|
KEADAAN gigi Azlan Ahmad, 27, sangat kronik dua tahun lalu. Dia menghadapi masalah gigi berlapis, kesesakan teruk (severe crowding) dan mempunyai gigi yang tertanam dalam gusi. Itu cerita lama. Hari ini, giginya tersusun rapi cuma perlu memakai pemegang (retainer) setiap malam selepas menggunakan pendakap gigi.
Akui Azlan, persediaan untuk memasang pendakap tersebut amat memeritkan diikuti dengan saat-saat awal pengunaannya. Namun, dia tidak mengalami sebarang kesakitan yang teruk sepanjang memakai pendakap gigi.
"Cuma, berasa ngilu setiap kali mahu melagakan gigi atas dan bawah. Itu pun berlaku hanya pada sehari selepas rawatan setiap bulan bagi mengetatkan gigi," terangnya yang berjumpa doktor setiap dua hingga tiga minggu sekali dengan mengambil masa antara lima hingga 10 minit sahaja.
Rasa sakit melampau yang sering digembar-gemburkan orang ramai sewaktu memakai pendakap gigi juga tidak dirasai oleh Nordiyana Abdul Aziz, 23, dari Subang Jaya, Selangor.
Dia memakai pendakap gigi sebanyak dua kali kerana kelalaian tidak memakai retainer sebelum ini. Kali pertama dia memakai pendakap gigi ketika berumur 18 tahun, kini dia memakainya buat kali kedua.
Menurut Nordiyana, memakai pendakap gigi sama seperti menjalani kehidupan biasa, cuma masalah yang kerap dihadapi ialah ulser dalam mulut.
Jaga penampilan
Namun, itu tidak menjadi masalah kerana doktor membekalkan sejenis lilin khas untuk disapu pada bahagian logam pendakap.
"Apabila rasa-rasa sakit akibat ulser mula terasa, saya cepat-cepat sapu lilin," katanya ketika dihubungi. Nordiyana yang bekerja dalam bidang khidmat pelanggan itu mempunyai masalah rahang dengan bahagian atasnya menjurus ke bentuk huruf V. Selepas rawatan, ia dibaiki menjadi bentuk huruf U.
"Tugas saya memerlukan saya menjaga penampilan kerana ia mempengaruhi imej syarikat tempat saya bekerja juga," ungkap Nordiyana sambil tersenyum melihatkan barisan giginya.
Sementara itu, Azlan mendapatkan rawatan untuk pendakap gigi dengan pakar ortodontik dengan jumlah kos keseluruhan rawatan gigi sekitar RM7,000.
Sepanjang dua tahun, Azlan perlu membawa ke mana-mana sebatang berus kecil berbentuk tirus untuk membersihkan bahagian mulut dan pendakap setiap kali selepas makan.
"Berus ini direka untuk membersihkan sisa-sisa makanan yang terlekat pada pendakap. Rutin pembersihan mulut lain seperti berus gigi pada waktu pagi dan sebelum tidur dilakukan seperti biasa," terangnya sambil menyifatkan pendakap gigi menjadikan dia lebih teliti dalam menjaga kesihatan mulut.
|
|
Dari segi pemakanan, fungsi giginya tidak boleh menggigit makanan dan hanya boleh mengunyah, namun itu bukan masalah kerana bahan makanan yang lembut seperti buah boleh dipotong.
Lelaki yang menetap di Ampang, Selangor itu mempunyai pilihan rawatan penanaman gigi secara kekal tetapi kerana kosnya agak mahal, jadi pendakap gigi merupakan pilihan yang sesuai.
"Doktor menyarankan supaya memakai pendakap gigi sejak sekolah. Bukan setakat untuk penampilan tetapi ia boleh memberi kesan pada hidung," katanya yang bekerja sebagai pegawai promosi.
Siti Azliyana Azmi, 23, memakai pendakap gigi kerana mahu meningkatkan keyakinan diri. Pada awalnya, dia hanya mahu membetulkan bahagian bawah gigi tetapi atas nasihat doktor, dia memakai pendakap pada kedua-dua bahagian atas dan bawah gigi.
Dia yang hanya mahu dikenali sebagai Nana, bekerja sebagai eksekutif media sosial dan merupakan seorang wanita yang pandai bergaya serta mempunyai perwatakan mesra.
"Saya percaya dengan membetulkan barisan gigi, saya menjadi lebih yakin terutamanya apabila berjumpa dan senyum kepada orang ramai," katanya yang mengikut perancangan bakal membuka pendakap logam yang dipakainya pada pertengahan 2013.
Kehendak individu
Sementara itu, Pakar Ortodontik Pusat Perubatan Prince Court, Dr. Mumtaj Nisah Abd Rahim berkata, pemakaian pendakap gigi bergantung kepada keperluan kosmetik dan kehendak individu.
Selain keperluan kosmetik dan penampilan, individu yang disarankan supaya memakai pendakap gigi ialah mereka yang mempunyai gigitan yang bersilang. Ia boleh menyebabkan seseorang itu mempunyai fungsi gigitan yang tidak sempurna.
"Kunyahan yang bermasalah boleh menyebabkan trauma kepada struktur gigi dan gusi jika dibiarkan dalam satu tempoh yang panjang. Ini membawa kepada kerosakan gigi dan boleh menyebabkan kehilangan gigi jika tidak dirawat.
"Individu yang mempunyai masalah fungsi gigitan juga boleh menimbulkan kesakitan pada sendi rahang mulut, temporomandibular toint (TMJ)," katanya ketika ditemui di Pusat Perubatan Prince Court, Kuala Lumpur baru-baru ini.
Jika seseorang itu mempunyai kesesakan pada susunan gigi seperti gigi berlapis-lapis yang teruk, ia boleh menyebabkan kesukaran menjaga kebersihan gigi dan mulut.
Ini menimbulkan pelbagai masalah lain seperti karies dan masalah gusi. "Banyak masalah kesihatan mulut bermula apabila individu mengalami masalah dalam mengekalkan kebersihan gigi pada tahap optimum," ujarnya.
Menyusun gigi
Rawatan pendakap gigi juga merupakan suatu kehendak dan bersifat kosmetik. Pada era moden ini, kecantikan gigi telah menjadi aspek penting dalam penampilan seseorang.
Malah, ia boleh mempengaruhi aspek psikososial seseorang dengan pengaruh persekitaran dan budaya.
Pendakap gigi juga dapat membantu dalam rawatan surgeri rahang dan muka (Orthognathic Surgery) dengan menyusun gigi terlebih dulu sebelum rawatan dilakukan.
Situasi tersebut berlaku apabila pesakit mempunyai struktur rahang yang tidak seimbang antara rahang atas dan bawah. Rawatan pendakap gigi juga sering diperlukan dalam rawatan sumbing.
Terdapat pelbagai jenis pendakap gigi yang berbeza sama ada dari segi bahan, bentuk dan cara pemakaian. Jenis pendakap bergantung kepada kesesuaian kes dan kehendak pengguna.
Antara pendakap yang digunakan ialah daripada jenis logam (metal), seramik, clear aligner (penjajar) dan lingual (pemakaian pada bahagian belakang gigi. Jenis seramik membolehkan pendakap pada gigi tidak begitu ketara berbanding jenis logam dan ia lebih estetik.
Aligner pula sejenis pendakap gigi lutsinar yang boleh dipakai dan ditanggalkan manakala lingual pula dipasang pada bahagian belakang gigi sekali gus pemakai dapat mengekalkan penampilan seperti tidak memakai pendakap.
Dalam pada itu, Mumtaj mengakui, pesakit lazimnya tidak selesa memakai pendakap gigi pada waktu-waktu tertentu. Kebiasaannya, empat hingga lima jam selepas pemakaian sehingga beberapa hari selepas dipasang.
"Kesakitan merupakan sesuatu yang subjektif kerana ia bergantung kepada tahap penerimaan atau ketahanan seseorang.
"Setiap kali selepas pemasangan atau pengaktifan pendakap, saya akan menasihati pesakit untuk mengambil ubat tahan sakit mengikut kesesuaian pesakit kerana lazimnya pesakit akan mengalami rasa tidak selesa," katanya.
Jika berlaku kesakitan yang berpanjangan, pendarahan atau ulser yang teruk, pesakit dinasihatkan segera berjumpa doktor. Persediaan mental dan fizikal merupakan aspek penting sebelum mendapatkan rawatan pendakap kerana ia memerlukan komitmen masa, penjagaan kebersihan, diet dan implikasi kos.
Misalnya, jika seseorang itu perlu bersedia untuk menerima benda baharu dalam mulut dan maklum mengenai rasa kurang selesa semasa rawatan.
Pengetahuan dan persediaan mental membolehkan penyesuaian terhadap pendakap berlaku dengan lebih mudah dan lancar. Begitu juga dengan persediaan fizikal, rawatan pendakap memerlukan penjagaan mulut yang lebih baik seperti penggunaan berus khas, bahan kumur berfluorida dan penjagaan diet yang lebih sesuai.
Selain itu, Mumtaj turut menyarankan supaya pesakit mendapatkan maklumat mengenai jenis rawatan pendakap gigi yang diingini dan pastikan sama ada jenis yang dipilih memerlukan rawatan doktor pakar atau sebaliknya.
Kebijaksanaan membandingkan rawatan dan perkhidmatan doktor menjamin kualiti rawatan serta hasilnya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: