Kerajaan pusat Filipina mengambil langkah drastik mengubah imej
sungai utama Manila, Sungai Pasig yang tercemar teruk. Namun, ia
dikhuatiri mengambil masa yang lama kerana kerajaan perlu terlebih
dahulu menyelesaikan masalah setinggan yang membanjiri sepanjang Sungai
Pasig.
BEBERAPA orang budak lelaki menjerit dalam kegembiraan sambil
melompat dari atas jambatan ke dalam sungai. Tidak jauh dari situ,
nelayan tetap setia dengan mata kail masing-masing mencari rezeki di
sungai berkenaan.
Ia merupakan gambaran suasana kehidupan penuh gembira penduduk suatu
ketika dahulu, sebelum Sungai Pasig di Filipina bertukar menjadi toksik.
Namun, semua itu sudah lenyap di Sungai Pasig.
"Cuaca sangat panas. Kami tidak mempunyai tempat lain untuk berenang
dan melarikan diri daripada haba panas ini," kata Christian Ivanes yang
berusia 16 tahun.
Ivanes merupakan antara ratusan penduduk setinggan haram yang membina
kediaman daripada kayu dan plastik di bawah jambatan serta tepi Sungai
Pasig.
Mereka adalah tanda komuniti terdesak di mana-mana bandar besar Asia yang terkenal kerana kemiskinan melampau.
Tanpa pilihan, mereka terpaksa hidup di tepi Sungai Pasig, seolah-olah sungai itu masih bersih seperti dahulu.
Adakalanya mereka terpaksa meredah plastik dan sampah sarap yang
terapung di dalam air hitam untuk bergerak dari satu rumah ke satu
rumah.
Tidak terkecuali bau busuk yang kuat membuktikan betapa limpahan air
kumbahan dan sisa perindustrian tidak dirawat di sungai itu.
"Pernah juga terjadi, ada orang yang mempunyai luka yang belum
bertaut meredah masuk ke dalam sungai ini. Tidak lama kemudian dia sakit
kerana mendapat jangkitan teruk lalu meninggal dunia," kata Gina Lopez,
seorang penggerak kempen alam sekitar yang memacu usaha terbaharu
kerajaan untuk membersihkan Sungai Pasig.
Sistem perairan
Pihak pemerintah membelanjakan 10 bilion peso (RM743 juta) setahun
untuk mentransformasi sistem perairan dan kesemua 47 anak sungainya,
ujar Gina.
Separuh daripada wang tersebut sedang diusahakan untuk memindahkan
kira-kira 300,000 penduduk setinggan yang tinggal di sepanjang tebing
dan anak sungai, yang dikenali penduduk tempatan sebagai esteros.
"Selagi terdapat penduduk haram yang hidup di sepanjang esteros,
menggunakan tempat itu sebagai tandas dan membuang sampah sarap, usaha
pembersihan tidak dapat dilakukan. Jadi kami perlu bermula dari situ,"
tegas Gina.
Suruhanjaya tersebut telah membersih dan memulihkan empat esteros
sejak 2010, apabila Presiden, Benigno Aquino mengambil alih kuasa dan
melaksanakan program itu, terangnya.
Suruhanjaya itu berhasrat untuk memulakan tugas yang sama di lebih 16 anak sungai lagi tahun ini.
Di Estero de Paco, sebatang anak sungai sepanjang 2.9 kilometer yang
merupakan sungai paling dicemari beberapa tahun dahulu di bandar Manila,
rumah-rumah pondok telah diganti dengan laluan pejalan kaki dan
dipenuhi pokok-pokok, manakala mesin rawatan air kini dipasang di
tengah-tengah tumbuh-tumbuhan.
Lebih daripada 1,300 keluarga atau kira-kira 6,500 setinggan, yang
tinggal dalam jarak kira-kira tiga meter daripada saluran itu telah
dipindahkan, manakala penjual di pasar berhampiran telah berhenti
membuang sampah ke dalam air.
Berpindah
Program dengan syarikat-syarikat air tempatan demi meningkatkan kemudahan kumbahan juga telah dilaksanakan.
"Kami kini boleh berjoging di sepanjang laluan ini dan anak-anak kami
tidak perlu pergi ke tempat lain untuk bermain," kata Evelyn Quitala,
51, yang menggelarkan Estero de Paco sebagai rumahnya sepanjang hayat.
Walau pun esteros kelihatan jauh lebih baik hari ini namun, airnya
masih teruk tercemar, kata Javier Coloma Brotons, seorang pakar
pembangunan bandar di Bank Pembangunan Asia.
Beliau menambah, transformasi seluruh sistem air itu boleh mengambil masa beberapa dekad untuk diselesaikan.
Antara pelbagai masalah yang diutarakan beliau ialah kekurangan loji
rawatan kumbahan dan pekerja-pekerja terlatih untuk mengendalikan loji,
gerai-gerai niaga kecil yang bertindak membuang sisa ke dalam air dan
pencemaran daripada industri.
Coloma Brotons juga memberitahu bahawa Sungai Pasig sepanjang 27
kilometer yang menghubungkan Laguna de Bay, tasik terbesar di Filipina,
dengan Teluk Manila mengalami pasang surut.
Ini bermakna pencemaran dari Teluk Manila yang luas, termasuk sisa dari pelabuhan urut memberi kesan kepada sungai itu.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: