Perancis banyak dibantu oleh pereka busana, Yves St. Laurent (YSL).
Pereka berasal dari Perancis itu mengancam untuk menarik balik iklan-iklan jenamanya dalam majalah tersebut jika berterusan menolak kehadiran model kulit hitam sebagai penghias muka depan.
Selain itu, dua rakan baiknya yang digelar The Trinity iaitu Christy Turlington dan Linda Evangelista menolak untuk muncul dalam mana-mana pertunjukan fesyen jika penganjur tidak melibatkan Naomi.

NAOMI berjaya mencipta legasi tersendiri meskipun dihimpit pelbagai kontroversi.


"Tidak dinafikan, Amerika Syarikat mempunyai presiden berkulit hitam. Namun, sebagai wanita kulit hitam, saya masih lagi menerima prejudis dalam industri fesyen. Saya perlu bekerja keras untuk menerima layanan yang sama rata seperti model lain," luahnya.
Selepas hampir dua dekad dalam bidang peragaan, Naomi masih aktif melangkah di pentas peragaan dan terus mendapat permintaan majalah fesyen.
Model kelahiran Streatham, selatan London itu menjadi kegemaran pereka-pereka antarabangsa seperti Dior, Roberto Cavalli, Zac Posen dan ramai lagi.
Tubuh ideal
Sementara itu, pengarang majalah Vogue edisi Amerika menggelarkan seorang model kelahiran Decin, Czechoslovakia sebagai The Next Supermodel.
Jurugambar terkenal, Mario Testino pula mengatakan bahawa wajah dan tubuh badannya sesuai untuk sebarang sesi fotografi. Itulah aset Karolina Kurkova sebagai antara model terkenal dengan pendapatan tinggi.
Karolina pernah mendapat pengiktirafan Model Of The Year 2002 atas kesungguhan bekerja berterusan selama 23 minggu. Anugerah tersebut menjadikan Karolina sebagai model termuda menerima anugerah tertinggi di acara Anugerah Fesyen VH1/Vogue.
Kemunculan Karolina sebagai penghias muka depan majalah Vogue Amerika edisi Februari 2001 membuka peluang kepadanya untuk lebih dikenali dan meletakkan nama di peta dunia fesyen.
Pada usia yang baru menginjak 17 tahun, dia mula mendapat kontrak bersama YSL seterusnya menjadi model utama dalam lembaran-lembaran kempen rumah fesyen terkemuka.
Ia termasuklah jenama seperti Valentino, Louis Vuitton, John Galliano, Chanel dan Christian Dior yang meningkatkan lagi profil Karolina.
Meskipun mempunyai raut wajah yang jelita dan tubuh idaman wanita sehingga mendapat jolokan antara wanita terseksi di dunia, Karolina pernah berdepan dengan kritikan mengenai bentuk badan yang dikatakan terlalu gemuk untuk seorang model.
Karolina dilihat mempunyai lemak berlebihan dan selulit ketika melepasi pentas peragaan baju renang di Minggu Fesyen Sao Paulo, Brazil.
Mengulas peristiwa memalukan itu, dia menyatakan mengalami penyakit hipotiroidisme iaitu pengurangan aktiviti kelenjar tiroid daripada aras normal. Penyakit itu menyebabkan berat badan Karolina meningkat secara mendadak.
Pengajaran

DARI kiri: Linda Evangelista, Cindy Crawford, Naomi dan Christy Turlington pada pertunjukan fesyen musim luruh/sejuk Versace tahun 1991 di Milan, Itali.


Isu berat badan sudah menjadi masalah besar dalam dunia peragaan. Pada tahun 2006, model berasal dari Brazil, Ana Carolina Reston, 21, mati akibat penyakit anoreksia kerana tabiat makan yang tidak sempurna.
Ana mengamalkan diet teruk dengan hanya mengambil buah epal dan tomato selama beberapa tahun. Berikutan kes tersebut, kerajaan di negara Eropah membuat undang-undang untuk menghalang penggunaan model yang terlalu kurus di pentas peragaan.
Situasi tersebut mendapat perhatian model kelahiran Toronto, Kanada, Coco Rocha, 25. Dia lantang menyuarakan pandangan mengenai isu berat badan yang membelenggu industri fesyen sejak sekian lama.
Coco menzahirkan pandangan itu melalui surat yang dihantar ke akhbar New York Times. Dia menyatakan tekanan yang dilalui oleh para model muda memaksa mereka untuk tampil dengan saiz kosong bagi mendapat peluang kerjaya yang lebih luas.
"Saya pernah disuruh untuk menguruskan badan seperti seorang anoreksik kerana ia menjadi ikutan pada tahun itu.
"Dalam usia 21 tahun, ketinggian enam kaki dan saiz sepuluh kali lebih kecil daripada wanita biasa, saya masih dikatakan gemuk oleh industri fesyen," luah Coco dalam satu temu bual.
Pada masa sama, dia juga mencadangkan supaya remaja bawah umur seharusnya tidak memasuki industri fesyen kerana terlalu muda.
"Kalau ada yang berminat, mereka perlu ditemani oleh ejen atau wakil mereka ketika mengikuti penggambaran atau pertunjukan fesyen," tambah Coco yang memasuki dunia model pada usia 16 tahun.
Wajah unik
Coco atau nama asalnya Mikhaila Rocha menjadi sensasi dalam arena fesyen ketika kehangatan model berwajah seperti Barbie Doll. Pada tahun yang sama, model seperti Anja Rubik, Gemma Ward dan Jessica Stam turut mendapat perhatian ramai kerana rias wajah mereka.

NAOMI menjadi model kulit hitam pertama yang menghiasi kulit depan majalah Vogue edisi Perancis.


Selepas muncul dalam ruangan editorial fesyen bersama Anja Rubik dan Amanda Moore, kerjaya Coco terus melonjak dan menjadi sebutan ramai.
Coco mengakui, momen paling meninggalkan kesan dalam kerjayanya adalah ketika di pentas peragaan Jean Paul Gaultier. Dia yang menjadi model pembuka rumah fesyen Gaultier musim Luruh 2007 itu, telah menari tarian tradisi Ireland sehingga ke hujung pentas. Majalah Vogue Amerika mengatakan peristiwa itu sebagai Coco Moment, membuatkan industri fesyen merindui saat kegemilangan para supermodel.
Isteri kepada pereka dalaman, James Conran ini dikenali dengan gaya eksentrik ketika memperagakan busana pereka-pereka ternama. Dia menjadikan riak wajah yang aneh dan kekok berubah kepada gaya fesyen bercita rasa tinggi.
Walaupun Coco kini kurang mengikuti pertunjukan minggu fesyen, dia masih mendapat permintaan daripada rakan-rakan pereka seperti Zac Posen dan muncul dalam beberapa kempen fesyen seperti Longchamp, Banana Republik dan Diesel.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: