Sunday, February 24, 2013
Lelaki berlari ibarat monyet
LELAKI berusia 30 tahun ini cukup unik kerana dia seorang peminat setia monyet sehingga sanggup berlari seperti seekor monyet.
Obses lelaki itu berbaloi kerana dia kini memegang rekod Guinness World Records kerana mampu berlari dengan pantas menggunakan kedua-dua tangan dan kakinya.
"Anda tahu, wajah dan bentuk badan saya sekarang seperti seekor monyet. Sejak remaja lagi ramai yang mengejek saya dengan memanggil 'monyet' setiap kali berselisih dengan mereka di jalanan.
"Tetapi, saya tidak pernah ambil kisah," terang Ito Kenichi di apartmen miliknya sambil duduk bersebelahan dengan poster besar seekor cimpanzi.
Inspirasinya terhadap monyet berputik apabila dia melihat monyet berlari dengan pantas di internet dan zoo.
"Sejak itu, saya tidak berpaling lagi dengan berlatih berlari setiap hari selama lebih lapan tahun menggunakan kedua-dua belah kaki dan tangan," katanya.
Kelengkapan yang dipakai lelaki eksentrik ini cukup mudah. Ito hanya berseluar pendek dan baju-T. Selain itu, dia memakai sarung tangan serta kasut khas.
"Kini, saya boleh berlari di bawah 100 saat untuk jarak 100 meter," tambah Ito.
Lelaki ini menjadikan lariannya sebagai pendapatan sampingan. Biasanya dia akan berlatih dengan haiwan lain milik jirannya seperti kucing dan anjing.
Dia mampu menewaskan kucing tetapi tidak anjing.
Ito percaya apa yang dilakukannya adalah sejenis sukan yang diharapkan akan dipertandingkan dalam acara Sukan Olimpik pada masa hadapan.
"Setakat ini, tiada acara sukan larian dalam Sukan Olimpik menggunakan kedua-dua tangan dan kaki tetapi saya berharap ia dapat direalisasikan 500 tahun akan datang," ujarnya.
Namun, tindakannya itu tidak disenangi oleh segelintir pihak.
"Jika berlari di jalanan saya akan ditahan oleh pihak polis. Akhirnya saya berlatih di gunung selama sebulan. Ia ibarat kem latihan individu berlari menggunakan kedua-dua belah tangan dan kaki.
"Tetapi, pada hari pertama, seorang pemburu hampir menembak saya menggunakan senapang patah kerana menyangka beruang liar," katanya.
Ito belajar berlari dengan menggunakan semua kaki dan tangannya itu sejak berumur sembilan tahun.
Dia meniru larian spesies monyet dari Afrika, Erythrocebus patas untuk melakukan perbuatan tersebut.
Dia memecah rekod dunia dengan kepantasan 17.47 saat untuk larian 100 meter.
"Saya berharap dapat memecahkan rekod dunia pelari sensasi Jamaica, Usain Bolt dengan kepantasan bagi 100 meter hanya 9.58 saat," cerita penjaga bangunan di Tokyo, Jepun itu.
Sebagai medium latihan Ito sering mencuci lantai bangunan itu dengan kaedah sama latihannya.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: