Rosnah, 54, berkata, dia dimasukkan ke HKL pada 18 Februari lalu selepas mengalami kesakitan yang amat sangat sehingga tidak mampu bergerak.
“Semasa kejadian saya terpaksa menghubungi ambulans untuk mengambil saya di Taman Melati (Kuala Lumpur) kerana pada ketika itu saya sudah tidak boleh berjalan.
“Apabila melalui beberapa proses imbasan oleh pihak HKL, saya dimaklumkan ada kesan patah pada bahagian paha saya yang menyebabkan sakit luar biasa sehingga ke pinggul,” katanya kepada mStar Online di sini pada Selasa.
Jelas Rosnah lagi, pada Khamis lalu doktor telah melakukan pembedahan memasukkan besi pada bahagian pahanya dan ketika ini dia tidak boleh berjalan sementara menanti penyakit itu sembuh.
Kata Rosnah, dia pada mulanya mahu melakukan imbasan pada tiga bulan lalu tetapi sengaja menangguhkannya kerana masih lagi boleh berjalan dengan bantuan tongkat sehinggalah keadaan menjadi semakin serius.
“Buat masa ini saya masih lagi ditahan di wad dan keadaan saya sudah stabil. Saya menggunakan kerusi roda untuk bergerak dengan bantuan dua orang anak yang menjaga saya secara bergilir-gilir,” katanya yang juga terpaksa memakai lampin buat sementara waktu.
Bagaimanapun pemenang Pelakon Pembantu Terbaik Festival Filem Malaysia pada tahun 1986 ini bersyukur kerana penyakit itu tidak begitu serius selain mempunyai anak yang sanggup menjaganya ketika sakit.
“Saya rasa beruntung kerana ada anak yang dapat menjaga saya selain saudara-mara juga ramai datang melawat. Cuma rakan-rakan artis sahaja yang tidak tahu kerana saya tidak memaklumkan kepada mereka,” katanya.
Sepanjang penglibatannya dalam dunia seni, Rosnah telah berlakon beberapa buah filem antaranya Hantu Siang (1986), Di Ambang Kasih (1984), Aku Yang Berhormat (1983), Esok Untuk Siapa (1982) dan Ribut Di Hujung Senja (1982).
Hasil perkahwinannya dengan penyanyi dangdut Iwan, beliau dikurniakan tiga orang anak iaitu Wan Ramada Agus Putra, 24, Wan Shamira Puteri Octavia, 22, dan Wan Shahera Puteri Apreena, 20.
Wan Ramada sedang melanjutkan pelajaran dalam bidang seni bina di Australia manakala anak bongsunya pula belajar di sebuah kolej swasta Kuala Lumpur.
Rosnah turut memiliki seorang cucu yang berusia setahun hasil perkahwinan anak keduanya.
Beliau juga sudah berpisah dengan seorang usahawan iaitu perkahwinan keduanya kira-kira dua tahun lalu.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: