Sunday, February 24, 2013

BI bakal jadi subjek wajib lulus SPM


MUHYIDDIN (kiri) ketika hadir pada Himpunan Guru Muda 1Malaysia
di Kota Kinabalu semalam.


KOTA KINABALU – Kerajaan sedia mengkaji untuk menjadikan mata pelajaran Bahasa Inggeris (BI) sebagai mata pelajaran wajib lulus di peringkat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, cadangan itu adalah untuk melahirkan lebih ramai modal insan yang mampu berfikir di luar kerangka.
“Perancangan ini adalah antara yang terkandung dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025 seperti mana perancangan kita untuk memperkasakan dua lagi mata pelajaran teras iaitu Matematik dan Sains,” katanya dalam ucapan pada Himpunan Guru Muda 1Malaysia di sini semalam.
Turut hadir Ketua Menteri, Datuk Seri Musa Aman bersama-sama 5,000 guru muda dari Zon Wilayah Sabah dan Labuan.
Beliau yang juga Menteri Pelajaran menambah, kerajaan berusaha keras untuk memastikan modal insan yang dilahirkan kelak mampu bersaing dengan negara-negara maju menjelang tahun 2020.
“Sekiranya semua pihak sudah bersedia termasuk para pelajar, maka cadangan untuk mewajibkan setiap pelajar lulus Bahasa Inggeris dalam peperiksaan SPM akan dilaksanakan,” ujarnya.
Pada majlis berkenaan, Muhyiddin turut melahirkan penghargaan kepada guru-guru muda di Sabah dan Sarawak yang cekal dalam menjalankan tanggungjawab mendidik anak bangsa.
Katanya, situasi yang dialami kumpulan guru-guru ini seperti mengharungi kepayahan ke sekolah dengan menyeberangi sungai, berjalan kaki dan sebagainya adalah satu pengorbanan yang besar.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: