Sunday, February 24, 2013

Ikan laga boleh dipos

IKAN laga dikatakan mempunyai jangka hayat sehingga tujuh tahun.


TIDAK kiralah sama ada membesar di desa mahupun di kawasan kota, membela ikan laga mungkin menjadi antara memori zaman kanak-kanak paling unik buat sebahagian daripada kita.
Kalau berduit lebih, ikan kecil pelbagai warna berekor kembang itu boleh dibeli di kedai dengan harga antara RM2 hingga RM10 seekor.
Namun, bagi anak-anak desa pula, menangguk ikan laga di tali air merupakan aktiviti wajib setiap kali tiba cuti sekolah.
Setelah ditangkap, ikan yang agak culas itu akan dipamerkan kepada rakan-rakan di dalam botol kicap berwarna jernih. Penampilan ikan itu seolah-olah sang pahlawan yang hidup bersendirian menarik minat kanak-kanak untuk membelanya.
Tidak hanya untuk pameran, ikan sebesar kelingking itu akan turut diuji kejantanannya apabila dilagakan dengan ikan milik kawan-kawan.
Hal itu antara kenangan zaman kecil yang turut dilalui oleh seorang peniaga yang kini menetap di Kuala Lumpur, Yazir Ahmad Sapri, 44. Pada suatu ketika dahulu, dia bersama rakan-rakan sekampung di Beruas, Perak akan turun ke sawah semata-mata mahu menangkap ikan laga.

IKAN laga yang mencapai usia dua bulan setengah mula menunjukkan keunikan fizikal seperti warna dan ekor.


"Rupa ikan laga liar berbeza dengan yang komersial. Ia tidaklah secantik ikan laga yang banyak dijual di kedai kerana ekornya biasa sahaja. Cuma warnanya biru gelap dan merah gelap nampak cantik.
"Kalau ternampak buih-buih halus berdekatan daun-daun yang terapung di dalam air yang tidak mengalir, itu tandanya ikan tersebut sedang menyorok di bawahnya. Hanya perlu tangkap dengan menggunakan penangguk sahaja," cerita Yazir sambil ketawa kecil tatkala mengenangkan situasi yang berlaku lebih 30 tahun lalu itu.
Ketika ini dia masih membela ikan laga sebagai mengenang kembali nostalgia di zaman kanak-kanak. Bahkan, kata Yazir, melihat ikan-ikan tersebut berenang, mampu menenangkan fikirannya setelah penat bekerja.
Biarpun masa berlalu, namun minat memelihara ikan laga tetap menjadi pilihan kanak-kanak pada zaman sekarang. Pelbagai jenis ikan hiasan yang dijual sedikitpun tidak mengganggu pasaran ikan laga, bahkan peminat baharu semakin bertambah dek fizikalnya yang unik sementelah mudah dipelihara.
"Ikan laga bukan seperti ikan hiasan lain kerena ia memiliki sifat yang menonjol.
"Kalau ikan-ikan lain sekadar berenang-renang dalam akuarium seolah tiada perasaan, tetapi ikan laga nampak seakan bijak. Ekor dan siripnya akan berkembang apabila berdepan ikan lain. Ia nampak cerdik dan berketerampilan," kata seorang peminat cilik, Mohd. Razrin Razali, 12.
Jelas Mohd. Razrin, biarpun perlu peka terhadap kualiti airnya, namun untuk memelihara ikan itu tidaklah begitu leceh kerana ia mudah di jaga. Untuk membela ikan itu tidak memerlukan alat bantuan oksigen mahupun hiasan akuarium yang sarat.

SETIAP kali melihat ikan laga, Yazir (kanan) pasti terkenang momen zaman kanak-kanaknya.


Yazir dan Mohd. Razrin, antara peminat ikan laga daripada dua generasi berbeza yang sering berkunjung ke kediaman seorang pembiak ikan laga, Mohd. Radzy Abd. Aziz di Taman Setapak Jaya, Wangsa Maju, Kuala Lumpur.
Mohd. Radzy bukan sekadar menjalankan perniagaan ikan tersebut sebagai punca pendapatan, bahkan melakukan kerja itu kerana minat yang mendalam.
Menurut lelaki yang berusia 37 tahun itu, dia mula membiakkan ikan tersebut secara besar-besaran sejak empat tahun lalu semata-mata untuk mendapatkan generasi ikan laga yang terbaik.
"Sejak itu saya melepaskan jawatan sebagai jurulatih renang skuad kebangsaan untuk memberi perhatian kepada usaha membiak ikan laga. Saya mahu mencari ikan laga yang terbaik yang boleh menjadi juara apabila menyertai pertandingan.
"Justeru pada setiap hari akan ada proses pembiakan kerana ia boleh membiak sepanjang tahun. Cuma kadangkala faktor cuaca seperti musim hujan memberi kesan kepada tahap kesuburan ikan," katanya yang memiliki kira-kira 7,000 ekor ikan laga dalam pelbagai peringkat usia.

MENANGKAP ikan laga di sawah padi dan lopak air merupakan antara aktiviti menyeronokkan buat kanak-kanak di desa. - Gambar hiasan


Tambah lelaki yang berpengalaman melatih perenang di Majlis Sukan Negara (MSN) selama 12 tahun itu, dia tidak menjual sewenang-wenangnya anak ikan laga, sebaliknya menunggu usia yang paling sesuai.
"Saya hanya menjual ikan yang sudah berusia lebih daripada 75 hari kerana kecantikannya hanya dapat dinilai ketika usia tersebut. Harganya pula berbeza iaitu antara RM5 hingga RM200 mengikut tahap kecantikannya.
"Kalau memiliki ciri-ciri istimewa, saya tidak akan menjualnya kerana ia bakal menjadi ikan kesayangan saya bagi menyertai pertandingan," katanya.
Jelas Mohd. Radzy, biarpun terdapat turun naik harga ikan tersebut di pasaran, namun populariti ikan tersebut tidak pernah jatuh terutamanya apabila muncul spesies baharu ikan hiasan.
"Ikan laga tetap popular hingga kini biarpun beberapa ketika dahulu pernah tenggelam seketika apabila spesies ikan flower horn mula menjadi bualan ramai.
"Tetapi selepas populariti ikan flower horn merudum sekitar tahun 2003, ikan laga kembali mendapat permintaan. Boleh dikatakan, popularitinya tidak pernah jatuh," kata Mohd Radzy.
Sekiranya stok ikan laganya di ibu kota tidak mencukupi, Mohd. Radzy akan memperoleh ikan tersebut daripada pembekal di Bayan Lepas, Pulau Pinang.
"Selalunya 200 ekor ikan laga akan dipos dari pulau pinang menerusi khidmat kurier. Sebulan sekali pasti akan ada kiriman dari sana kerana bapa saudara saya sendiri turut mengusahakan pembiakan ikan laga," ujarnya sambil menjelaskan bahawa ikan tersebut akan dibungkus rapi di dalam kotak polisterin agar airnya tidak tertumpah.
Dia yang bercadang memiliki ladang pembiakan ikan hiasan sendiri itu menjelaskan bahawa ikan laga yang dibiakkannya dijual pada harga antara RM5 hingga RM150 seekor mengikut jenis, warna dan kecantikan keseluruhan.
Dalam pada itu, tinjauan Jurnal di laman membeli-belah dalam talian mendapati bahawa internet turut menjadi medium niaga buat peminat ikan laga.
Biarpun sukar didapati di kedai-kedai ikan hiasan biasa, peminat ikan laga boleh mendapatkan ikan tersebut dengan lebih mudah di laman sosial itu. Ia dijual antara harga RM5 hingga RM150. Selain itu terdapat pengusaha ikan laga yang menjualnya menerusi laman web dan laman sosial peribadi.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: