Friday, February 22, 2013
Karnival Jom Fiesta! UKSB
SEBAGAI tanda penghargaan kepada pembaca setia yang sentiasa memberi sokongan berterusan, Utusan Karya Sdn. Bhd. (UKSB) mengadakan karnival Jom Fiesta! selama empat hari hujung bulan lalu.
Pelbagai aktiviti disusun untuk orang ramai antaranya peragaan fesyen muslimah, pameran jenglot, gerai majalah dan buku, pemeriksaan kesihatan secara percuma, konsert URTV, cabutan bertuah, pertandingan karaoke, ceramah agama serta banyak lagi.
Program yang bermula dari pukul 10 pagi hingga 10 malam itu turut dimeriahkan dengan persembahan artis terkenal seperti Aaron Aziz, Ifa Raziah, Nassier Wahab, Najwa Latiff dan Jay Jay.
Seorang pengunjung Syahida Muhammad Dahlan, 23, berkata, dia teruja dengan pameran tersebut kerana terdapat buku yang mengajar cara-cara berhijab dengan menggunakan selendang dan turban.
“Jika melihat cara-cara memakai tudung dalam internet, ia agak sukar tetapi dengan adanya buku, ia lebih mudah. Malah, harga buku dan majalah yang dijual juga berpatutan. Memang rambang mata tengok buku yang banyak di sini. Kalau boleh mahu beli semua,” ujarnya lagi.
Bertemu artis
Menurut Syahida, dia yang pertama kali menghadiri pameran tersebut berharap ia dapat dianjurkan lagi pada masa akan datang.
Bagi Hasnah Omar, 29, pula dia tidak sangka dapat bertemu dengan pelakon drama Adam dan Hawa, Aaron semasa berkunjung ke program Jom Fiesta!.
“Saya memang meminati setiap lakonan beliau. Hari ini, saya tidak sangka dapat bertemu dan bergambar dengannya,” tutur Hasnah.
Karnival tersebut mendapat kerjasama syarikat Jamu Mak Dara selaku penaja utama, Adabi Consumer Industries Sdn. Bhd. (Adabi), Kementerian Kesihatan dan Suria FM sebagai penyiar rasmi.
Sementara itu, Pengarah Projek Jom Fiesta!, Zurzaliza Bajuri yang juga Ketua Pegawai Operasi UKSB berkata, ia diadakan buat kali kedua untuk orang ramai.
“Karnival ini bertujuan untuk mendekatkan para pembaca dengan pihak UKSB. Selain mengadakan acara di pentas, kami juga membuat jualan majalah serta buku terbitan UKSB, Utusan Publications & Distributors dan Print Corp. dengan potongan harga sehingga 70 peratus.
“Ia memberi peluang kepada orang ramai untuk mendapatkan bahan bacaan pada harga istimewa,” katanya ketika ditemui pemberita selepas merasmikan karnival berkenaan.
Dalam pada itu, UKSB turut melancarkan majalah dan buku baharu terbitannya iaitu Hijab Mode, Lawak Bumper dan Siri Lawak Terbaeeekkk Mastika Volume 1 dan 2.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: